Ciri baru ini diaktifkan secara automatik. Tapi pengguna boleh mematikannya jika…

Bermula dengan versi macOS Catalina 10.15.5, Apple telah memperkenalkan ciri baru yang dikenali sebagai “battery health management“.

Walaubagaimanapun, ciri baru ini hanya diaplikasikan pada MacBook Pro dan MacBook Air yang dilengkapi dengan sambungan Thunderbolt 3 sahaja ketika ini.

Bermakna hanya barisan model MacBook Pro dari tahun 2016 dan terbaru serta model MacBook Air Retina dari tahun 2018 dan terbaru sahaja yang menyokong ciri “battery health management“.

Tetapi apa tujuan utamanya dan bagaimana ia berfungsi?

Fungsi utama

Apple menyatakan bahawa “battery health management” adalah bertujuan bagi memanjangkan jangka hayat bateri yang ada di dalam barisan model komputer riba Apple.

Sebagai contoh, jika sebelum ini kitaran hayat bateri MacBook mampu bertahan sehingga 1000 ulang kali cas penuh atau sekitar 3 tahun, tetapi kini dengan adanya ciri “battery health management“, jangka hayat bateri MacBook akan dapat dilanjutkan lebih panjang daripada tempoh tersebut.

Tetapi, bagaimana ia dapat dilakukan?

Bateri MacBook tidak dicas penuh

Untuk tujuan itu, komputer riba Apple yang menyokong ciri “battery health management” tidak lagi dicas penuh sehingga 100%.

Ia adalah bagi mengurangkan kadar usia kimia dalam bateri ithium-ion MacBook apabila pengecas kuasa disambungkan bersama komputer riba tersebut.

Ciri ini diaktifkan secara automatik pada model MacBook yang menyokongnya. “Battery health management” akan memonitor suhu bateri dan corak pengecasan bateri ketika MacBook dicas.

Dengan kata lain, ciri pintar ini mengoptimasikan secara automatik kapasiti peratusan bateri MacBook ketika dicas mengikut gaya penggunaan harian anda.

Ia sekaligus dapat mengurang dan memperlahankan penggunaan sepenuhnya kapasiti bateri ithium-ion MacBook tersebut.

Jadi, pengguna akan mendapati kapasiti bateri MacBook mereka hanya akan dicas sekitar 90% hingga 99% sahaja daripada 100% kapasitinya, walaupun pengecas sedang disambungkan.

(Daripada perkongsian pengguna lain, ada yang mendakwa bateri MacBook Air mereka berhenti dicas setakat 85% sahaja selepas dikemas kini kepada versi macOS 10.15.5. Tetapi ada juga pengguna yang mendakwa tiada sebarang perubahan. Corak pengecasan bateri adalah masih sama iaitu pada kapasiti 100%, walaupun ciri “battery health management” diaktifkan.)

Walaubagaimanapun…

Ciri baru ini mungkin akan dapat memanjangkan usia bateri MacBook dan memberikan lebih manfaat kepada pengguna.

Tetapi ia mungkin tidak begitu praktikal bagi pengguna yang mahukan MacBook mereka dapat beroperasi lebih lama ketika dalam mod bateri.

Jadi, anda boleh sahaja nyah aktifkan ciri tersebut dalam tetapan System Preferences.

System Preferences > Energy Saver > Battery Health > Turn Off

Kesimpulan

Tujuan utama ciri “battery health management” ini diperkenalkan adalah bagi memanjangkan hayat bateri MacBook dengan menghadkan kapasiti bateri daripada dicas penuh 100%.

Namun begitu, ciri baru ini mungkin tidak praktikal pada semua pengguna MacBook. Ia bergantung pada cara penggunaan harian anda iaitu sama ada selalu menyambungkannya bersama pengecas atau kerap bergantung operasi MacBook dalam mod bateri.

Namun begitu, ciri baru ini masih awal lagi untuk difahami dengan lebih lanjut. Harapnya Apple akan dapat memberikan lebih perincian tentang ciri baru ini seperti adakah ciri ini turut mempunyai kaitan dengan prestasi MacBook apabila ia diaktifkan.

Juga secara khusus tentang setakat manakah limitasi kapasiti bateri MacBook memberhentikan pengecasannya? Adakah pada kapasiti 90%, 80% atau sebaliknya?

Ini kerana dikhuatiri ia boleh menimbulkan rasa syak wasangka pengguna terhadap Apple yang mungkin memanipulasi ciri ini secara diam-diam. Sepertimana yang berlaku pada isu “throttling” bateri iPhone sehingga menyebabkan Apple dikritik teruk malah disaman oleh para pengguna iPhone di beberapa buah negara.

P/s: Jika anda dapati kapasiti bateri anda adalah kurang daripada 80%, sebaiknya anda segera menghantarnya ke pusat servis sah Apple bagi mendapatkan ganti baru secara percuma ke atas bateri MacBook tersebut (hanya sah ke atas model MacBook/Pro/Air yang masih dalam jaminan Apple. Sila rujuk artikel sebelum ini.)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here