MBP 13 spec

Dikemaskini pada 3 Ogos 2018.

Di antara 2 model Macbook Pro 13″ ini, yang mana patut anda beli?

Ketika ini terdapat 2 model Macbook Pro 13″ yang boleh dipilih iaitu Macbook pro 13″ dengan panel Touch Bar dan lagi satu adalah tanpa Touch Bar.

Bagi anda yang mungkin masih pening memikir model Macbook Pro 13″ mana yang patut dibeli, di sini akan AriffMac cuba terangkan kekurangan dan kelebihan di antara 2 model MBP 13″ tersebut.

Macbook Pro 13″ tanpa panel Touch Bar model 2017.

MBP 13 tanpa touch bar
Kredit foto: iFixit.

Macbook Pro 13″ ini adalah model asas dan paling murah bagi kategori Macbook Pro. Harga jualannya bermula dari RM5659.00 dengan 2 pilihan warna iaitu Space Gray dan Silver.

Berikut adalah spesifikasi ringkas bagi Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar:-

  • Prosessor – 2.3GHz dual-core Intel Core i5, Turbo Boost up to 3.6GHz, with 64MB of                         eDRAM
  • Storan – 128GB PCIe-based onboard SSD
  • RAM – 8GB of 2133MHz LPDDR3 onboard memory
  • Kad grafik – Intel Iris Plus Graphics 640
  • Sambungan (port) – 2 Thunderbolt 3 (USB-C)

Perkara penting yang perlu anda tahu tentang MBP model ini.

Untuk pengetahuan anda, model ini masih menggunakan spesifikasi model 2017. Ia masih menggunakan cip pemprosesan Intel Core i5 dari generasi ke 7 (Kaby Lake).

Ringkasnya, Apple tidak melakukan sebarang perubahan perkakasan bagi MBP tersebut pada tahun ini. Ini mungkin petanda yang Apple tidak lagi akan mengeluarkan model MBP tanpa Touch Bar pada masa akan datang.

Macbook Pro 13″ dengan panel Touch Bar model 2018.

apple macbookpro 13 touch bar

Macbook Pro 13″ ini pula merupakan model terkini yang baru sahaja dinaik taraf perkakasannya untuk tahun 2018.

Perbezaan paling ketara yang dilakukan Apple pada perkakasan MBP ini adalah terhadap konfigurasi saiz storan yang lebih besar. Pembeli boleh menempah saiz storan sehingga 2TB untuk MBP ini.

Harga jualan MBP ini adalah bermula dari RM7499.00 Berikut adalah spesifikasi ringkas bagi Macbook Pro 13″ panel Touch Bar 2018:-

  • Prosessor – 2.3GHz quad-core Intel Core i5, Turbo Boost up to 3.8GHz, with 128MB of                     eDRAM
  • Storan – 256GB SSD
  • RAM – 8GB of 2133MHz LPDDR3 onboard memory
  • Kad grafik – Intel Iris Plus Graphics 655
  • Sambungan (port) – 4 Thunderbolt 3 (USB-C)

Perkara penting yang perlu anda tahu tentang MBP model ini.

Seperti yang dikatakan tadi, MBP ini merupakan model terkini yang baru sahaja dinaik taraf perkakasannya bagi tahun 2018.

Ia menggunakan cip pemprosesan terbaru iaitu Intel quad Core i5 Generasi ke 8 (Coffee Lake) serta dilengkapi dengan cip T2 yang dibangunkan Apple sendiri bagi mengawal pelbagai tugasan penting seperti ciri keselamatan, mengawal fungsi Touch Bar dan banyak lagi.

Selain menaik taraf spesifikasi perkakasan utama MBP ini, Apple turut menaik taraf perkakasan lain seperti sambungan tanpa wayar Bluetooth 5.0 dan skrin retina True Tone.

Persamaan.

Secara luarannya, kedua-dua MBP ini masih menggunakan rekaan dari MBP 13″ model  2016. Ia juga dilengkapi dan menyokong peranti menerusi sambungan Thunderbolt 3 (USB-C).

