
Dikemaskini 3 September 2018.
iPad Pro besar, ringan, berkuasa, puas hati… tapi…
iPad Pro merupakan review pertama AriffMac tentang produk Apple. iPad Pro ini turut disertakan dengan papan kekunci dari jenama Logitech. Spesifikasi iPad Pro yang AriffMac review ini adalah iPad Pro 12.9″, kapasiti storan 128GB dengan Wi-Fi+Cellular.
Ia turut dilengkapi dengan kamera yang mampu mengambil gambar serta video dengan kualiti 1080HD bagi kamera belakang. Manakala kamera depannya pula mampu mengambil gambar berkualiti 8 megapixel.
Apa yang mengkagumkan iPad Pro ini adalah skrin sentuhnya yang bersaiz 12.9″. Paparan visual dari iPad Pro ini adalah sangat jelas dan begitu memukau mata yang melihat.
Gambar-gambar serta teks yang dipaparkan adalah sangat jelas dan terang serta warna yang ditonjolkan amat menakjubkan. Selain daripada paparan visual yang memukau, iPad Pro juga merupakan yang terpantas dalam keluarga iPad.
Membuat kerja-kerja seperti suntingan gambar/grafik atau video amat sesuai dibuat dengan menggunakan iPad Pro ini. Prestasi iPad Pro memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Begitu juga dengan bunyi yang keluar dari iPad Pro ini.
iPad Pro yang mempunyai 4 speaker (2 atas, 2 bawah), mengeluarkan bunyi yang amat baik, jelas dan dalam (senang citer bukan bunyi speaker pasar malam).
Walau bagaimanapun, iPad Pro ini masih belum lengkap dari segi keperluan fizikalnya. Bagi anda yang sudah terbiasa melakukan kerja-kerja menaip pasti akan berasa sedikit janggal dengan papan kekunci maya.
Menaip di atas skrin pasti akan berasa kurang selesa terutamanya bagi anda yang sering menaip dalam tempoh yang lama (confirm tangan lenguh).
Logitech Create
Oleh sebab itulah, Logitech menghasilkan papan kekunci khas bagi iPad Pro. Aksesori dari Logitech Create ini bukan sekadar berfungsi sebagai aksesori papan kekunci sahaja, tetapi juga ia menjadi aksesori pelindung bagi iPad Pro ini.
Kualiti buatan Logitech Create ini mampu melindungi iPad Pro anda daripada mengalami kecederaan parah.
Kelebihan papan kekunci ini adalah ia sememangnya direka khas bagi penggunaan iPad Pro. Jika anda menaip dalam keadaan gelap, papan kekunci ini mempunyai lampu yang boleh diaktifkan (backlight).
Walaupun papan kekunci ini menggunakan kuasa daripada iPad Pro tersebut ia tidak menjejaskan bateri iPad Pro anda.
Backlight papan kekunci hanya akan menyala apabila anda menaip dan akan padam sendiri selepas beberapa saat anda tidak menggunakannya.
Menggunakan papan kekunci Logitech ini membuatkan AriffMac rasakan sama seperti menaip di Macbook Pro. Cuma bezanya ia tidak ada trackpad (tu yang asyik tersilap je perasan macam ada trackpad).
Kesimpulannya…
Setelah mencuba dan menguji iPad Pro ini, AriffMac berpendapat iPad Pro amat sesuai bagi anda yang sukakan perkakasan yang ringkas, mudah digunakan, pantas serta mampu beroperasi dalam tempoh yang lama.
Bateri iPad Pro memang tahan lama dan anda mampu membuat kerja-kerja anda tanpa rasa risau bateri iPad Pro tersebut habis. Untuk mendapatkan aplikasi yang sesuai untuk anda sudah pasti tiada masalah kerana anda boleh memuat turun pelbagai jenis aplikasi dari App Store yang terdapat lebih sejuta aplikasi di dalamnya.
Namun begitu ia bukanlah untuk semua orang. AriffMac masih merasakan iPad Pro belum mampu menggantikan Macbook/Pro (Apple patut belajar dengan Windows Surface). Aksesori seperti papan kekunci dari Logitech ini dapat melengkapkan lagi iPad Pro ini dalam membuat kerja-kerja anda (cuma harganya agak mahal).
Malah ia juga tidak mempunyai port sambungan bagi peranti-peranti lain seperti USB dan pembaca memori kad.
Kalau dapat Apple Pencil mungkin lebih membantu. Jadi boleh la pi cuk duit…
P/s: layari apple.com bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan iPad Pro dan Logitech.com untuk info teknikal bagi papan kekunci Logitech Create ini.












[…] sebab itulah, sepertimana pendapat AriffMac yang telah membuat review terhadap iPad Pro generasi pertama pada 2016 lalu, pendapat tersebut masih kekal menyatakan bahawa iPad Pro tetap belum dapat […]
wah emg keyboard paling juara nih. jgn lupa berkunjunghttp://zapplerepair.com/kenapa-banyak-orang-mengganti-Macbook-Air-tukar-dengan-iPad.html