solat anak kecil

Tabiat umat akhir zaman, dunia di dahulukan, khutbah Jumaat kau abaikan…

Idea tulisan ini timbul selepas AriffMac melihat mutakhir ini tabiat buruk yang makin menjadi-jadi dikalangan umat islam. Khususnya kaum lelaki yang diwajibkan menunaikan solat Jumaat.

Isu yang dimaksudkan di sini adalah berkaitan dengan tabiat masyarakat yang lebih cenderung melihat atau melayan telefon pintar mereka berbanding menunaikan kewajipan mendengar khutbah Jumaat.

Telefon pintar vs Khutbah Jumaat

Tidak dinafikan peri pentingnya telefon pintar dalam kehidupan seharian era kini. Malah adalah bodoh jika mengatakan yang telefon pintar sebagai punca kepada masalah ini.

Ini kerana, punca utama masalah ini adalah pengguna itu sendiri yang tidak sedar atau mengaku yang sebenarnya mereka ketagih melampau terhadap telefon pintar mereka.

Akibat daripada ketagihan itu, mereka lebih sanggup menatap dan melayan telefon pintar berbanding mereka mendengar khutbah Jumaat yang sedang disampaikan oleh khatib.

Walhal memberikan tumpuan dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib dari mimbar masjid merupakan salah satu syarat kesempurnaan solat Jumaat yang akan didirikan.

Jadi, aktiviti yang selain daripada berdiam diri dan tidak memberikan tumpuan terhadap khutbah adalah amat dilarang sama sekali.

Adalah mustahil jika ada dikalangan kita tidak tahu bahawa Nabi SAW pernah bersabda,

“Jika kamu berkata-kata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, walau dengan perkataan diam sekali pun, ketika khatib sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, dari Abu Hurairah r.a.

Ini kerana hadis tersebut sering diucap oleh imam mahupun bilal sebelum bacaan khutbah Jumaat dimulakan.

Malah perbuatan seperti membaca Al-Quran, berdoa atau berzikir ketika khutbah sedang dibacakan juga adalah tidak digalakkan sepertimana pendapat para ulama keseluruhannya.

Inikan pula menatap telefon pintar yang langsung menunjukkan betapa tiada adabnya kita terhadap khutbah yang sedang dibacakan.

Tiada malu, tiada adab

Apa yang lebih menghairankan adalah, mereka yang terbiasa dengan tabiat buruk ini langsung tiada rasa malu.

Mereka langsung tidak menghiraukan jemaah lain yang memerhati kelakuan mereka (menghulur salam pun tidak) ataupun menerima teguran dari jemaah lain.

Kini boleh dikatakan sebahagian besar masjid-masjid diseluruh negara telah mula mewujudkan skuad khas bagi menangani masalah ini.

Skuad ini akan bertindak menegur jemaah yang sedang leka melayan telefon pintar mereka supaya memberikan perhatian terhadap khutbah yang sedang berlangsung.

Tetapi malangnya bertahanlah 5 saat, selepas itu jemaah itu akan kembali semula melayan telefon pintar mereka.

Mereka lebih berasa seronok melayan perkara yang tiada kena mengena dengan Solat Jumaat seperti berWhatsApp, bermain permainan strim seperti PUBG, menonton video YouTube, Facebook, Instagram, memuat naik status di Twitter dan lain-lain berbanding mendengar isi khutbah.

Situasi mutakhir ini amat menyedihkan sekali.

Daripada satu hadis lain, dari Ibnu Abbas, Nabi SAW pernah bersabda,

”Barang siapa yang berbicara pada ketika Imam sedang khutbah Jumaat, maka ia seperti keldai yang memikul lembaran-lembaran (tiada manfaat). Siapa yang diperintahkan untuk diam (lalu tidak diam), maka tidak ada Jumaat baginya (tidak sempurna),” (Hadis Riwayat Ahmad).

Masalah ini mungkin nampak remeh ketika ini. Tetapi pada masa akan datang ia boleh menjadi masalah berat berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku anak-anak kecil kita yang turut sama datang ke masjid di hari Jumaat tetapi lebih sibuk bermain telefon pintar.

Jika tidak ditegah dari sekarang, bila lagi?

Matikanlah sebentar telefon pintar tu…

Peringatan ini bukan sahaja ditujukan pada pembaca sahaja, sebaliknya adalah sebagai peringatan bersama buat penulis juga.

Sebaiknya tinggalkanlah telefon tu sebentar di rumah atau matikan sahaja telefon tersebut demi memberikan sepenuh perhatian kita kepada khutbah dan solat Jumaat yang hendak didirikan.

Sekaligus tidak menggangu jemaah yang lain.

Tiada rugi sedikitpun ia kepada kita semua. Jangan jadikan teknologi sebagai penghalang untuk kita beribadah dengan sempurna. Dan jangan pula jadikan teknologi sebagai punca kita beribadah sia-sia.

Sekian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here