Mac Pro 2019

Menyelak lebih sikit ke dalam spesifikasi Mac Pro 2019.

Apple akhirnya mula menawarkan Mac Pro 2019 kepada pengguna. Ia memang tidak disangkal adalah model komputer meja paling berkuasa yang pernah Apple hasilkan.

Tetapi ia juga merupakan Mac yang paling mahal pernah Apple tawarkan kepada pengguna.

Secara umumnya, Apple kembali menjadikan Mac Pro kepada lebih mesra pengguna yang gemar menaik taraf perkakasan (selepas  Mac Pro 2013 dikritik teruk pengguna).

Slot dan Sambungan (Ports)

Mac Pro 2019 dilengkapi dengan 2 slot storan SSD, 12 slot RAM dan 8 slot PCIe.

Slot PCIe Mac Pro 2019. Kredit imej: Apple

Jadi dengan adanya 8 slot PCIe, ia membolehkan pengguna menambah sambungan yang diperlukan untuk Mac Pro pada bila-bila masa atau perkakasan lain seperti kad grafik terbaru pada masa depan di slot Mac Pro Expansion Module (MPX Module) .

MPX Module. Kredit imej: Apple

Selain itu, setiap konfigurasi standad Mac Pro dilengkapi dengan 2x sambungan USB 3, 4x Thunderbolt 3, 2x HDMI 2.0, 2X Ethernet 10GB dan bicu audio 3.5mm.

Intel Xeon W

Setakat ini, belum ada pengesahan model siri cip pemprosesan Intel Xeon W yang digunakan pada Mac Pro 2019.

Walaubagaimanapun, bermungkin besar kesemua model Mac Pro 2019 dilengkapi dengan cip Intel Xeon W yang telah dilancarkan Intel pada suku kedua 2019 lalu.

Andaian ini berdasarkan semakan terhadap spesifikasi setiap cip Intel Xeon W yang digunakan pada Mac Pro 2019 dengan senarai siri cip Intel Xeon W yang tersenarai di laman Intel.

Sumber: Intel

Namun begitu Intel mungkin melakukan konfigurasi khas bagi memenuhi spesifikasi yang Apple mahukan untuk Mac Pro 2019.

Ini kerana jumlah Cache bagi setiap cip Intel Xeon W yang diguna dalam Mac Pro 2019 adalah lebih tinggi berbanding jumlah Cache yang dinyatakan Intel bagi siri Intel Xeon W mereka.

Jadi, spesifikasi siri Intel Xeon W yang digunakan pada Mac Pro 2019 mungkin sedikit berbeza.

(Artikel ini akan dikemas kini jika terdapat perubahan fakta).

RAM

Mac Pro 2019 dilengkapi sebanyak 12 slot RAM. Membolehkan komputer berkuasa ini menyokong kapasiti RAM sehingga 1.5TB dengan mengisi penuh 12 slot RAM berkapasiti 128GB.

Tetapi sokongan kapasiti maksimum RAM itu hanya bagi model Mac Pro 24 Core dan 28 Core sahaja.

Sementara model Mac Pro 8 Core, 12 Core dan 16 core pula hanya menyokong kapasiti RAM sehingga 768GB sahaja dengan memenuhi RAM berkapasiti 64GB pada kesemua 12 slot RAM tersebut.

Menambah RAM Mac Pro 2019 pula tidak semestinya hanya dari Apple sahaja kerana beberapa pengeluar perkakasan komputer seperti dari OWC, Crucial dan Samsung sudah ada menawarkan alternatif RAM untuk Mac Pro 2019.

Malah Apple juga ada memberikan panduan khsusus kepada pengguna untuk mereka menaik taraf RAM Mac Pro ini dengan sendiri.

Kuasa grafik

Buat masa ini, pilihan kad grafik tertinggi yang ditawarkan untuk Mac Pro 2019 adalah 2x kad grafik Radeon Pro Vega II Duo (2x32GB memori HBM2 setiap satu.)

Radeon Pro Vega II Duo
Melengkapi Mac Pro dengan 2x Radeon Pro Vega II Duo bermakna Mac Pro 2019 menyokong sehingga 4 kad grafik AMD serentak. 2x kad grafik Radeon Pro Vega II Duo ini disambungkan menerusi sambungan yang Apple namakannya sebagai Infinity Fabric Link. Kredit imej: Apple

Konfigurasi 2x kad grafik Radeon Pro Vega II Duo membolehkan Mac Pro menyokong sehingga 12x paparan 4K (3840 x 2160, 60Hz), 6x paparan 5K (5120 x 2880, 60Hz) atau 4x paparan Pro Display XDR (6016 x 3384, 60Hz) dengan 2x paparan 5K menerusi sambungan Thunderbolt 3.

Apple juga ada memberikan panduan cara menaik taraf kad grafik Mac Pro 2019 kepada pengguna.

Setakat ini, hanya model kad grafik AMD Radeon Pro 580X MPX Module, AMD Radeon Pro Vega II MPX Module dan AMD Radeon Pro Vega II Duo MPX Module sahaja yang menyokong Mac Pro 2019.

