Review Mac mini 2018
Menyelami dengan lebih dalam spesifikasi perkakasan utama Mac mini 2018.

Akhirnya, selepas kali terakhir Mac mini model lewat 2014 dikemaskini perkakasannya pada Oktober 2014, Apple telah menaiktaraf perkakasan Mac mini tersebut pada tahun ini.

Dalam acara istimewa Apple yang telah berlangsung semalam, Apple telah memperkenalkan model terbaru Mac mini 2018 yang telah dinaik taraf perkakasannya.

Walaupun masih menggunakan desain yang sama seperti model sebelumnya, Mac mini 2018 kini dilengkapi dengan perkakasan terkini yang jauh lebih berkuasa.

Cip pemprosesan

Mac mini 2018 di datangkan dengan pilihan standad cip pemprosesan Intel Core i3 (3.6GHz quad-core) dan Intel Core i5 (3.0GHz 6 core) generasi ke 8. Tetapi jika pengguna inginkan lebih kuasa pemprosesan, anda boleh konfigurasikan Mac mini 2018 dengan cip pemprosesan Intel Core i7 (3.2GHz 6 core).

Mac mini Intel Core i3 i5 i7

Selepas menyelidik dan membandingkan ketiga-tiga spesifikasi cip pemprosesan tersebut sepertiman yang dinyatakan Apple dengan spesifikasi cip pemprosesan yang dihasilkan oleh Intel menerusi laman web rasminya, AriffMac mendapati nombor prosessor Intel Core i3, i5 dan i7 Mac mini tersebut adalah seperti berikut:-

  • i3-8100 (tiada teknologi turbo boost)
  • i5-5800 (dilengkapi teknologi turbo boost sehingga 4.1GHz)
  • i7-8700 (dilengkapi teknologi turbo boost sehingga 4.6GHz dan Hyper-Threading)

Kesimpulannya di sini, sebolehnya jika anda ingin membeli Mac mini 2018, elakkan daripada membeli Mac mini dengan cip pemprosesan Intel Core i3.

Semoleknya untuk penggunaan dan prestasi jangka panjang, anda patut membeli terus Mac mini dengan spesifikasi Intel Core i7. Itu adalah lebih afdal untuk anda dan Mac tersebut.

Memori RAM

Mac mini 2018 didatangkan dengan kapasiti standad RAM 8GB, tetapi pengguna boleh menaik taraf RAM nya sehingga 64GB maksimum.

Mac mini RAM

Untuk penggunaan asas seperti melayari web, desain grafik atau menaip, 8GB RAM sudah memadai untuk anda.

Tetapi bagi pengguna profesional dalam bidang industri kreatif khususnya seperti pereka grafik, penyunting gambar, video dan audio serta animasi 2D, 16GB RAM adalah konfigurasi terbaik untuk Mac mini tersebut.

Perihal berapa banyak kapasiti RAM yang perlu dimuatkan ke dalam Mac mini sebenarnya tidak perlu dirisaukan sangat. Sebab, tidak seperti model komputer riba Mac terkini, RAM Mac mini boleh dinaik taraf kemudiannya oleh anda sendiri.

Tidak semestinya anda perlu membeli perkakasan RAM ini dari Apple, sebaliknya anda punyai pilihan untuk mendapatkan RAM dari pihak ketiga yang lebih murah harganya.

Storan

Untuk kapasiti storan pula, Apple tidak lagi melengkapi Mac mini dengan jenis storan konvensional, sebaliknya Mac mini 2018 kini didatangkan dengan pilihan konfigurasi standad jenis storan flash PCIe SSD berkapasiti dari128GB dan 256GB.

Storan Mac mini 2018

Kapasiti storan ini juga boleh dinaik taraf kepada bukan setakat 1TB, tetapi sehingga 2TB. Cumanya, tidak seperti model terdahulu, anda tidak boleh menukar kapasiti storan tersebut kemudiannya.

Ini kerana Storan Mac mini 2018 dipateri mati di atas papan litar utama. Jadi jika anda ingin membeli Mac mini 2018, tentukan saiz storan yang sesuai dengan keperluan anda.

Dengan kata lain, elakkan kapasiti storan 128GB sebab kompom tak cukup dan berkemungkinan besar anda akan menyesal kemudian hari.

Tambahan pula Mac mini adalah kategori komputer meja, bukan komputer riba. Pasti pelbagai jenis data dan fail bersaiz besar akan disimpan di dalamnya.

Melainkan anda memang rajin dan bijak mengurus data storan komputer (atau lantaklah), bolehlah beli Mac mini dengan storan 128GB sahaja.

Grafik

Apple turut menaik taraf kuasa grafik Mac mini dengan menggunakan cip terbaru Intel UHD Graphics 630. Mungkin pada sebilangan anda memandang enteng terhadap kuasa grafik Mac mini ini.

Ye lah, cip grafik Intel, tak cukup power. Tapi jangan tak tahu, cip Intel Mac mini ini mampu menyokong sehingga 3 paparan dengan resolusi 4096×2304 menerusi 2 sambungan Thunderbolt 3 dan 1 dari sambungan HDMI 2.0.

Atau anda boleh sambungkan 2 paparan iaitu satu skrin 5K (5120×2880) menerusi sambungan Thunderbolt 3 dan satu lagi pada sambungan HDMI 2.0 (4096×2160).

Ia jauh meninggalkan keupayaan model Mac mini terdahulu. Sebagai contoh, Mac mini model lewat 2014 hanya mampu disambungkan bersama 2 monitor dengan saiz paparan 2560×1600 sahaja.

Maka jelas di sini bahawa cip grafik Intel terbaru yang dimuatkan dalam Mac mini 2018 sebenarnya cukup berkuasa.

