Macbook Pro

Belum ada kata putus rasmi sama ada Apple akan melancarkan program penggantian percuma bagi membaik pulih masalah ‘flexgate’ Macbook Pro.

Mungkin ada sebahagian antara pengguna Mac telah mengetahui berkenaan isu terbaru yang dihadapi oleh pemilik Macbook Pro iaitu isu yang dikenali sebagai ‘flexgate‘.

Bagi yang belum tahu, ‘flexgate‘ adalah merujuk kepada masalah skrin Macbook Pro yang terpadam secara tiba-tiba apabila anda membuka skrin MBP pada sudut lebih lebih kurang 45 darjah.

Isu ini sebenarnya telah hangat diperkatakan sejak tahun lepas lagi di mana telah ramai pemilik MBP dari model 2016 hinggalah model terbaru Macbook Pro 2018 berdepan dengan masalah ini.

Model-model Macbook Pro yang disyaki terjejas dengan isu ‘flexgate’ ini adalah seperti berikut:-

  • MacBook Pro (13­-inch, 2016, Two Thunderbolt 3 Ports)
  • MacBook Pro (13-­inch, 2017, Two Thunderbolt 3 Ports)
  • MacBook Pro (13-­inch, 2016, Four Thunderbolt 3 Ports)
  • MacBook Pro (13-­inch, 2017, Four Thunderbolt 3 Ports)
  • MacBook Pro (13-­inch, 2018, Four Thunderbolt 3 Ports)
  • MacBook Pro (15-­inch, 2016)
  • MacBook Pro (15-­inch, 2017)
  • MacBook Pro (15-­inch, 2018)

2 Punca utama ‘flexgate

Terdapat 2 punca utama kepada berlakunya masalah ‘flexgate‘ ini. Punca pertama adalah kerana Apple menggunakan kabel yang terlalu nipis untuk sambungan model skrin retina Macbook Pro keluaran 2016 hingga 2018.

Kabel skrin retina yang terlalu nipis. Kredit imej: iFixit

Ia adalah berbeza dengan ketebalan skrin retina MBP terdahulu yang lebih tebal dan kuat. Ini mungkin kerana bagi memenuhi kehendak rekaan terbaru MBP yang nipis.

Punca kedua pula adalah kerana kedudukan kabel skrin MBP tersebut yang terletak terlalu rapat dengan papan litar kawalan skrin.

Akibatnya, apabila pengguna membuka dan menutup skrin MBP mereka, tanpa disedari kabel tersebut akan tersentuh dengan papan litar tersebut dan sekaligus diseret menyebabkan kabel skrin retina itu menjadi semakin haus apabila skrin MBP dibuka dan ditutup berulang kali.

Kredit imej: Mat Iboff

Bagi memahami lebih lanjut tentang isu ‘flexgate’ ini, anda boleh melihat video di bawah yang disediakan oleh pakar baik pulih Mac di Malaysia, Mat Iboff.

Apple masih berdiam diri

Berikutan isu ini, laman rasmi forum diskusi di laman sesawang Apple telah dihujani dengan pertanyaan dan aduan sejak mereka menyedari dengan masalah ini.

Walaubagaimanapun, pihak Apple telah menutup atau memadam bahagian diskusi ini. Bermakna pihak Apple masih berdiam diri dan seolah-oleh melarikan diri daripada isu ini.

Susulan itu, para pengguna telah mewujudkan petisyen di laman Change.org bagi menuntut pihak Apple supaya menarik balik model MBP yang terjejas, menangani masalah sama daripada berlaku semula serta menggantikan skrin MBP pengguna yang terjejas secara percuma.

Kos penggantian skrin adalah RM2500

Jika anda berdepan dengan masalah ini dan menghantarnya ke pusat servis sah Apple, anda akan terpaksa membayar USD600 (lebih kurang RM2500).

Kos tersebut bukanlah kos membaik pulih skrin tersebut, sebaliknya ia adalah kos menggantikan terus set skrin retina baru untuk MBP anda.

Kos tersebut sememangnya amatlah mahal harganya dan pihak Apple memang tidak menyediakan servis membaik pulih skrin tersebut.

Mereka hanya akan menggantikan skrin MBP anda dengan set panel skrin yang baru sahaja.

Apple mungkin lama-kelamaan akan turut akur dengan kehendak dan desakan pengguna MBP yang menyebabkan mereka terpaksa melaksanakan program penggantian skrin MBP ini secara percuma.

Tetapi ia pasti akan memakan masa yang lama sebelum Apple akur dan melancarkan program tersebut, sepertimana kes kerosakan kad grafik GPU dan isu ‘staingate‘ Macbook Pro sebelum ini.

Pusat servis pihak ketiga

Malah, jika anda menggantikan skrin MBP tersebut dengan yang baru dari pusat servis sah Apple sekalipun, masalah sama tetap akan berulang kerana Apple belum ada menyatakan penyelesaian kekal bagi masalah ‘flexgate‘ ini.

Jadi, bagi anda yang terjejas dengan isu ini, hanya pusat servis pihak ketiga sahaja yang menawarkan servis baik pulih pada harga yang jauh lebih murah dan penyelesaian kekal terhadap masalah ‘flexgate‘.

Walaubagaimanapun, sebelum anda menghantarnya kepada pusat servis pihak ketiga, AriffMac ingin mengesyorkan supaya anda menghantarnya kepada saudara Mat Iboff yang AriffMac percaya dan yakini dengan servis serta kualiti kerjanya .

Beliau merupakan seorang pakar baik pulih Mac yang khusus kepada baik pulih papan litar komputer Apple Macintosh.

Anda boleh mendapatkan lebih info tentang servis baik pulih Mac yang ditawarkan beliau menerusi laman sosial Facebook Iboff Mat.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here