iMac diperkenalkan Steve Jobs sekembalinya beliau ke Apple.

Untuk pengetahuan anda, iMac baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-22, beberapa hari lalu iaitu pada 6 Mei 2020.

iMac telah diperkenalkan oleh Steve Jobs pada 6 Mei 1998 di acara Macworld yang mana ketika itu beliau baru kembali semula ke Apple dan bertindak sebagai CEO Interim Apple pada waktu itu.

Tetapi, bagaimanakah iMac bermula? Siapa yang merekanya dan mengapa iMac begitu penting kepada Apple?

Pencetus iMac

Ketika kembali semula ke Apple, Steve Jobs telah melawat ke Design Lab Apple dan di situlah buat pertama kalinya beliau bertemu dengan seorang pereka muda di Apple bernama Jonathan (Jony) Ive.

That very first we met, he had already started to talk about reengaging Harmut Esslinger [the founder of Frog Design, who had design the first Mac]” Jony Ive ketika mengingati kembali saat pertama kali bersua muka dengan Steve Jobs (Biografi Becoming Steve Jobs).

Apple IIc
Apple IIc adalah komputer yang direka oleh Frog Design pada 1984. Rekaan komputer itu juga telah dinobatkan sebagai “Design Of The Year” oleh Time magazine pada waktu itu. Foto di atas menunjukkan Apple IIc lengkap dengan monitor. Kredit foto: Wikipedia

Ketika berada di dalam Design Lab, terdapat satu produk keluaran Apple yang telah menarik minat Steve Jobs iaitu eMate.

eMate 300 adalah sebuah komputer mudah alih yang diperkenalkan Apple pada Mac 1997. Peranti ini juga merupakan satu-satunya komputer dengan ciri paparan sentuh yang pernah Apple hasilkan (sehingga kini).

Apple eMate 300 ditamatkan pengeluarannya pada Februari 1998. Kredit: Flickr

Ringkasnya, reka bentuk eMate yang pelik dan menggunakan plastik semi lutsinar pada keseluruhan badannya telah menarik minat Steve Jobs dan sekaligus menjadi pencetus idea kepada pembangunan iMac.

Jony Ive pula menjadi pereka yang bertanggungjawab mereka bentuk iMac generasi pertama. Sekaligus menjadikan projek iMac ini adalah projek terbesar pertama beliau di Apple ketika itu.

iMac G3 Bondi Blue

iMac generasi pertama iaitu iMac G3 Bondi Blue telah menjadi produk pertama Steve Jobs sekembalinya beliau ke Apple.

iMac menyatukan monitor dan semua komponen perkakasan komputer tersebut di dalam satu kerangka plastik semi lutsinar yang diinspirasikan daripada eMate.

Ketika memperkenalkan iMac, Steve Jobs menjelaskan bahawa huruf “i” yang digabungkan bersama perkataan Mac adalah merujuk kepada ‘internet’.

“i” juga merujuk kepada individual, instruct, inform dan inspire.

“iMac comes from the marriage of the excitement of the Internet with the simplicity of Macintosh.” Steve Jobs. Steve Jobs bersama iMac generasi pertama di Macworld 1998.

Spesifikasi iMac G3 Bondi Blue

Nama Bondi Blue untuk iMac generasi pertama diambil daripada Pantai Bondi yang terletak berhampiran Sydney, Australia.

Komponen wayar dan papan litar utama yang boleh dilihat di dalam iMac secara terus menerusi kerangka plastik semi lutsinarnya pula menggambarkan seolah-olah ia adalah sebuah peta bandar 3 dimensi.

iMac direka dengan satu pemegang yang terletak di bahagian depan di bawah iMac itu. Walaupun diakui tidak praktikal oleh Steve Jobs, tetapi beliau menyukainya kerana ia mengingatkan kembali kepada Mac pertama yang dibangunkan Apple.

Ketika diperkenalkan, iMac G3 Bondi Blue dilengkapi dengan cip pemprosesan PowerPC G3/233MHz, monitor terbina dalam bersaiz 15″ (1024×768), 32MB memori RAM (boleh dinaik taraf sehingga 128MB RAM), storan HDD 4GB dan pemacu cakera keras (CD-ROM) berkelajuan 24x.

