Dikemaskini pada 29 September 2018.

Ciri-ciri menarik, leceh dan menjengkelkan yang ada pada macOS 10.14.

Apple telah melepaskan versi terbaru macOS Mojave untuk semua pengguna Mac pada minggu ini. macOS Mojave 10.14 adalah merupakan sistem operasi komputer Apple Macintosh versi ke 14 selepas macOS High Sierra.

Mojave pertama kali diperkenalkan pada 5 Jun yang lalu di WWDC 2018. Pada peringkat awal, hanya pembangun dan mereka yang berdaftar dengan Apple Beta Software Program sahaja yang boleh menggunakan lebih awal versi beta macOS terbaru ini.

Tetapi kini ia sudah boleh dimuat turun dan digunakan oleh semua pengguna Mac di seluruh dunia.

Tidak sepertimana macOS High Sierra yang sebelum ini lebih banyak menimbulkan masalah berbanding memberi manfaat kepada para pengguna Mac, versi macOS Mojave adalah lebih stabil serta terdapat lebih banyak ciri-ciri baru.

Malah para pengguna Mac juga memberikan reaksi yang positif terhadap versi macOS terbaru ini. Namun begitu, ia tetap juga ada beberapa perkara yang kurang menarik atau lebih kepada isu yang menjengkelkan ketika menggunakan Mojave.

Selepas 3 bulan lebih menggunakan Mojave dari versi Beta hinggalah kini, ini adalah antara kelebihan yang disukai dan kelemahan macOS Mojave yang menjengkelkan:-

Kelebihan

1. Dark Mode

Ciri terbaru ini amat dinantikan oleh para pengguna Mac sejak sekian lama. Ia memberikan lebih pilihan kepada para penggunanya untuk menetapkan rupa antaramuka macOS yang sebelum ini hanya ada dalam mod cerah sahaja.

Tidak setakat antaramukanya sahaja, Apple turut memasukkan ciri mod gelap bagi hampir kesemua aplikasi mereka bagi disesuaikan digunakan bersama macOS terbaru ini.

macOS Mojave dark mode
Mod gelap menjadi lebih menarik apabila ia digunakan bersama Macbook Pro warna Space Grey. Ibarat pisang dibelah dua.

2. Stacks

Stacks adalah satu ciri baru menarik yang dapat menyelesaikan masalah keserabutan yang biasa dihadapi pengguna Mac iaitu menguruskan fail-fail yang ditempatkan di desktop Mac.

Kini pengguna tidak perlu lagi memberikan masa mereka khusus untuk menyusun atau mengasingkan fail-fail mengikut kategori secara manual.

Sebaliknya mereka hanya perlu mengaktifkan Use Stacks dan macOS secara automatik akan terus menyusun dan mengagihkan fail-fail dan folder-folder yang berselerak itu mengikut kategori tertentu dengan pantas.

Disable use stacks
Atau klik butang kanan tetikus pun boleh.

3. Command+Shift+5

Gabungan pintasan kekunci ini adalah ciri terbaru macOS untuk pengguna Mac mengambil gambar screenshot atau merakam video aktiviti skrin yang sedang berlaku di dalam Mac.

Apabila pintasan tersebut dimasukkan, satu paparan kotak dialog kecil akan keluar yang memberikan pilihan kepada pengguna memilih jenis screenshot atau rakaman yang hendak digunakan.

command+shift+5

4. Continuity Camera

Ciri kesinambungan kamera ini adalah salah satu ciri paling menarik yanag ada pada Mojave. Ia memudahkan pengguna memindah, mengambil gambar atau mengimbas dokumen ke dalam Mac dari peranti iPhone dan iPad.

Jadi, anda tak perlu lagi membuat sambungan kabel antara iPhone atau iPad andadengan Mac bagi memindahkan imej.

Ciri ini boleh digunakan di dalam Finder dan aplikasi Mail, Messages, Notes, Pages, Keynote dan Numbers.

