SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dimaklumkan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) berhubung kerosakan terhadap salah satu segmen kabel dasar laut Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2) yang menghubungkan Chongming, China dan Lantau, Hong Kong (segmen 3).

Sistem kabel dasar laut APCN2 ini yang menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat adalah salah satu daripada 14 sistem kabel dasar laut yang disertai oleh TM di seluruh dunia.

Sementara pihak konsortium yang menyenggara APCN2 mengenal pasti lokasi kerosakan untuk kerja baik pulih, TM telah mengambil langkah pantas yang sewajarnya bagi penyuraian aliran trafik yang terjejas melalui rangkaian kabel dasar laut lain miliknya agar impak ke atas pengguna dapat dikurangkan.

Di samping itu, TM juga telah mengaktifkan kapasiti tambahan melalui sistem kabel dasar laut Cahaya Malaysia yang menghubungkan trafik antarabangsa Malaysia ke Jepun.

Berikutan insiden tersebut, pengguna internet di Malaysia telah mengalami gangguan minimum sahaja kerana terdapat jaringan kabel dasar laut lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan trafik internet, sekiranya diperlukan.

Selain itu, nama besar seperti Akamai Technologies, Amazon.com, Facebook Inc., Google Inc. dan Microsoft MSN serta beberapa lagi penyedia kandungan antarabangsa telah membuat sambungan ‘peering’ di Malaysia Internet Exchange Malaysia (MyIX) di samping menyediakan pelayan ‘cache’ di rangkaian penyedia perkhidmatan Internet tempatan.

Oleh itu, kandungan-kandungan ini masih lagi boleh dicapai oleh pengguna internet tempatan tanpa gangguan.

TM juga memberi jaminan untuk melaksanakan semua langkah yang perlu bagi mengurangkan impak gangguan perkhidmatan kepada pengguna.

MCMC akan terus memantau situasi ini bagi memastikan perkhidmatan internet kepada pengguna tidak mengalami sebarang implikasi yang serius khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung.

Kebergantungan masyarakat terhadap perkhidmatan jalur lebar pada ketika ini adalah amat penting terutamanya kepada sektor perniagaan, perkhidmatan malah pendidikan yang kini turut menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here