Apple special event Mac 2018
Tiada iPhone SE 2 atau model Macbook yang lebih murah.

Pada awal pagi tadi (waktu Malaysia pukul 11.00 p.m tadi) telah berlangsungnya acara khas Apple yang di adakan di Lane Tech College Prep High School, Chicago, Illinois. Acara ini yang ditujukan khusus buat warga pendidik dan pelajar memfokuskan pembangunan aplikasi dan penggunaan peranti Apple iPad dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Seperti yang dijangka, Apple telah perkenalkan beberapa produk terbaru mereka pada acara tersebut. Pada acara tersebut CEO Apple, Tim Cook telah perkenalkan model iPad terbaru yang kini turut dilengkapi dengan ciri seperti mana yang terdapat pada iPad Pro.

iPad 9.7″ model 2018

iPad terbaru Apple kini dilengkapi dengan ciri yang sama terdapat pada iPad Pro iaitu ia boleh digunakan bersama Apple Pencil. Apple turut menaik taraf cip pemprosesan iPad ini kepada A10 Fusion serta menjadikan harga iPad terbaru ini lebih murah berbanding sebelum ini.

iPad 2018
Model iPad 2018 kini menyokong penggunaan bersama Apple Pencil serta dilengkapi dengan kuasa pemprosesan yang lebih pantas. Walaubagaimanapun, spesifikasi lain seperti kamera dan saiznya adalah masih sama seperti iPad sebelum ini.

Kini harga iPad+wifi bermula dari RM1449.00 dengan storan 32GB (sebelum ini berharga RM1549). Manakala iPad+wifi+selular dengan storan 32GB pula bermula dari RM1999.00 (sebelum ini berharga RM2199.00).

Tetapi jika anda adalah warga pendidik dan pelajar, anda layak untuk membeli iPad ini dengan harga Apple Education yang lebih murah iaitu bermula dari RM1359.00 bagi model iPad+wifi dan RM1909.00 bagi iPad+wifi+selular.

Aksesori iPad

Apple juga turut perkenalkan 2 aksesori pihak ketiga dari jenama Logitech yang dipanggil Crayon dan Rugged Combo. Logitech Crayon adalah aksesori alternatif dengan harga yang jauh lebih murah berbanding Apple Pencil.

aksesori ipad logitech crayon
Crayon ini dijual pada harga USD49.00 sahaja berbanding Apple Pencil yang berharga USD99.00 (RM419.00).

Sebuah lagi aksesori terbaru yang diperkenalkan Apple untuk iPad ini adalah Logitech Rugged Combo2. Aksesori ini dapat melindungi iPad tersebut daripada sebarang kemalangan ringan di aman ia mampu menahan iPad dari jatuhan setinggi 4 kaki.

Logitech rugged combo2
Aksesori dari Logitech sebagai pelengkap iPad.

Aplikasi baru

Menurut Apple, App Store kini mengandungi sebanyak 200,000 aplikasi yang mengkhususkan bidang pendidikan sahaja.

Pada acara tersebut, Apple lebih banyak membentangkan tentang aplikasi-aplikasi terbaru mereka yang direka khusus untuk guru dan pelajar-pelajar.

Aplikasi-aplikasi baru tersebut adalah aplikasi yang menyokong ciri realiti yang diperkukuhkan (Augmented Reality aka AR) seperti Boulevard AR, Free Rivers (Percuma) dan Froggipedia (Pra tempah RM16.90)

Froggipedia
Aplikasi AR kini dapat digunakan bersama iPad dengan lebih lancar. Penggunaan aplikasi AR bakal mengubah teknik pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Selain itu, Apple turut membangunkan aplikasi khusus untuk pengurusan guru dan pelajar yang dipanggil Classroom. Aplikasi Classroom ini merupakan pembantu dalam proses pengajaran yang membantu guru menguruskan iPad pelajar dan membimbing para pelajar melalui pengajaran dengan memastikan mereka mengikuti pelajaran dengan betul dan berkongsi kerja antara pelajar yang lain.

Aplikasi Classroom
Aplikasi Classroom boleh digunakan di iPad dan Mac.

Apple juga turut menghasilkan aplikasi baru yang dipanggil Schoolwork di mana aplikasi ini dapat membantu guru-guru membuat tugasan, melihat kemajuan pelajar dan membawa masuk aplikasi-aplikasi lain yang dapat menjadikan pembelajaran di dalam kelas menjadi lebih menarik.

Aplikasi Schoolwork
Kredit foto: Apple

Buat masa ini aplikasi Schoolwork masih lagi dalam peringkat percubaan dan ia hanya akan mula dapat digunakan sepenuhnya pada bulan Jun nanti.

Dalam acara ini juga, Apple turut mengumumkan yang mereka akan memulakan kurikulum terbaru yang dikenali sebagai Everyone Can Create di kesemua cawangan Apple Store di seluruh dunia.

Everyone can create
Kurikulum ini dijangka akan bermula dalam tahun ini juga.

Kurikulum ini merupakan program percuma yang akan dapat membantu guru-guru memfokuskan 4 bidang kreatif iaitu lukisan, muzik, pembikinan filem atau fotografi ke dalam mana-mana pelajaran, topik atau tugasan.

Kurikulum ini memberi pelajar cara yang berbeza untuk mereka mengenali diri dan membantu mereka meneroka dan membangunkan kemahiran baru.

Storan iCloud percuma ditambah kepada 200GB

Selain dari perkara-perkara yang diperkatakan di atas, Apple juga mengumumkan storan iCloud percuma ditambah kepada 200GB khas untuk guru dan pelajar (sebelum ini hanya 5GB sahaja). Namun begitu ia hanya boleh diakses oleh guru atau pelajar yang mempunyai Managed Apple ID sahaja.

Apple School

Lain-lain…

iPad terbaru memang dijangka akan diperkenalkan Apple dalam acara ini. Walaubagaimanapun, jangkaan lain seperti yang diperkatakan sebelum ini iaitu kemunculan model terbaru iPhone SE 2, Apple Pencil 2 dan model Macbook yang lebih murah tidak menjadi kenyataan.

Mungkin Apple simpan dulu kot untuk acara terbesar mereka iaitu WWDC 2018 yang akan berlangsung pada 4 Jun ini nanti.

Untuk mengetahui lebih lanjut segala perkara yang diperkatakan Apple pada acara mereka awal hari ini, anda boleh menonton rakaman acara tersebut di laman rasmi Apple.com 

 

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here