Bagi memudahkan pengguna mengakses internet pula, iMac dilengkapi dengan sambungan Ethernet berkelajuan sehingga 100MB menerusi modem terbina dalam 33.6Kb. Ia juga dilengkapi dengan inframerah terbina dalam (IrDA) 4Mb.

Selain itu, menerusi iMac G3 ini juga, Apple buat pertama kalinya memperkenalkan sambungan pantas 12Mb USB-2, pembesar suara stereo terbina dalam dan sambungan audio (In/Out) 3.5mm.

iMac G3 juga disertakan bersama papan kekunci dan tetikus yang menggunakan sambungan USB.

“…We think iMac is going to be really big deal” Steve Jobs.

Ketika memperkenalkan iMac, Steve Jobs menyatakan bahawa iMac akan menjadi produk yang berjaya.

Apa yang dikatakan beliau itu menjadi kenyataan apabila iMac telah berjaya terjual lebih daripada 2 juta unit hanya dalam tempoh 12 bulan pertama selepas ia dipasarkan pada Ogos 1998.

Sekaligus menjadikan iMac sebagai produk paling berjaya dihasilkan Apple ketika itu. Walaupun pada awalnya pengkritik menjangkakan iMac akan gagal.

Tetapi kejayaan berjaya dicapai dan dipercayai rekaan radikal iMac itu telah menjadi punca kejayaan iMac di pasaran.

When we did the first iMac, there was such resistance in hardware engineering. A lot of people thought it wasn’t a Mac, that it would fail. But the minute that everybody saw it succeed in the marketplace, a lot of people started to turn around and go, ‘Okay, this design stuff is important I guess’. They felt the thrill of success again“. Jony Ive di dalam buku Becoming Steve Jobs.

13 Warna iMac

Selepas kejayaan iMac G3 Bondi Blue, setahun kemudiannya Apple telah melancarkan pula versi terbaru iMac dengan pengenalan 5 warna baru yang lebih menarik serta beberapa naik taraf terhadap spesifikasi dan perubahan minor pada rekabentuk iMac.

Secara keseluruhan, Apple telah menghasilkan sebanyak 13 warna iMac G3 iaitu Bondi, Blueberry, Lime, Tangerine, Strawberry, Grape, Graphite, Sage, Ruby, Indigo, Snow, Blue Dalmatian dan Flower Power.

Menerusi iMac G3 juga, Apple turut menghasilkan beberapa versi iMac yang berbeza termasuklah iMac DViMac DV+ dan iMac DV SE.

Produksi iMac G3 berlangsung selama 5 tahun iaitu dari 1998 hingga 2001. Versi terakhir iMac G3 ditamatkan pengeluarannya pada Mac 2003.

Selepas itu, Apple masih meneruskan legasi iMac PowerPC dengan memperkenalkan barisan model iMac G4 dari tahun 2002 hingga 2004 dan kemudiannya iMac G5 dari tahun 2004 hingga 2006.

iMac PowerPC terakhir adalah model iMac G5 with iSight.

iMac G5 adalah versi iMac PowerPC terakhir. Selepas dari itu, Apple mula menggunakan cip pemprosesan Intel ke dalam iMac bermula dari iMac model awal 2006 sehinggalah sekarang.

iMac menyelamatkan Apple

iMac merupakan antara produk terpenting kepada Apple selain barisan produk utamanya yang lain.

Ini dibuktikan dengan bertahannya iMac selama 22 tahun sejak ia kali pertama diperkenalkan pada 1998 dahulu.

Malah begitu penting kerana iMac adalah simbol produk yang telah menjadi penyelamat kepada Apple daripada musnah.

Tanpa iMac, Apple Inc mungkin tidak akan berada ditahap yang dicapai mereka ketika ini.

Akhir kata, terima kasih iMac, terima kasih Steve Jobs dan terima kasih Sir Jony Ive kerana menghasilkan sebuah produk ikonik yang kekal releven sepanjang zaman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here