CEO Apple menyatakan mereka lebih berminat kepada pembangunan teknologi Augmented Reality (AR) berbanding Virtual Reality (VR).

Tim Cook baru-baru ini telah menyatakan pendapatnya berkenaan dengan teknologi AR di sesi soal jawab yang berlangsung di Universiti Oxford. Pendapat tersebut dinyatakan selepas ditanya oleh pelajar di sana tentang teknologi apakah yang terbukti akan ketinggalan terbelakang.

Tim Cook berkata, “Saya berasa amat senang dengan AR kerana saya boleh melihat kegunaan untuknya di mana-mana”.

Tambah beliau lagi, “Saya boleh melihat kegunaan teknologi ini di dalam bidang pendidikan, pengguna, hiburan, sukan. Saya boleh melihatnya dalam setiap perkara yang saya tahu”.

“Saya tidak sukakan produk yang kami hasilkan hanya sekadar banyak diguna. Sebaliknya saya lebih suka produk-produk kami yang menguatkan pemikiran dan saya fikir AR boleh membantu menguatkan hubungan manusia”.

Kredit foto: Oculus.

Menurutnya, beliau tidak pernah berminat dengan teknologi Virtual Reality (Realiti Maya). Ini kerana teknologi tersebut bertentangan dengan apa yang Apple visikan.

Walaubagaimanapun, Tim Cook akui ada sebahagian teknologi VR ini jelas sekali menarik, namun begitu, ia tidak cukup mendalam dari segi fungsi dan keupayaannya. Bagi beliau, AR adalah amat luas sekali kepenggunaannya dalam kehidupan seharian.

Sistem operasi terbaru peranti iOS iaitu iOS 11 telah pun dilengkapi dengan ciri Augmented Reality (realiti yang diperkukuhkan). Tetapi buat masa ini penggunaannya hanya terhad melalui telefon pintar (iPhone) dan skrin tablet (iPad) sahaja.

Ini kerana menurut beliau dalam interview bersama majalah Vogue, yang dipetik daripada laporan Apple Insider, teknologi bagi menghasilkan kaca peranti AR yang berkualiti tinggi masih belum lagi wujud buat masa ini.

Kredit foto: Patently Apple.

Pada bulan Julai yang lalu, laman web Patenttly Apple telah pun melaporkan yang Apple Inc. telah mempatenkan cermin mata pintar yang lengkap dengan antaramuka Augmented Reality.

AR merupakan teknologi yang akan dapat mempertingkatkan maklumat persekitaran sebenar yang digabungkan dengan sebahagian visual secara maya melalui komputer. Maklumat secara maya ini terdiri daripada pelbagai jenis data visual seperti objek, teks, lukisan, video, dan sebagainya.

Namun begitu, isu utama yang dibimbangan oleh para penggiat teknologi masih lagi berkaitan dengan isu privasi. Isu ini hangat diperdebatkan ketika kemunculan pertama peranti AR yang boleh dipakai iaitu cermin mata Google Glass.

Jadi, adakah anda teruja dengan teknolgi AR ini ataupun anda lebih bimbangkan privasi diri jika teknologi AR ini digunakan secara meluas pada masa akan datang?

 

Sumber artikel: BBC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here