iPad Pro 2018
iPad Pro 2018 lebih berkuasa, reka bentuk baru dan miliki pelbagai ciri menarik, tapi…

Pada minggu lepas, telah dibincangkan tentang produk yang baru yang diperkenalkan Apple untuk tahun 2018 ini iaitu Mac mini dan Macbook Air.

Lagi satu produk utama yang telah diperkenalkan dan akan dibincangkan dalam artikel kali ini adalah iPad Pro 2018.

Tiada lagi iPad Pro 10.5″

Apple akhirnya telah berjaya mereka bentuk iPad Pro tanpa butang kembali seperti iPhone 2018 serta tiada takuk pada skrinnya (tidak seperti iPhone 2018 yang masih bertakuk).

Ketiadaan butang kembali membolehkan mereka menghasilkan skrin dengan lebih luas kepada saiz 11″ serta bingkai yang lebih nipis.

skrin iPad Pro
2 model iPad Pro 2018, skrin 11″ dan 12.9″ dengan teknologi Liquid Retina.

Ini bermakna tiada lagi iPad Pro dengan skrin 10.5″ sepertimana generasi keduanya. Kualiti paparan juga telah dipertingkat dengan penggunaan teknologi Liquid Retina sepertimana skrin iPhone XR.

Storan dan sambungan

Model iPad Pro 2017 hanya punyai pilihan kapasiti storan dari 64GB hingga 512GB sahaja. Tetapi untuk model 2018, Apple menambah pilihan kapasiti storan sehingga 1TB.

Malah model iPad Pro terbaru ini juga adalah peranti iOS pertama yang dilengkapi dengan sambungan USB-C, menggantikan sambungan Lightning.

Ini adalah petanda awal bahawa bermula tahun hadapan, Apple berkemungkinan besar akan melengkapi kesemua peranti iOS mereka dengan sambungan USB-C ini.

iPad Pro USB-C
USB-C juga membolehkan iPad Pro mengecas peranti iPhone atau disambungkan bersama paparan resolusi sehingga 5K.

Apple A12X Bionic

Sungguhpun Apple melakukan perubahan besar terhadap rekaan skrin serta jenis sambungan yang digunakan. Tetapi yang paling menarik perhatian ramai adalah cip pemprosesan terbaru yang digunakan dalam iPad Pro terbaru ini.

A12X Bionic
A12X Bionic adalah cip pemprosesan 7nm jimat tenaga dengan kuasa CPU 8 Core dan GPU 7 Core.

A12X Bionic merupakan cip pemprosesan terbaru yang dibangunkan oleh Apple untuk iPad Pro 2018. Bunyinya mungkin macam sama seperti cip A12 Bionic yang terdapat di dalam iPhone XS, XS Max dan XR.

Tetapi cip A12X Bionic adalah versi yang telah dipertingkatkan bagi memberikan kuasa secukupnya (rasanya lebih) untuk iPad Pro beroperasi dengan lancar dan pantas.

Apple turut memuatkan teknologi Neural Engine di dalamnya yang membolehkan iPad Pro memiliki ciri machine learning bagi melaksanakan operasi seperti carian dan pengecaman imej, Face ID serta menjadikan teknologi realiti yang diperkukuhkan (A.R) dijalankan dengan lebih pantas berbanding sebelum ini.

Hasil ujian awal terhadap iPad Pro 2018 juga mendapati, peranti iOS ini bukan sahaja jauh lebih pantas daripada iPhone 2018. Malah ia juga adalah hampir sama kepantasannya dengan model Macbook Pro 15″ 2018!

ipad Pro 2018 benchmark
Perbandingan iPad Pro 2018 dengan peranti Apple yang lain. Kredit carta: MacRumors

Kemajuan yang dicapai Apple terhadap pembangunan cip pemprosesan yang dibangunkan mereka telah mula menampakkan hasilnya. Malah ia pantas mengejar pembangunan cip Intel.

Bukan perkara rahsia bahawa Apple bukan sahaja mahu menggunakan cip pemprosesan mereka sendiri di dalam peranti iOS, tetapi juga dijangkakan tidak lama lagi mereka akan turut menggunakannya ke dalam komputer Apple Macintosh.

Ini adalah tanda bahawa tidak lama lagi Apple tidak akan bergantung harap kepada perkakasan dari pihak luar. Keseluruhan pembangunan dari sistem sehinggalan perkakasan untuk produk-produk mereka akan dibangunkan sepenuhnya dari Apple sahaja.

Apple mungkin memberi alasan berkait dengan isu keselamatan data pengguna. Tetapi pihak luar juga melihat bahawa Apple mahukan penguasaan sepenuhnya ke atas produk-produk keluaran mereka.

Apple dilihat sebagai tidak mahu lagi ada pihak ketiga terlibat dalam aktiviti seperti baik pulih, menaik taraf sistem dan perkakasan serta vendor luar terhadap produk-produk mereka.

Lain-lain…

Selain daripada yang di atas, Apple turut melengkapi iPad Pro 2018 dengan teknologi imbasan wajah (Face ID menggantikan Touch ID) dan eSIM.

iPad Pro 2018 features

Kamera True Depth menggantikan kamera FaceTime HD juga membolehkan iPad Pro ini menyokong mod potrait serta Memoji.

Disamping iPad Pro, Apple turut perkenalkan aksesori terbaru untuk iPad Pro ini iaitu Apple Pencil 2 dan Smart Keyboard Folio.

 

Kesimpulan

Secara keseluruhan, iPad Pro 2018 adalah generasi iPad terkini yang terbaik pernah Apple hasilkan. Ia nipis, ringan, berkuasa, memiliki pelbagai ciri moden terkini serta direka bentuk dengan cantik sekali.

Maka tidak hairanlah sekiranya tidak lama lagi mereka akan turut menaik taraf kesemua barisan model iPad yang ada sekarang pada tahun hadapan mengikut reka bentuk iPad Pro 2018.

Malah dengan kehadiran 2 aksesori terbaru untuknya serta sistem operasi iOS 12, ia mampu menjadikan iPad Pro berfungsi dengan lebih sempurna dari sebelum ini.

Apple pencil 2
iPad Pro 2018 dengan Apple pencil 2.

Namun begitu, harga jualan iPad Pro kini menjadi jauh lebih mahal di mana harga permulaan iPad Pro 11″ bagi model WiFi adalah bermula dari RM3499.00 (WiFi+Selular berharga dari RM4149.00, warna Silver atau Space Grey).

Manakala bagi model iPad WiFi 12.9″ pula berharga dari RM4349.00 (WiFi+Selular berharga dari RM4999.00, warna Silver atau Space Grey).

Pendek cerita, sangat mahal!

Jadi sekiranya anda merasakan iPad Pro 2018 berbaloi dibeli, maka bolehlah menempahnya menerusi laman web rasmi Apple Malaysia nanti (belum ada tarikh bila akan mula berada di pasaran Malaysia.

Info lanjut iPad Pro ini boleh di dapati di laman muka Apple iPad Pro.

 

P/s: Aplikasi profesional seperti Adobe Photoshop dan AutoCad akan hadir ke iPad pada tahun 2019 nanti. Malah tidak mustahil aplikasi suntingan video Final Cut pro X juga akan hadir untuk iPad nanti. Mungkin berbaloi kot.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here