5. 5 Ciri terbaru Finder

Gallery View adalah pilihan paparan terbaru yang terdapat di dalam Finder, menggantikan pilihan Cover Flow. Ia memudahkan pengguna mencari dan preview terhadap imej atau video yang terdapat di dalam Mac dengan lebih pantas.

Gallery view
Gallery View.

Selain, Gallery View terdapat 4 lagi ciri terbaru di Finder iaitu Keeps folders on top, Quick Action, Metadata dan Show All Tabs.

Kelemahan

1. Dark Mode

Dalam lebih tu, tetap ada kurangnya. Ini kerana ciri mod gelap yang diuar-uarkan terlalu melebih-lebih. Pendek cerita, ada yang suka dan ada juga yang tidak. Tapi setakat ini, kedua-dua mod digunakan, siang menggunakan mod cerah dan malam pula mengaktifkan mod gelap.

dark dan light mode
Anda di pihak mana, cahaya atau kegelapan?

2. Tiada pengaktifan automatik atau pintasan bagi pilihan Dark dan Light Mode

Ini sebenarnya lebih kepada isu yang menjengkelkan. Untuk memilih bagi mengaktifkan antara dua mod tersebut, pengguna terpaksa membuka System Preferences – General dan barulah dapat memiilih mod yang hendak digunakan.

Appearance

Ringkasnya, lambat dan melecehkan. Sepatutnya Apple menyediakan pintasan bagi memilih antara mod gelap dan cerah ini di Menu Bar macOS juga. Jadi senanglah sikit pengguna nak pilih mod yang hendak diaktifkan.

Ataupun mewujudkan tetapan pengaktifan secara automatik mengikut garis masa sepertimana ciri terbaru Dynamic Desktop.

dYNAMIC DESKTOP
Dynamic desktop adalah ciri yang menukar paparan wallpaper Gurun Mojave dari hari siang kepada malam secara automatik.

Tetapi jangan risau, nasib baik ada sebuah aplikasi percuma yang dipanggil NightOwl bagi menyelesaikan masalah tersebut. Aplikasi NightOwl membolehkan pengguna mengaktifkan mod gelap atau cerah secara manual atau automatik terus dari Menu Bar Mac.

Aplikasi NightOwl
Aplikasi NightOwl membantu anda memilih mod cerah atau gelap terus dari Menu Bar Mac.

3. 2 lokasi kemaskini

Secara peribadi, ini leceh. Kalau dulu, jika ada sebarang kemaskini aplikasi ataupun terhadap sistem operasi Mac, kedua-duanya dapat dibuat menerusi Mac App Store di bahagian Update sahaja. Tak perlu melilau ke sana sini.

Tetapi kini, kemaskini bagi aplikasi dan sistem operasi Mac telah diasingkan di macOS Mojave. Mac App Store hanya untuk mengemaskini aplikasi sahaja.

Manakala kemaskini macOS pula berada di bahagian Software Update di dalam System Preferences. Ke sana ke mari.

macOS Update

4. 4 aplikasi ni buat semak saja

4 Aplikasi yang dimaksudkan ini adalah aplikasi terbaru yang didatangkan sekali bersama macOS Mojave iaitu, News, Stocks, Home dan Voice Memos.

Ia merupakan aplikasi yang sedia ada di dalam peranti iOS ketika ini dan Apple menyatakan bahawa 4 aplikasi ini adalah aplikasi yang disukai oleh pengguna di peranti iOS. Jadi mereka pun buat keputusan membawa masuk aplikasi tersebut ke dalam macOS juga.

Sungguh pun begitu, walaupun ia mungkin disukai pengguna peranti iOS, tapi ia tak semestinya akan disukai juga jika ia berada di macOS.

Sepatutnya Apple menjadikan 4 aplikasi ini sepertimana aplikasi KeynotePages, dan Numbers yang boleh dimuat turun secara percuma jika pengguna Mac memerlukannya.

Tak perlulah didatangkan sekali bersama macOS Mojave. Buat semak aje.

Home, stock, voice memos, dan news app
Aplikasi News tiada di dalam macOS Mojave pengguna di Malaysia kerana ia tidak disokong di negara ini.

