Beli atau tidak AppleCare

AppleCare Protection Plan merupakan pelan dari Apple yang membolehkan anda memanjangkan lagi tempoh jaminan untuk produk-produk Apple. Setiap poduk Apple yang anda beli secara automatik mempunyai jaminan selama setahun dan sokongan teknikal melalui telefon selama 90 hari dari Apple. Jadi dengan adanya Apple Care anda boleh memanjangkan jaminan dan sokongan teknikal tersebut sehingga 3 tahun (1+2 maksimum, tidak boleh disambung selepas tamat tempoh 3 tahun tersebut).  Namun begitu yang menjadi persoalannya sekarang adalah, patut atau tidak anda membeli Apple Care ini?

Pengalaman ariffmac…

Sewaktu membeli iMac G5 pada tahun 2005, ariffmac tak pernah tahu pun pasal AppleCare ini. Masa nak beli iMac itulah baru tahu pasal ACPP (AppleCare Protection Plan) ni. ariffmac beli iMac G5 tersebut dari Mac Studio di Plaza Low Yat. Penjual di Mac Studio tu pun cerita dengan panjang lebar jugaklah pasal ACPP ni (sebab ariffmac banyak tanya). Masa tu nak dapat info tidaklah sesenang sekarang (semua dihujung jari dan di mana saja anda berada, termasuklah dalam tandas). Setelah puas dan faham dengan penerangan pasal ACPP, barulah keluarga setuju untuk beli iMac G5 sekali dengan ACPP tu.

ariffmac
iMac ni besar jasanya kat aku….

Jadi, dipendekkan cerita…selepas hampir 3 tahun menggunakan iMac tersebut, barulah iMac tu buat hal. Masalah pertama yang dihadapi adalah skrin iMac mula keluar garisan berjalur. Masa tulah jugak baru teringat balik pasal ACPP yang dibeli dulu. Masa tu kalau tak silap, hanya tinggal lagi 8 bulan sahaja sebelum tamat tempoh jaminan iMac tu. Jadi ariffmac pun bawa terus iMac ke kedai penjual sah Apple, Mac Borneo di Kota Kinabalu, Sabah. Selepas semak dengan pendaftaran Apple Care, iMac ariffmac masih ada jaminan selama 8 bulan lagi. Tanpa banyak soal, iMac tersebut dihantar ke Kuala Lumpur untuk diganti skrin iMac dengan yang baru. Selepas 2 minggu, iMac tersebut selesai dibaik pulih. Nasib baiklah ada ACPP, kalau tak memang pakai la je lah iMac tu dengan skrin berjalur.

Selepas itu, iMac mula buat hal lagi. Kali ni pemain DVD nya pula tidak berfungsi. Sekali lagi ariffmac hantar kepada Mac Borneo. Proses baik pulih kali ini lebih singkat, hanya seminggu sahaja selepas ia dihantar ke Kuala lumpur oleh Mac Borneo. ariffmac dengan senang hatinya amat gembira dengan servis Apple. Tiada sebarang duit pun perlu di keluarkan dari poket untuk servis tersebut.

Kemudiannya, tetikus iMac (Apple Mighty Mouse) pulak yang rosak. Tapi tetikus tersebut bukanlah rosak sepenuhnya. Hanya bebuli skrol di atasnya sahaja yang rosak. Lagi sekali ariffmac hantar ke Mac Borneo untuk proses menggantikan tetikus tersebut. 2 minggu kemudian sampailah tetikus baru dari Kuala lumpur. Cumanya kali ni ariffmac perlu bayar RM 8.00 kalau tak silap, untuk kos servis penghantaran tetikus.

640px-apple_mighty_mouse
Tetikus Apple Mighty Mouse ni, bebuli di atasnya memang mudah rosak.

Akhir sekali yang rosak adalah papan kekunci iMac (Apple Keyboard). Yang paling best dia rosak adalah semasa ariffmac tengah nak tekan huruf ‘G’, huruf terakhir masa siapkan laporan praktikal. Cuma masa tu ariffmac terketuk dengan agak kuat pada kekunci tersebut (sebab excited nak abis belajar dah). Terus semua kekunci tidak berfungsi, papan kekunci tu rosak sepenuhnya. Stress! Pada waktu itu jugaklah ariffmac bawa papan kekunci tu ke Mac Borneo sekali lagi untuk tukar yang baru. Masa tu dah tak sedar ACPP masih ada atau tidak. Bila sampai dan semak dengan Apple Care, hanya ada lagi 3 hari sahaja lagi sebelum ACPP tamat tempoh. Fuuuhhh…lega. 2 minggu kemudia Apple keyboard yang baru pun sampai dari Kuala lumpur.

papan-kekunci-apple
Masih putih sama seperti baru dan plastik di bawah pun tak dibuka dari mula dapat. Masih berfungsi dengan baik dan merupakan antara papan kekunci tahan lasak yang pernah Apple hasilkan.

Kesimpulannya

Berdasarkan pengalaman ariffmac sendiri, membeli AppleCare Protection Plan memang amat berbaloi. Tak rugi beli. Selama 3 tahun belajar tak perlu rasa risau jika berlaku kerosakan. Sebab ACPP untuk iMac ada melindungi selama tempoh ariffmac belajar. Harga ACPP untuk iMac G5 pada masa tu adalah RM654.00. Proses menggantikan perkakasan iMac yang rosak amat mudah dan tanpa banyak soal. Cumanya berbalik kepada diri sendiri, adakah anda sanggup untuk membelanjakan sedikit tambahan wang untuk melindungi produk Apple yang anda beli. Produk-produk Apple memang diakui tahan lasak tetapi kerosakan terhadap produk Apple boleh berlaku tanpa disangka-sangka. Jadi ACPP ini adalah sebagai insurans perlindungan kepada produk Apple tersebut.

Anda boleh membeli ACPP ini kemudian hari, tidak semestinya ia perlu dibeli pada masa yang sama anda membeli sebarang produk Apple tersebut. ACPP boleh dibeli selagi produk Apple anda masih dalam tempoh jaminan Apple, iaitu dalam tempoh setahun dari tarikh produk tersebut dibeli. Harga ACPP adalah berbeza mengikut jenis produk Apple. Anda boleh dapatkan maklumat penuh berkaitan ACPP di laman web Apple Support bagi mengetahui produk-produk Apple yang mempunyai ACPP ini. 🙂

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here