Tetapi Apple menjanjikan lagi 2 pilihan kad grafik kepada pengguna nanti iaitu 1x Radeon Pro W5700X (16GB memori GDDR6) atau 2x Radeon Pro W5700X.

Storan

Kapasiti standad storan SSD Mac Pro 2019 hanyalah berkapasiti 256GB. Saiz ini sudah tentunya amat tidak releven bagi pengguna profesional.

Mac Pro terbaru mempunyai 2 slot storan yang membolehkan pengguna menaik taraf kapasiti storan mereka sehingga 8TB (2x 4TB).

Slot storan SSD Mac Pro 2019. Kredit imej: Apple

Tetapi buat masa ini, Apple hanya menawarkan pilihan storan sehingga 4TB sahaja di laman rasmi mereka.

Alternatif storan dari pihak ketiga juga masih belum ada buat masa ini. Malah mungkin tidak akan ditawarkan langsung oleh pihak ketiga. Ini kerana terdapatnya cip Apple T2 di dalam Mac Pro tersebut yang mengawal sepenuhnya penginkripan storan Mac Pro.

“…256GB SSD and is configurable to a 1TB, 2TB, 4TB or 8TB SSD — all encrypted by the T2 chip.” Apple.

Jadi, satu-satunya pilihan storan yang ada bagi mengisi 2 slot storan Mac Pro tersebut hanyalah dari pihak Apple sahaja.

Tetapi pengguna boleh menambah kapasiti storan Mac Pro 2019 dengan memasang kit storan pihak ketiga dari Pegasus yang ditawarkan di laman Apple iaitu model Promise Pegasus R4i 32TB RAID MPX Module Kit yang berharga USD2,299.95.

Promise Pegasus R4i
Promise Pegasus R4i. Kredit: Apple

Apple Afterburner

Selain daripada perkakasan utama di atas, Apple turut menawarkan satu lagi perkakasan khas iaitu Afterburner apa yang Apple nyatakan sebagai “...to enhance Apple ProRes and ProRes RAW workflows for film and video professionals.”.

Afterburner

Afterburner dioptimasi secara khusus bagi memproses kerja-kerja yang hanya berkaitan fail video Apple ProRes dan Pro Res RAW.

Beban kerja yang ditanggung itu termasuklah semua proses pengkodan ProRes dan Pro Res RAW, proses nyah kod dan memain semula fail ProRes dan Pro Res RAW.

Ini sekaligus akan mempercepatkan Mac Pro 2019 memproses kesan khas serta meningkatkan kepantasan transcoding dan sharing projek dan fail ProRes dan Pro Res RAW.

Dengan kata lain, Afterburner membantu meringankan beban kerja yang ditanggung oleh cip pemprosesan utama Mac Pro 2019.

Walaubagaimanapun, Afterburner ini hanya memberikan manfaat terhadap mana-mana aplikasi Apple yang memainkan fail ProRes dan Pro Res RAW sahaja.

Aplikasi ini termasuklah Final Cut Pro X, Motion, Compressor dan QuickTime Player.

Aplikasi pihak ketiga mungkin turut mendapat manfaat daripada Afterburner tetapi Apple tidak menyatakannya secara jelas.

Bagi pengguna profesional yang banyak bermain dengan fail ProRes dan Pro Res RAW serta aplikasi video profesional Apple, Afterburner semestinya menjadi perkaksan yang harus dipasang dalam Mac Pro kerana ia akan banyak membantu tugasan harian mereka.

Mac Pro 2019 mampu menyokong sehingga 3 kad Afterburner sekaligus. Ia dijual pada harga RM8,800/unit.

Kesimpulan

Selepas Mac Pro 2013 aka Mac Pro tong sampah dikritik teruk, Apple akhirnya akur dan mengakui kesilapan mereka.

Menjadikan Mac Pro 2019 lebih mudah dinaik taraf serta kembalinya semula rekaan kerangka ikonik pada model ini adalah sebagai buktinya.

Lebih mudah dinaik taraf perkakasannya juga sekaligus menjadikan hayat Mac Pro 2019 lebih panjang menerusi sokongan versi macOS terbaru yang ditawarkan Apple setiap tahun.

(Ayat pendeknya,Mac Pro 2019 future proof).

Mac Pro 2019 sudah pun mula ditawarkan secara rasmi di laman Apple Malaysia yang berharga dari RM25,999.00.

Tetapi konfigurasi spesifikasi tertingginya boleh menjadikan harga Mac Pro 2019 mencecah sehingga RM231,039.00 (harga ini termasuk pilihan kerangka Mac Pro dengan roda).

Walaupun ramai yang berpendapat Mac Pro adalah terlalu mahal bagi mereka, tetapi bagi pemain utama industri ia merupakan suatu yang biasa bagi mereka.

P/s: – Mac Pro 2019 kini turut didatangkan bersama dengan USB‑C to Lightning Cable, Magic Keyboard dan Magic Mouse 2.

Perlindungan Apple Care bagi Mac Pro berharga RM1,199.00.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here