Fokus kajian yang melibatkan pihak kerajaan dan swasta adalah mengenai cara-cara untuk memanfaatkan infrastruktur dan kekuatan sedia ada serta mekanisme holistik untuk pelaksanaannya.

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa inisiatif ID Digital Nasional telah menerima persetujuaan Jemaah Menteri.

ID Digital Nasional adalah satu usaha Kerajaan untuk membolehkan rakyat Malaysia yakin berhadapan dengan aktitivi ekonomi digital.

Inisiatif ini akan diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia manakala kajian terperinci mengenai model pelaksanaan dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sebagai langkah pertama inisiatif ini, satu kajian komprehensif akan dijalankan mulai September 2019 untuk tempoh sembilan bulan.

Kajian ini akan mengenal pasti rangka kerja ID Digital Nasional yang holistik dan akan mencadangkan saranan-saranan kepada Kerajaan mengenai model pelaksanaan yang sesuai yang memenuhi keperluan rakyat, perniagaan dan negara.

Ia akan mengambil kira konteks unik Malaysia termasuk infrastruktur MyKad dan swasta yang sedia ada, faktor-faktor semasa sambil mengenal pasti polisi-polisi baru yang diperlukan.

Kajian ini akan melibatkan pihak kerajaan, swasta dan akademik.

Adalah diharapkan kajian dan usaha yang diselaraskan antara pihak berkepentingan utama daripada semua sektor, industri dan orang awam akan melahirkan mekanisme yang lebih baik untuk pelaksanaan ID Digital Nasional di Malaysia.

Kemajuan teknologi-teknologi Revolusi Industri 4.0 menyebabkan masyarakat semakin beralih ke arah digital.

Malaysia turut serta dengan negara-negara lain di rantau ini dengan menerajui pembangunan platform pengenalan digital, yang mampu membantu pengguna berurus niaga secara selamat dan lancar.

ID Digital Nasional ini bukan pengganti kepada MyKad atau Kad Pengenalan sedia ada dan ia juga tidak diwajibkan untuk semua.

Sebaliknya, ID Digital Nasional ini adalah satu teknologi pengesahihan dinamik yang direka untuk perniagaan ataupun urusan yang dikendalikan secara dalam talian.

Sama ada seseorang pengguna membuka akaun buat kali pertama, log masuk untuk urusan perniagaan ataupun membuat pembayaran secara digital, ID Digital Nasional ini membantu sesuatu perniagaan itu membuat keputusan yang tepat dan boleh dipercayai dalam masa yang nyata.

Infrastruktur yang sedia ada di Malaysia telah membina asas kepada pembangunan ID Digital Nasional.

Ini adalah satu kelebihan kerana ia membolehkan pelaksanaan yang lancar apabila siapnya kajian berkenaan pada pertengahan tahun 2020.

Pelaksanaan ID Digital Nasional dijangka memberi manfaat kepada individu dan juga perniagaan.

Ia akan menjadi mudah untuk Rakyat di mana mereka tidak perlu lagi mengingati nama pengguna dan kata laluan yang berlainan untuk pelbagai perkhidmatan atau bahkan membawa beberapa token untuk beralih secara digital.

Urus niaga boleh dibuat secara selamat dengan akses saluran omni pada mana-mana peranti, bila-bila masa, di mana sahaja, malah dari luar negara.

Di samping itu, ID Digital Nasional juga akan membolehkan Kerajaan dan perniagaan ruang untuk memupuk inovatif dan menawarkan perkhidmatan digital yang mampu memudahkan proses perniagaan menggunakan penandatanganan digital.

Ini akan memupuk penambahbaikan proses dan mewujudkan kecekapan kerana platform digital ini dijangka mengguna pakai standard interoperability, aspek keselamatan yang kukuh dan kepercayaan untuk berurus niaga melalui jaminan identiti yang memanfaatkan teknologi yang mantap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here