5. Limitasi pilihan wallpaper dynamic desktop

Apple perkenalkan ciri baru wallpaper iaitu dynamic dekstop yang menukar imej wallpaer dari siang ke malam mengikut peredaran masa secara automatik.

Walaubagaimapun, hanya terdapat 2 pilihan imej dynamic desktop yang diberikan oleh Apple iaitu imej gurun Mojave dan imej warna gradient biru cerah ke biru gelap.

Jadi, jika anda berasa tidak cukup dengan 2 pilihan tersebut, anda bolehlah memuat turun imej yang dibuat khas untuk dynamic desktop secara percuma dari pembangun aplikasi yang bernama Marcin Czachurski.

Imej bumi dari angkasa lepas oleh beliau itu boleh dimuat turun dari akaun Dropbox yang dikongsikannya.

Atau jika anda rasa masih tidak cukup, anda bolehlah memuat turun aplikasi 24 Hour Wallpaper yang berharga RM29.90 di Mac App Store.

Aplikasi ini menyediakan sebanyak 58 imej-imej yang meliputi kategori Bumi, bandar. dan alam semulajadi bersaiz 5K khusus untuk ciri dynamic desktop di macOS Mojave.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, secara peribadi macOS Mojave adalah versi macOS terbaik dari Apple setakat ini. Ia stabil dan juga berfungsi dengan lancar dan baik bersama aplikasi-aplikasi lain, tidak sepertimana macOS High Sierra yang banyak pepijatnya.

Sepanjang menguji Mojave selama 3 bulan ini, didapati prestasi macOS keseluruhannya adalah sangat baik walaupun digunakan bersama model Mac yang agak berusia.

Juga suka dinyatakan di sini bahawa kualiti visual macOS Mojave juga adalah lebih jelas dan lebih terperinci, terutamanya pada paparan teks, ikon dan imej. Bahasa mudahnya, lebih sedap mata memandang berbanding sebelum ini.

Ciri Dark Mode yang dijadikan modal utama Apple bagi menguar-uarkan macOS pun sebenarnya bukanlah satu perkara baru. Pengguna komputer yang menggunakan sistem operasi Linux telah lebih dulu menggunakannya.

Walhal terdapat lebih banyak lagi ciri-ciri lain yang lebih menarik terkandung di dalam macOS Mojave berbanding Dark Mode.

Antaranya adalah seperti Dynamic Desktop, Quick Actions, Metadata, Quick Look, peningkatan terhadap keselamatan dan privasi (tetapi macOS Mojave tetap masih boleh digodam), Show recent application in Dock dan banyak lagi.

Bagi anda yang masih belum menaik taraf kepada macOS Mojave 10.14 ini, bolehlah melakukannya segera. Ia amat disyorkan.

Walaubagaimanapun, kepada mereka yang banyak menggunakan aplikasi profesional pihak ketiga khususnya Adobe Photoshop, anda mungkin patut bersabar sebentar.

Ini kerana, sepanjang membuat tugasan menggunakan Photoshop di Mojave, kadang-kala berlaku isu prestasi serta kegagalan aplikasi tersebut berfungsi dengan baik bersama macOS Mojave.

Anda mungkin akan berasa Photoshop beroperasi agak perlahan, aplikasi tergendala atau anda paling teruk berkemungkinan akan berdepan dengan aplikasi tersebut keluar tiba-tiba secara paksa ketika ia digunakan.

Juga jika anda kerap kali berdepan dengan isu macOS Mojave tergendala, ia mungkin kerana disebabkan oleh aplikasi-aplikasi pihak ketiga yang anda gunakan itu masih belum menyokong sepenuhnya sistem operasi Mac terbaru ini seperti Lunar, Veeer, Irvue dan lain-lain.

Jadi sebaiknya semak dulu dengan pembangun aplikasi tersebut bagi mengetahui sama ada aplikasi yang anda gunakan itu sudah dioptimasikan atau tidak untuk macOS Mojave.

Akhir kata, apa pula pendapat anda dengan macOS Mojave ini? Okay ka tak?….

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here