5 aplikasi terbaik bagi pengurusan Nama Pengguna dan Kata Laluan
5 aplikasi ini akan membantu anda menguruskan longgokan Nama Pengguna dan Kata Laluan daripada anda terlupa.

Pastinya pernah berlaku kepada anda di mana anda sering terlupa dengan Nama Pengguna atau Kata Laluan untuk log masuk ke dalam sesuatu akaun peribadi seperti akaun sosial Facebook, akaun bank, akaun e-mel dan banyak lagi.

Itu adalah antara contoh akaun sosial yang biasa digunakan. Sudah pasti anda mempunyai lebih daripada 3 jenis akaun yang berbeza. Mempunyai pelbagai jenis akaun pastinya menyukarkan anda mengingati setiap nama dan kata laluan untuk akaun-akaun tersebut.

Maka berlakulah keadaan anda terlupa dan memasukkan nama atau kata laluan yang salah pada akaun-akaun itu. Pengulangan memasukkan nama dan kata laluan yang salah hanya akan memburukkan keadaan di mana kebiasaannya akaun itu tadi akan menghalang terus anda daripada log masuk ke akaun tersebut.

Jika mahu masuk semula ke dalam akaun yang telah dihalang, proses untuk set semula (reset) nama pengguna dan kata laluan adalah sesuatu yang melecehkan. Jadi, daripada berlakunya perkara seperti itu adalah lebih baik anda menggunakan aplikasi yang dapat membantu anda menguruskan longgokkan Nama Pengguna dan Kata Laluan yang anda miliki itu.

Terdapat beberapa aplikasi yang menyediakan servis untuk pengurusan Nama Pengguna dan Kata Laluan ini. Berikut adalah 5 aplikasi terbaik bagi pengurusan Nama Pengguna dan Kata Laluan.

  • LastPass 

Aplikasi LastPass merupakan antara aplikasi pengurusan Nama Pengguna dan Kata Laluan popular yang digunakan oleh kebanyakan pengguna. Ia cukup mudah digunakan dan terdapat dipelbagai platfom seperti komputer Mac, Windows PC, Linux, peranti iOS, Windows Phone, Android dan Apple Watch.

Selain itu, terdapat juga plugin LastPass bagi aplikasi pelayar web Google Chrome, Safari, Firefox, Internet Exporer, Opera dan Microsoft Edge.

Selain daripada mengingati Nama Pengguna dan Kata Laluan, ia juga boleh menyimpan maklumat peribadi yang akan mempercepatkan proses anda apabila mengisi borang di internet serta membuat kata laluan yang sukar untuk anda bagi menjaminkan keselamatan akaun tersebut.

Cara penggunaan aplikasi LastPass ini sudah AriffMac kongsikan di artikel Review aplikasi LastPass sebelum ini. Aplikasi ini adalah percuma digunakan untuk akaun perseorangan. Tetapi terdapat juga pakej berbayar bagi Keluarga, Perniagaan, Pasukan dan Premium.

Aplikasi ini boleh dimuat turun terus dari laman web LastPass ataupun menerusi Mac App Store, App Store, Google Play Store dan Windows Store.

  • 1Password

1Password merupakan aplikasi pengurusan kata laluan yang dipercayai oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia. Produk tersebut yang dahulunya hanya untuk pengguna Mac sahaja kini telah memperkembangkan penggunaanya untuk pengguna PC, Android dan iOS juga.

Malah daripada hanya untuk pengguna perseorangan sahaja ia kini turut menyediakan pakej servis Keluarga, dan Pasukan.

Selain menyimpan nama dan kata laluan, 1Password juga boleh menyimpan dokumen di mana anda diberi storan awan berkapasiti 1GB. Ia juga boleh menyimpan maklumat pengguna yang dapat mempercepatkan proses isian data di borang digital.

Selain cara mengaktifkan aplikasi ini menggunakan kata laluan, ia juga kini boleh diaktifkan dengan menggunakan cap jari yang terdapat pada MacBook Pro dengan panel Touch Bar terbaru Apple serta peranti iOS  yang mempunyai ciri Touch ID.

