staingate mbp ariffmac
Ketahui dan fahami 2 isu besar yang dihadapi terhadap beberapa model MacBook Pro sebelum anda bercadang membeli MBP terpakai.

MacBook Pro sememangnya antara produk terbaik yang pernah Apple hasilkan. Berkuasa, fleksibel dan ramai para profesional dalam pelbagai bidang (terutamanya industri kreatif) menggunakan MacBook Pro (MBP) untuk tugasan seharian mereka.

Walaubagaimanapun, ia tetap tidak terlepas daripada kerosakan perkakasannya. Malah kerosakan tersebut bukan berpunca daripada penggunanya. Sebaliknya ia berpunca daripada pihak Apple sendiri dan pembekal mereka sendiri.

Sepanjang pengeluaran model MBP ini, terdapat 2 isu besar yang dihadapi oleh MacBook Pro iaitu isu video dan ‘staingate‘.

Isu video MacBook Pro.

Isu video MBP ini adalah berkaitan dengan imej yang dipaparkan pada skrin MBP kelihatan tidak sempurna. Apple menerangkan, imej yang dipaparkan pada skrin MacBook Pro yang terkesan dengan isu ini akan memaparkan simtom imej seperti berikut:-

  • Imej kelihatan distorted (diputarbelit) dan scrambled (imej video rosak) dipaparkan pada skrin MBP.
  • Tiada langsung paparan video pada skrin MBP (atau paparan skrin luaran) walaupun MBP dihidupkan
  • MBP restart secara tiba-tiba

Contoh isu video ini adalah seperti pada rajah di bawah.

mbp 2011 isu video
Kredit foto: MBP2011.com

Isu video ini melibatkan model MacBook Pro berikut:-

  • MacBook Pro (15″ awal 2011)
  • MacBook Pro (15″ lewat 2011)
  • MacBook Pro (Retina, 15″, pertengahan 2012)
  • MacBook Pro (17″ awal 2011)
  • MacBook Pro (17″ lewat 2011)
  • MacBook Pro (Retina, 15″, awal 2013)

Berita baiknya, isu video ini akan dibaiki secara percuma oleh Apple dengan beberapa syarat:-

  1. Tidak pernah hantar dibaiki di tempat lain selain dari Pusat Servis Rasmi Apple
  2. Mesti menunjukkan masalah ini semasa dihantar untuk baiki. Jika MBP anda tidak menunjukkan masalah ini, ia tidak perlu dihantar.
  3. Jika anda pernah membayar untuk kos pembaikan dari Pusat Servis Rasmi Apple berkaitan dengan isu video ini, anda boleh membuat tuntutan dari Apple dengan mengemukakan resit rasmi pembaikan yang dibuat sebelum ini. Pembaikan dari pihak ketiga (bukan dari Pusat servis bertauliah Apple) tidak boleh membuat tuntutan tersebut.

Program pembaikan percuma ini melibatkan model MacBook Pro yang terjejas di seluruh dunia. Program ini jika hendak diikutkan ia sudah pun tamat tarikhnya iaitu pada 31 Disember 2016.

Oleh itu kesemua model yang terjejas dengan isu video ini sudah tidak layak untuk program pembaikan percuma ini.

Info lanjut tentang isu ini boleh didapati di laman muka MacBook Pro Repair Extension Program for Video Issues.

Isu ‘staingate‘ skrin MacBook Pro.

Satu lagi isu permasalahan yang dihadapi oleh MacBook Pro adalah isu yang dikenali sebagai ‘staingate‘. ‘Staingate‘ adalah merujuk kepada salutan anti silau yang terdapat pada skrin MBP Retina mengupas dengan sendirinya.

staingate mbp
Contoh-contoh gambar skrin MBP yang terjejas dengan isu staingate. Kredit foto: apfeltalk.

Masalah ini melibatkan kesemua model MacBook Pro Retina bermula dari MBP keluaran pertengahan 2012 sehinggalah model keluaran 2015. Berita baiknya, sepertimana isu video MBP sebelum ini, Apple telah turut memulakan program penggantian percuma skrin MBP yang terjejas dengan syarat berikut:-

  1. Tidak pernah hantar dibaiki di tempat lain selain dari Pusat Servis Rasmi Apple
  2. Mesti menunjukkan masalah ini semasa dihantar untuk baiki. Jika ia tidak menunjukkan masalah ini, tidak perlu dihantar.
  3. Jika anda pernah membayar untuk kos pembaikan dari Pusat Servis Rasmi Apple, anda boleh membuat tuntutan dari Apple dengan mengemukakan resit rasmi pembaikan yang dibuat sebelum ini. Pembaikan dari pihak ketiga (bukan dari Pusat servis bertauliah Apple) tidak boleh membuat tuntutan tersebut.

Walaubagaimanapun, program penggantian skrin percuma bagi isu ‘staingate‘ ini sekarang hanya layak bagi model MacBook Pro Retina keluaran 2013 dan ke atas yang terjejas sahaja. Model MBP keluaran pertengahan 2012 sudah tidak layak untuk program tersebut.

Untuk model-model lain, Apple telah melanjutkan tarikh tamat program ini seperti berikut :-

  • Macbook Pro Retina keluaran 2013 13″ dan 15″ – tamat Julai 2018
  • Macbook Pro Retina keluaran 2014 13″ – tamat Mac 2019
  • Macbook Pro Retina keluaran 2014 15″ – tamat Mei 2019
  • Macbook Pro Retina keluaran 2015 13″ – tamat Oktober 2020
  • Macbook Pro Retina keluaran 2015 15″ – masih dalam pengeluaran

Penjelasan rasmi daripada pihak Apple tidak dikeluarkan sepertimana isu video MBP sebelum ini. Jadi tidak wujud laman muka rasmi dari pihak Apple yang menjelaskan isu ‘staingate‘ ini kepada umum. Pemberitahuan program ini hanya dikeluarkan secara memo dalaman kepada semua Pusat servis rasmi Apple sahaja.

P/s: Artikel ini diubah suai daripada artikel asal yang ditulis oleh Tuan Haji Ismail Ahmad. Artikel asal tersebut boleh didapati dalam bentuk fail pdf di bawah tajuk Apple Extended Repair di Facebook Grup Mac User Malaysia.

 

 

 

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here