Apple mula menjual Kit Pembangunan Grafik Luaran untuk Mac
Macbook Pro 13″ dari model 2016 dan ke atas menyokong penggunaan kad grafik luar (eGPU). Tetapi Apple menasihatkan, sambungan eGPU tersebut atau mana-mana peranti berprestasi tinggi yang menggunakan sambungan Thunderbolt perlulah dibuat menerusi sambungan Thunderbolt 3 (USB-C) di sebelah kiri MBP tersebut. Ia adalah perlu bagi mendapatkan prestasi penuh pemindahan data antara peranti menerusi sambungan tersebut.

Perbezaan.

Selain daripada ciri panel Touch Bar, perbezaan utama antara 2 Macbook Pro 13″ ini adalah perkakasan utama yang digunakan iaitu cip pemprosesan bagi Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar adalah jenis Dual Core manakala manakala MBP 13″ dengan panel Touch Bar menggunakan cip Quad Core.

Selain itu, daripada perleraian yang dibuat terhadap model MBP 13″ 2018 mendapati, sambungan di dalam MBP bagi tujuan pemindahan data (data recovery) sudah tidak ada pada papan litar utama MBP 2018.

Ini bermakna, proses bagi mendapatkan data dari storan MBP 2018 kelihatan seperti mustahil dibuat.

iNSIDE MBP 13 2017
Rajah 2. Sambungan khas (lihat kotak merah) bagi tujuan pemindahan data yang terdapat di dalam Macbook pro 13″ model 2017 sudah tidak ada dalam Macbook pro 2018. Kredit foto: iFixit.

Jadi, model mana yang patut anda beli?

Sebelum membeli Macbook Pro 13″ ini, terdapat 2 faktor utama yang perlu dilihat terlebih dulu.

  • Bajet

Sudah tentu bajet menjadi faktor utama. Ini kerana perbezaan harga antara 2 model MBP 13″ ini amat ketara. MBP 13″ tanpa Touch Bar model 2017 berharga dari RM5659.00, manakala MBP 13″ dengan Touch Bar model 2018 pula berharga dari RM7499.00.

Perbezaan kos sebanyak RM1840.OO, banyak bezanya tu. Jadi jika bajet yang menjadi keutamaan anda, MBP 13″ tanpa Touch Bar adalah pilihan anda

  • Tujuan

Jika anda hendak menggunakan MBP ini dalam kerja-kerja kreatif seperti rekaan grafik, penyuntingan video ringkas atau kerja-kerja ringan yang lain seperti menaip dan lain-lain, MBP 13″ tanpa Touch Bar sudah memadai untuk anda.

Tetapi jika kerja-kerja anda banyak melibatkan tugasan berat seperti penyuntingan video berdefinisi tinggi (FHD) dan ke atas atau sering membuat illustrasi dan manipulasi imej yang kompleks, model MBP 2018 yang menggunakan cip pemprosesan terbaru serta kad grafik yang lebih berkuasa pastinya akan dapat mencepatkan tugasan tersebut.

  • Minat

Faktor ini timbul kebanyakkannya kepada mereka yang telah pun membeli Macbook Pro 13″ ini. Tidak kiralah sama ada model MBP dengan Touch Bar ataupun tanpa Touch Bar. Ini kerana telah ramai berlaku kepada pemilik MBP model ini yang telah menjual semula MBP mereka.

Mereka memberi alasan yang mereka sudah tidak berminat menggunakan Macbook Pro tersebut. Malah ada yang menggunakannya tidak sampai sebulan pun, kemudian mahu menjualnya semula.

Walhal, ini terjadi kerana mereka tidak dapat menyesuaikan penggunaan harian mereka dengan MBP tersebut.

Ia adalah berbalik kepada spesifikasi dan aksesori yang diperlukan oleh MBP yang tidak sesuai dengan penggunaan harian mereka.

Sudah tentu pada zaman ini komputer dengan storan yang hanya bersaiz 128GB adalah tidak sesuai sama sekali untuk menampung data-data yang bersaiz besar. Terutamnya apabila melibatkan fail-fail video.

Selain itu, pada awalnya mungkin ada yang berasakan mereka tidak perlu membeli aksesori seperti penyesuai (adapter) tambahan untuk disambungkan peranti lain dengan MBP tersebut. Tetapi setelah menggunakannya, mereka baru mula berasakan aksesori tersebut amat diperlukan.

Tetapi malangnya aksesori tersebut mahal dan seperti tidak berbaloi atau tidak sepatutnya untuk mereka keluarkan modal lain bagi membelinya.

