Wujudkan Negara Yang Bersatu, Inklusif Dan Saksama.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng pada Jumaat lalu mencerminkan komitmen pihak Kerajaan untuk meningkatkan kesalinghubungan di seluruh negara dalam mempersiapkan Malaysia ke arah Transformasi Digital.

Sejajar dengan aspirasi Kerajaan, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan memberi manfaat bersama kepada rakyat Malaysia mahupun sektor perniagaan dalam usaha untuk membangunkan ekonomi digital negara ke arah Revolusi Industri 4.0, menyemarakkan inovasi dalam pelbagai industri, merapatkan jurang digital serta mewujudkan suatu persekitaran yang kondusif untuk teknologi-teknologi baharu seperti 5G dibangunkan.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga mengalu-alukan pelbagai insentif dengan harapan ia dapat memacu pembangunan ekosistem dan aplikasi 5G yang memperkasakan visi Kerajaan untuk mewujudkan penggunaan aplikasi-aplikasi 5G berdaya maju yang akan mentransformasikan pelbagai industri dan memberi impak positif kepada taraf hidup rakyat di negara ini.

Perkembangan tersebut adalah selari dengan matlamat Suruhanjaya untuk mengkomersialkan beberapa kes kegunaan 5G bermula suku ketiga tahun 2020.

Menurut Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak, “MCMC menyambut baik komitmen Kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi menerusi transformasi digital.

Namun pada masa yang sama, MCMC juga sedar akan kepentingan untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan saksama.

Keseimbangan adalah penting kerana kesalinghubungan digital mampu untuk menggalakkan pertumbuhan di seluruh pelosok negara dan menyediakan tenaga kerja dengan kemahiran yang tepat untuk masa hadapan.

Sebagai sebuah badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, MCMC akan terus menerajui pembangunan infrastruktur digital negara melalui NFCP bagi memastikan sektor perniagaan dan rakyat akan meraih manfaat daripada ekonomi digital tatkala negara melangkah ke era 5G dan Revolusi Industri 4.0.

Usaha ini juga adalah sejajar dengan visi Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Industri 4.0 di rantau Asia Tenggara demi mengembalikan status Malaysia sebagai “Harimau Asia.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here