Apple T2
Cip T2 memang akan menghalang pihak ketiga daripada membaik pulih komputer Macintosh.

Bermula daripada model iMac Pro yang diperkenalkan pada tahun 2017, Apple telah mula memasang cip Apple T2 dalam ke semua model Mac terbaru mereka.

Model-model Mac terbaru yang mengandungi cip T2 ini adalah iMac Pro, Mac mini 2018, Macbook Air 2018 dan Macbook Pro 2018.

Sebelum ini Apple menyatakan bahawa cip T2 adalah merupakan perkakasan tambahan bagi meningkatkan ciri keselamatan Mac serta mengawal fungsi-fungsi sistem lain yang mana sebelum ini ia dikawal oleh cip pemprosesan utama.

Selain itu cip T2 juga kini menjadi kuasa tambahan kepada Mac yang mana ia dapat mempercepatkan proses pengkodan video HEVC.

Walaubagaimanapun, pada awal Oktober yang lalu terdapat khabar angin menyatakan bahawa cip T2 juga memiliki ciri yang menghalang Mac daripada diselenggara atau dibaik pulih oleh pihak ketiga.

Khabar angin tersebut mula didedahkan oleh laman web Motherboard sebelum ini.

Berikutan khabar angin tersebut, pihak iFixit juga telah mengesahkan tentang adanya ciri tersebut menerusi penemuan yang dibuat oleh ujian makmal mereka.

Kini, selepas lebih sebulan khabar angin tentang ciri T2 ini, pihak Apple sendiri akhirnya mengesahkan bahawa cip T2 mereka memang akan menghalang pihak ketiga daripada menyelenggara atau membaik pulih terhadap perkakasan Mac yang dilengkapi dengan cip T2.

Pengesahan tersebut dibuat menerusi jawapan kepada pertanyaan oleh laman web The Verge yang bertanyakan tentang ciri T2 tersebut.

Menurut jawapan yang diberikan Apple kepada mereka, membaik pulih atau mengganti perkakasan yang melibatkan komponen utama seperti papan litar utama dan pengimbas cap jari Macbook Pro, cip T2 akan mengesan dan menyatakan status kepada sistem Mac tersebut bahawa komputer itu masih belum dibaik pulih atau diselenggara, sekiranya ia dibuat oleh pihak ketiga.

Bermakna, selagi ia tidak dihantar kepada pusat servis sah Apple atau ke tangan pihakĀ  berautoriti yang mempunyai akses sah menangani perkakasan Mac, cip T2 akan menetapkan sistem Mac sebagai belum dibaik pulih.

Sekaligus menyebabkan Mac tersebut berkemungkinan tidak boleh beroperasi dengan stabil atau langsung tidak boleh berfungsi.

Jadi, setiap Mac yang mengandungi cip T2 perlu melalui proses khas semakan status sistem oleh juruteknik sah Apple dengan menggunakan aplikasi khas yang dikenali sebagai AST 2 System Configuration bagi membolehkan Mac tersebut berfungsi semula.

Daripada dokumen baik pulih yang didedahkan sebelum ini, perkakasan-perkakasan yang perlu dikonfigurasikan selepas ia dibaik pulih adalah skrin Macbook Pro, papan litar utama Mac, kerangka atas dan dalam, papan kekunci, Touchpad, storan flash iMac Pro dan papan litar Touch ID.

Sungguhpun begitu, buat masa ini ciri cip T2 ini dikatakan belum diaktifkan lagi oleh Apple sepertimana yang dinyatakan oleh pihak iFixit sebelum ini.

Ciri cip T2 ini masih belum dapat difahami dengan jelas tentang keupyaannya buat masa ini. Banyak keberangkalian tentang ciri tersebut bagi menghalang pemilik Mac daripada membaik pulih Mac mereka oleh pihak ketiga.

Buat masa ini, kita tunggu dan lihat….

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here