Tapi 1 yang tak best

Apple telah pun perkenalkan secara rasminya model terbaru komputer riba paling berkuasa yang pernah dihasilkan mereka iaitu Macbook Pro 16″.

Apple menguar-uarkan ia sebagai komputeri riba profesional terbaik di dunia.

Jadi, apa yang menarik dengan Macbook Pro 16″?

1. Lebih pantas

Hasil ujian rasmi prestasi MBP 16″ masih belum lagi dikongsikan oleh mana-mana laman sehingga kini.

Walaubagaimanapun, YouTubers Max Bench ada mengkongsikan dapatan awal hasil ujian prestasi MBP 16″ dengan menggunakan perisian Cinebench R20 dan Geekbench 5.

Secara ringkas hasil daripada ujian yang dijalankan oleh beliau itu mendapati, cip pemprosesan Intel Core i7 2.6GHz 6-teras gen-9 MBP 16″ adalah 8 hingga 10% lebih pantas dari model MBP 15″ 2019.

Model asas Macbook Pro 16″ (RM10,499.00) masih menggunakan cip pemprosesan yang sama digunakan pada model MBP 15″ 2019.

2. Prestasi grafik naik mendadak

Selain peningkatan pada prestasi cip pemprosesan utama (CPU), apa yang lebih menarik adalah terhadap prestasi kuasa grafik (GPU) MBP 16″.

Grafik MBP 16″ kini dikuasakan oleh cip AMD Radeon Pro 5300M 4GB RAM GDDR6 memori. Ia menggantikan AMD Radeon Pro 555X 4GB RAM GDDR5 memori.

Siri Radeon “Pro” 5000M adalah eksklusif untuk komputer Apple sahaja buat masa ini.

Hasilnya, skor Geekbench 5 Metal yang dicapai oleh grafik MBP 16″ meningkat sehingga 22,635. Ia merupakan peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan model MBP 15″ 2019 yang hanya mencapai skor grafik sebanyak 12,980 sahaja.

Tidak setakat itu, berdasarkan semakan di laman Geekbench didapati, skor Geekbench Metal bagi AMD Radeon Pro 5500M adalah 8% lebih pantas dari Radeon Pro Vega 20 dan 35% lebih pantas Radeon Pro 560X.

(Radeon Pro Vega 20 dan Radeon Pro 560X adalah pilihan naik taraf cip grafik untuk model MBP 15″ 2019).

Malah dari semakan terhadap spesifikasi keupayaan grafik MBP 16″ yang dinyatakan Apple, MBP 16″ mampu menyokong sehingga 2 paparan 6K (resolusi 6016×3384) pada kadar segar 60Hz.

Berbanding MBP 15″ sebelum ini yang hanya mampu menyokong 2 paparan 5K (5120×2880 60Hz) sahaja.

3. Skrin retina lebih besar

Walaupun hanya penambahan satu inci sahaja, tapi saiz paparan retina MBP 16″ memberikan gambaran yang sangat berbeza berbanding MBP 15″.

Resolusi MBP 16″ kini adalah 3072×1920 (226ppi) lebih luas berbanding MBP 15″ yang mana resolusi paparannya hanya 2880×1800 (220ppi).

4. Tetapan kadar segar paparan yang boleh diubah

Lagi kelebihan pada skrin Macbook Pro 16″ ini adalah Apple buat pertama kalinya memperkenalkan ciri tetapan manual bagi kadar segar skrin retina Macbook Pro.

Tetapan ini belum pernah dimuatkan dalam mana-mana model Macbook Pro sebelum ini. Ia sekaligus memberikan kelebihan kepada pengguna profesional seperti penyunting video.

For professional workflows such as video editing, you can set the refresh rate of your display to match the frame rate of the video you’re editing or viewing.” Apple

“Choose a refresh rate that divides evenly into the frame rate of your content. For example, if the content you’re viewing is 24 frames per second, select the 48 Hertz refresh rate.” Apple

Tetapan kadar segar yang boleh ditetapkan pada MBP 16″ adalah:-

  • 60 Hertz
  • 59.94 Hertz
  • 50 Hertz
  • 48 Hertz
  • 47.95 Hertz

5. Papan kekunci yang lebih baik

Macbook Pro 16″ kini dilengkapi dengan rekaan gunting bagi papan kekuncinya (Magic Keyboard). Menggantikan rekaan papan kekunci “butterfly” bermasalah.

Selepas bertahun-tahun pengguna MBP merungut terhadap papan kekunci butterfly, barulah Apple menukar kembali kepada rekaan gunting. Ini secara tidak langsung menunjukkan Apple sebenarnya mengaku akan kesilapan dan kecacatan yang ada pada rekaan papan kekunci butterfly sebelum ini.

(Rujuk artikel sebelum ini).

6. Menyokong kapasiti RAM yang lebih tinggi

Model MBP 15″ sebelum ini hanya menyokong kapasiti RAM sehingga 32GB sahaja. Tetapi bagi model MBP 16″, ia menyokong kapasiti RAM sehingga 64GB 2666MHz DDR4.

