Laman sesawang Apple German

Ia selepas tindakan Qualcomm mengeluarkan bon untuk menguatkuasakan injunksi kekal larangan penjualan iPhone di Jerman.

Pada 3 Januari lepas, Qualcomm telah mengeluarkan bon sebanyak €1.34 billion Euro bagi membolehkan mereka menguatkuasakan perintah Mahkamah daerah Munich, Jerman, menghalang Apple daripada menjual iPhone di dalam negara Jerman.

Pada 20 Disember tahun lepas, pihak Mahkamah tersebut telah mendapati Apple Inc. telah melanggar harta intelek Qualcomm berkaitan dengan teknologi penjimatan kuasa dalam telefon pintar iPhone.

Berikutan pengeluaran bon tersebut, Apple telah diperintahkan supaya menghentikan penjualan, menawarkan sebarang bentuk tawaran jualan dan mengimport iPhone yang dilengkapi dengan teknologi tersebut dari dijual di Jerman.

Mahkamah juga memerintahkan Apple menarik semula iPhone-iPhone yang terlibat dari penjual pihak ketiga di Jerman.

Semakan yang dibuat terhadap laman sesawang Apple Jerman mendapati, tiada lagi model iPhone 7 dan iPhone 8 dari senarai jualan yang ditawarkan pada laman tersebut.

Hanya model iPhone XS dan iPhone XR sahaja yang ditawarkan di dalam laman sesawang Apple Jerman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here