Walaubagaimanapun, adakah ia mencukupi keperluan anda? Memang agak mengecewakan kerana Apple tidak melengkapi Mac mini (atau sekurang-kurangnya untuk versi pro) dengan cip GPU ke 2 seperti yang terdapat dalam Macbook Pro 15″ model 2018 atau iMac 4K.

Atau memberi pilihan kepada pengguna untuk menaik taraf cip grafik tersebut kepada yang lebih berkuasa sepertimana ia membenarkan pengguna memilih saiz kapasiti storan dari laman web mereka.

Malah jika anda ingin menyambungkan sehingga 3 paparan 4K bersama Mac mini sekaligus dan melaksanakan tugasan berat (bermain dengan pelbagai elemen visual beresolusi tinggi), ia mungkin agak melampau untuk Mac mini.

Ini yang perlu dilihat kepada spesifikasi Mac mini seterusnya…

Sambungan

Mac mini ports

Apple telah menaiktaraf sambungan yang ada pada Mac mini dengan 4 sambungan berkelajuan tinggi Thunderbolt 3 (USB-C), 1x HDMI 2.0, 2x USB 3.0 dan 1x Ethernet (atau anda boleh menaik taraf kepada sambungan 10 Gigabit Ethernet (Nbase-T Ethernet yang menyokong kelajuan 1Gb, 2.5Gb, 5Gb, and 10Gb).

Manakala sambungan fon kepala 3.5mm masih dikekalkan, tetapi membuang slot kad SDXC.

Berbalik kepada isu kuasa grafik Mac mini tadi, dengan adanya sambungan Thunderbolt 3 (USB-C) pada Mac mini 2018, anda kini boleh menyambungkan peranti tambahan kad grafik luar (eGPU dijual berasingan) seperti dari Black Magic atau Razer Core X bersama Mac mini 2018. Sekaligus akan mempertingkatkan kuasa grafik Mac mini tersebut

Blackmagic eGPU
eGPU dari Black Magic.

Cip Apple T2

Bermula dari iMac Pro yang diperkenalkan pada tahun lepas, Apple telah mula memuatkan cip pemprosesan T2 yang dibangunkan mereka sendiri ke dalam setiap Mac secara berperingkat

Mac mini Cip T2
Mac mini dengan cip T2. Kredit imej: Apple

Mac mini 2018 juga tidak terlepas dari cip T2 ini. Menurut Apple, selain daripada meningkatkan ciri keselamatan data Mac mini, ia juga kini bantu mempercepatkan proses transcoding video HEVC sehingga 30X lebih pantas.

Tetapi ini juga bermakna, Apple telah memulakan langkah bagi menghalang produk-produk keluaran mereka daripada dibaiki oleh pihak ketiga, sepertimana khabar angin yang dilaporkan sebelum ini.

Lain-lain…

Selain daripada spesifikasi utama di atas, Applememuatkan perkakasan sambungan tanpa wayar Bluetooth kepada versi 5.0 dan mewarnakan Mac mini dengan warna Space Grey.

Mac mini suhu
Mac mini 2018 juga kini beroperasi pada kadar kekuatan bunyi yang lebih rendah berbanding model terdahulu.

Kesimpulan

Pada awalnya Ariffmac menjangkakan Mac mini ini akan dijual di bawah harga RM3 ribu. Tetapi sebaliknya, harga permulaan Mac mini 2018 adalah bermula dari RM3449.00 dan boleh mencecah sehingga melebihi RM18 ribu (konfigurasi perkakasan maksimum).

Adakah kerana faktor semasa tukaran matawang asing menjadikan Mac mini ini agak mahal? Mungkin.

Tetapi jika anda yang mementingkan kualiti, kemasan, ketahanan, kestabilan, dan mahukan sebuah komputer beroperasi dengan prestasi konsisten untuk jangka masa yang lama, Mac mini adalah antara pilihan terbaik yang ada sekarang.

Malah Mac mini juga adalah model komputer Apple termurah yang boleh dimiliki serta masih boleh dinaik taraf perkakasannya.

Cuma, jangan dibandingkan cip Intel UHD Graphics 630 Mac mini ini dengan kad grafik berkuasa tinggi seperti Nvidia GeForce GTX atau Radeon RX dari AMD. Sebab jelas prestasi cip grafik Intel adalah jauh lebih rendah berbanding 2 jenama kad grafik tersebut.

Mac mini sudah cukup berkuasa untuk pengguna biasa mahupun profesional melakukan tugas-tugasan harian mereka. Aplikasi profesional seperti suntingan video Final Cut Pro X atau aplikasi grafik Adobe Photoshop boleh dijalankan dengan lancar dan memberikan prestasi yang diperlukan.

Cuma, ia tidak sesuai bagi para animator 3D atau menjalankan aplikasi efek visual kompleks yang memerlukan kuasa kad grafik berprestasi tinggi.

Tetapi masalah tersebut dapat di atasi dengan menyambungkan perkakasan kad grafik luar (eGPU) menerusi sambungan Thunderbolt 3 (USB-C) yang ada pada Mac mini 2018. Ia sekaligus akan merubah Mac mini kepada sebuah Mac berprestasi tinggi.

Jadi, apa kata anda, patut beli atau tidak Mac mini 2018? Info lanjut sila layari laman muka rasmi Mac mini Apple Malaysia.

 

P/s: Sekadar makluman, Mac mini tidak didatangkan sekali bersama aksesori papan kekunci, tetikus dan monitor komputer. Anda perlu membeli aksesori-aksesori tersebut secara berasingan.

Begitu juga dengan kabel sambungan lain yang mungkin diperlukan. Pendek kata, perlu ada bajet tambahan.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here