Anda boleh mencuba aplikasi 1Password ini secara percuma selama 30 hari tanpa perlu memasukkan no kad kredit anda. Tetapi selepas itu jika anda ingin terus menggunakannya, anda perlulah membeli servis ini yang berharga $2.99 bagi setiap bulan.

  • Avira Password Manager

Avira Password Manager dibangunkan oleh syarikat keselamatan komputer Avira Operations GmbH & Co. KG yang berasal dari German. Berbeza dengan 2 aplikasi di atas, Avira Password Manager hanya terdapat dalam bentuk plugin bagi 2 aplikasi pelayar web sahaja iaitu Google Chrome dan Firefox.

Avira Password Manager boleh diguna dan dimuat turun secara percuma. Sebelum ini AriffMac sudah pun tunjukkan cara-cara menggunakannya di Review aplikasi Avira Password Manager. Kini Avira sedang memberikan versi percuma ini dilengkapi dengan ciri-ciri premium.

  • Valt

Valt adalah sedikit berbeza dengan 3 aplikasi di atas. Fungsi utamanya masaih sama iaitu menyimpan, mengurus, menjana dan mendapatkan semula nama dan kata laluan untuk anda. Bezanya adalah kata laluan induk Valt dijana secara automatik dan rawak yang diwakili oleh satu siri imej-imej, bukan dalam bentuk huruf atau nombor dan simbol.

5 aplikasi terbaik bagi pengurusan Nama Pengguna dan Kata Laluan

Jadi aplikasi Valt ni amat sesuai bagi mereka yang mempunyai kelebihan daya ingata terhadap imej bergambar (photographic memory) berbanding mengingati nombor, huruf atau simbol.

Aplikasi Valt ini masih baru, jadi buat masa ini ia hanya ada di platfom iOS dan macOS sahaja. Anda boleh guna dan memuat turun aplikasi ini secara percuma terus dari App Store dan Mac App Store. Atau ia juga boleh digunakan sebagai plugin di aplikasi pelayar web Safari dan Google Chrome.

  • iCloud Keychain

iCloud Keychain merupakan ciri keselamatan yang sedia ada pada sistem macOS dan iOS. Ia merupakan servis yang diuruskan Apple Inc. bagi menyimpan nama pengguna dan kata laluan bagi aplikasi pelayar web Safari. Selain itu ia juga turut menyimpan maklumat-maklumat penting kad kredit penggunanya dan info rangkaian Wi-Fi.

iCloud Keychain akan menyelaraskan secara automatik segala maklumat-maklumat tersebut kepada kesemua peranti iOS dan macOS. Selain daripada itu, ia juga menyimpan dan mengemaskini secara automatik pelbagai maklumat lain yang terdapat di aplikasi Mail, Contacts, Calendar dan Messages pada komputer Mac.

5 aplikasi terbaik bagi pengurusan Nama Pengguna dan Kata Laluan

Jadi, apabila anda log masuk ke dalam akaun sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain, iCloud secara automatik akan memasukkan kata laluan dan nama penggunanya di semua peranti anda.

Walaubagaimanapun, servis ini adalah terhad kepada pengguna produk-produk Apple sahaja. Malah tetapan untuk pengaktifan iCloud Keychain mungkin agak sukar dan mengambil masa untuk anda fahami cara ia berfungsi.

Kesimpulan

Di era digital kini sememangnya kita terpaksa menggunakan pelbagai perkhidmatan melalui internet yang memerlukan anda membuat pelbagai jenis akaun mengikut servis tertentu. Lambakan nama pengguna dan kata laluan ini memamng menyukarkan kita untuk mengingati kesemuanya.

Aplikasi-aplikasi di atas memudahkan anda dengan hanya perlu mengingati satu nama pengguna dan kata laluan sahaja. Ini bermakna setiap kali anda ingin log masuk ke dalam pelbagai akaun-akaun internet yang dimiliki, anda hanya perlu memasukkan nama pengguna dan kata laluan pada aplikasi tersebut.

Diharapkan dengan sedikit perkongsian ini akan dapat membantu anda menguruskan nama pengguna dan kata laluan yang anda miliki dengan lebih teratur.

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here