7. Pilihan saiz storan sehingga 8TB

Jika saiz storan 512GB yang dimuatkan pada MBP 16″ tidak cukup pada anda, apa kata naik taraf saiz storan MBP tersebut kepada 1 atau 4 TB. Tetapi jika itu juga masih belum cukup, naik taraf sahaja storan itu terus kepada 8TB.

Siapkan duit saja.

8. Sistem penyejukan yang lebih baik

Apple menyatakan, kipas penyejukan MBP 16 adalah lebih baik, ruang pengudaraan kini 28% lebih luas dan penenggelam haba adalah 35% lebih besar.

Manfaat menjadikan Macbook Pro kepada saiz 16″ sekaligus memberikan ruang yang lebih baik untuk penyejukan udara Macbook Pro 16″.

Mungkin tiada lagi isu throttling seperti yang terjadi pada model MBP 15″ sebelum ini.

9. Bateri 100Wh

Apple buat pertama kalinya memuatkan kapasiti bateri yang sangat besar dalam Macbook Pro iaitu 100Wh.

Menurut Apple, bateri lithium‑polymer MBP 16″ mampu mengoperasikan MBP tersebut selama 11jam.

1 Jam lebih lama dari model MBP 15″ 2019.

10. 6 speaker, 3 mikrofon

Kelebihan rekaan ruang Macbook Pro 16″ antara lain dimanfaatkan dengan ditambah speaker yang lebih banyak di mana MBP 16″ kini dilengkapi sebanyak 6 speaker yang menyokong Dolby Atmos.

Juga dimuatkan adalah 3 mikrofon terbina dalam.

11. Esc kembali

Tanpa disangka, Apple mengembalikan semula kekunci fizikal Esc pada MBP 16″. Bermakna pengguna MBP 16″ tidak akan berdepan isu sepertimana MBP 13″ dan 15″ (Touch Bar) sebelum ini.

Sebagai contoh, apabila sesebuah aplikasi di MBP 13″/15″ tergantung (hang/freeze), panel Touch Bar MBP itu juga akan turut tergantung. Sekaligus butang esc di Touch Bar tidak dapat digunakan. (Permasalahan ini ada dinyatakan oleh Apple di laman web mereka).

Menyebabkan pengguna tidak dapat melaksanakan arahan Force quit terhadap aplikasi yang tergantung itu.

Maka dengan wujudnya semula butang kekunci fizikal Esc di MBP 16″, masalah seperti itu tidak lagi timbul.

Hai Esc, selamat kembali!

12. Harga yang sama dari model sebelumnya

Bagi mereka yang baru sahaja membeli Macbook Pro 15″ 2019 beberapa hari sebelum diumumkan Macbook Pro 16″, pastinya akan berasa sedikit ralat. Kalau tak banyak pun, rasa sikit ralat tu mesti adalah.

Ini kerana harga asas bagi model MBP 16″ adalah sama sepertimana harga asas model MBP 15″ sebelum ini iaitu RM10,499.00.

Pada harga itu, MBP 16″ didatangkan standad dengan storan yang lebih besar iaitu 512GB, cip grafik yang jauh lebih baik serta skrin retina yang bersaiz 16″.

Malah apa yang lebih penting adalah MBP 16″ didatangkan dengan rekaan papan kekunci yang jauh lebih baik. Dengan kata lain, pembeli MBP 15″ sebenarnya membeli MBP mereka dengan papan kekunci yang bermasalah.

Kesimpulan

Setakat ini, hampir semua review tentang Macbook Pro 16″ adalah sangat positif. Dari saiz, spesifikasi, papan kekunci Magic Keyboard hinggalah prestasi Mac terbaru ini amat menyenangkan hati para pemerhati dan peminat Macbook Pro.

Walaubagaimanapun, setiap perubahan pasti ada harganya. Secara khususnya terhadap harga alat ganti bagi Macbook tersebut.

Saiz skrin serta bateri yang lebih besar pastinya akan menjadikan kos menggantikan 2 perkakasan utama MBP ini akan menjadi lebih mahal.

Jadi, sekiranya anda bercadang mahu membeli Macbook Pro 16″ ini, anda amatlah disyorkan supaya turut sama membeli Apple Care bagi MBP tersebut (RM1,319.00).

Jika ada masalah yang timbul, anda taklah sakit kepala.

Akhir kata, pada pendapat penulis Macbook Pro 16″ adalah naik taraf terbaik dari Apple berbanding model MBP sebelum ini.

Namun begitu ia masih terlalu mahal dan sambungan terhad (hanya USB-C) yang ada pada MBP menyebabkan pembeli masih terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi membeli pelbagai aksesori sambungan lain.

Macbook Pro 16″ 2019 dijangka akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

harga Macbook pro 16″ boleh mencecah sehingga USD6,099/unit (sekitar RM25,300 seunit). Anda boleh menempah 10 buah MBP 16″ sekaligus di laman Apple.

P/s: Sebarang perubahan spesifikasi Macbook Pro 16″ hanya boleh dibuat ketika proses pra-tempah di laman rasmi Apple sahaja. Pengguna tidak boleh menaik taraf perkakasan MBP 16″ selepas pembelian (DIY).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here