Jadi, jalan paling mudah diambil mereka adalah dengan menjual semula MBP tersebut dengan harapan akan ada orang yang mahu membeli.

Kesimpulan.

Sebenarnya, jika hendak diikutkan pada pandangan peribadi AriffMac, membeli Macbook Pro 13″ ini adalah tidak berbaloi sama sekali. Tetapi, jika anda hendak membelinya juga, ada beberapa perkara penting yang perlu anda ingat ketika mahu membeli dan menggunakannya.

  1. Sediakan bajet lebih

Ketika hendak membeli MBP ini, seperti yang dinyatakan awal tadi, anda juga mungkin perlu membeli aksesori tambahan penting bagi menyambungkan peranti yang anda ada dengan MBP tersebut. Ini kerana, MBP ini hanya dilengkapi dengan sambungan Thunderbolt 3 (USB-C) sahaja.

Peranti storan luar yang menggunakan sambungan seperti USB 2.0 dan ke atas atau bagi membuat sambungan ke skrin besar (projector), monitor ke 2 dan lain-lain, ia memerlukan penyesuai tambahan.

Aksesori mac
Kategori aksesori bagi Mac.

Anda boleh melihat keperluan aksesori bagi MBP 13″ yang mungkin anda ingin beli sekali dengan MBP tersebut dari laman web rasmi Apple.

Selain bajet untuk aksesori, anda juga perlu bersedia berdepan dengan kos pembaikan atau alat ganti yang mahal. Sebab hampir kesemua perkakasan utama seperti cip panel Touch Bar, Bluetooth, WiFi dan lain-lain dipateri atas papan litar utma MBP.

Jadi, sekiranya berlaku sebarang kerosakan terhadap salah satu perkakasan tersebut, anda terpaksa menggantikan keseluruhan papan litar MBP. Dipendekkan cerita, Mahal!

2. Beli AppleCare

Disebabkan kos pembaikan dan alat ganti MBP yang mahal, anda digalakkan membeli AppleCare bagi Macbook Pro. AppleCare ini berharga RM895.00 bagi kategori Macbook Pro 13″, Macbook Air dan Macbook.

Info lanjut AppleCare boleh di dapati di laman AppleCare Protection Plan for Mac.

2. Sentiasa membuat backup

Jika anda bercadang membeli atau sudah pun memiliki MBP model 2016 dan ke atas, adalah amat penting anda sentiasa membuat salinan (backup).

Paling tidak pun sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini kerana MBP model 2016 dan ke atas kesemuanya amat sukar untuk anda dapatkan semula data-data dari MBP tersebut sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada perkakasan MBP tersebut.

Sungguhpun MBP model 2016 dan 2017 masih lagi terdapat sambungan khas yang membolehkan proses pemindahan data dibuat, tetapi hanya Pusat Servis bertauliah Apple sahaja yang menyediakan servis pemindahan data tersebut.

Tambahan pula, lebih memburukkan keadaan adalah MBP model 2018 kini tidak dilengkapi dengan sambungan khas tersebut. Jadi, nampak gayanya proses mendapatkan semula data dari MBP 2018 seperti mustahil dilakukan.

MBP 13 2018
Tiada lagi sambungan khas untuk proses data recovery di MBP 2018. Untuk perbandingan, sila rujuk rajah 2. Kredit foto: iFixit.

Ini mungkin kerana MBP 2018 kini dilengkapi dengan cip T2 Apple yang mengawal penyulitan data dalam storan MBP tersebut. Ringkasnya, ia bagus untuk keselamatan data anda sekiranya MBP anda digodam, tetapi kesan negatifnya adalah proses mendapatkan data dari storan MBP kini seakan mustahil sama sekali.

Malah jika dihantar ke pusat servis Apple sekalipun, mereka berkemungkinan besar tidak dapat melakukan proses mendapatkan data MBP tersebut.

Maka adalah amat penting semua pengguna MBP 2016 dan ke atas (terutamanya), sentiasa membuat backup bagi mengelakkan berlakunya kehilangan data.

Anda boleh menggunakan aplikasi seperti Time Machine dan Carbon Copy Cloner bagi membuat backup data-data Mac anda.

Anda boleh layari laman web rasmi Apple bagi mendapatkan spesifikasi penuh bagi Macbook pro 13″ tanpa Touch Bar model 2017 dan Macbook Pro 13″ panel Touch Bar 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here