
Dikemaskini pada Rabu 20 Mac 2019.
Apple turut menaik taraf kuasa grafik iMac dengan kad grafik Radeon Pro Vega.
Jika semalam Apple telah mengumumkan model terbaru iPad Air dan iPad mini 2019, hari ini Apple menaik taraf pula perkakasan komputer meja mereka iaitu iMac 4K 21.5″ dan iMac 5K 27″.
Model iMac 21.5″ kini dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Quad Core dan Intel 6 Core generasi ke-8.
Manakala bagi model iMac 27″ pula, ia dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel 6 Core dan 8 Core generasi ke-8 dan 9.
Selain itu, Apple kini turut memberikan pilihan kepada pembeli untuk menaik taraf kuasa grafik model iMac 4K 21.5″ dengan cip grafik Radeon Pro Vega 20.
Menurut Apple kuasa grafik dari Radeon Pro Vega 20 meningkatkan prestasi grafik iMac 4K 21.5″ sehingga 80%.

Manakala bagi model iMac 5K 27″ pula, pembeli kini boleh menaik taraf kuasa grafiknya dengan cip grafik Radeon Pro Vega 48.
Walaubagaimanapun, pilihan menaik taraf GPU iMac ini hanya ditawarkan bagi model iMac 4K 21.5″ yang dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Core i5 dan ke atas serta model iMac 5K 27″ dengan cip Intel generasi ke-9 sahaja.
Model terbaru kedua-dua iMac tersebut kini sudah pun ditawarkan di laman rasmi Apple Malaysia.
Harga iMac 4K 21.5″ terbaru ini berharga dari RM5599.00. Manakala harga iMac 5K 27″ pula bermula dari RM7699.00.
Info lanjut tentang model terbaru iMac tersebut boleh didapati di laman rasmi Apple Malaysia.
Tidak dilupakan juga iMac Pro
Selain menaik taraf 2 iMac tersebut, Apple juga secara diam-diam memberikan pilihan terbaru kepada pembeli untuk menaik taraf perkakasan iMac Pro.
Hanya pembelian menerusi laman rasmi Apple, iMac Pro kini menawarkan pilihan untuk pembeli menaik taraf RAM dan kuasa grafiknya kepada perkakasan yang lebih berkuasa.
Kini iMac Pro boleh dikonfigurasi dengan cip grafik Radeon Pro Vega 64X dengan memori 16GB HBM2. Juga perkakasan RAM yang mana iMac Pro kini menyokong kapasiti RAM sehingga 256GB (2666MHz DDR4 ECC).
























[…] iMac kini dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-9 […]