Apa yang dimaksudkan dengan Macintosh HD dan Macintosh HD – Data.

Bermula macOS 10.15, kebanyakkan pengguna berasa pelik mengapa storan mereka terbahagi kepada 2 iaitu Macintosh HD dan Macintosh HD – Data.

Walhal mereka sebenarnya tidak pula membuat sebarang pembahagian pada storan Mac mereka.

Jadi mengapa?

Macintosh HD

Bermula di macOS Catalina 10.15, Apple telah perkenalkan ciri yang dikenali sebagai “Dedicated system volume” untuk  format fail APFS (Apple File System) Macintosh HD.

Ia merupakan ciri yang mengasingkan sistem fail macOS Catalina sepenuhnya dari kesemua data lain yang terdapat di dalam Mac.

Ia termasuklah pengasingan dari aplikasi dan kandungan lain yang disimpan di dalam Mac anda.

Bermakna volume Macintosh HD hanya mengandungi sistem fail macOS Catalina semata-mata yang tidak boleh diubah (read-only).

Tujuan utamanya adalah bagi menjamin kestabilan sistem macOS beroperasi secara konsisten pada tahap terbaik serta meningkatkan ciri keselamatan macOS.

Macintosh HD adalah “read-only volume” yang hanya mengandungi semua fail utama sistem operasi macOS sahaja.

Pengasingan sistem ini diharapkan akan dapat menghalang daripada berlakunya sebarang perubahan pada sistem utama macOS oleh perisian hasad (malware) yang boleh membahayakan macOS.

Ini telah diterangkan oleh Mike Bombich dari pembangun aplikasi Carbon Copy Cloner sebelum ini:-

From the moment that Apple announced APFS, I anticipated exactly this sort of setup – user data on one volume, macOS on another – complete separation, absolute protection for the system.

Macintosh HD – Data

Bagi bahagian storan kedua Mac yang dinamakan sebagai Macintosh HD – Data pula, ia hanya mengandungi data-data yang disimpan oleh anda di dalam Mac termasuklan aplikasi, lagu, gambar, video dan lain-lain.

Macintosh HD – Data adalah perumah bagi folder-folder seperti Documents, Music dan Movies. Tiada sistem fail macOS disimpan di bahagian ini.

Walaupun ia dipaparkan seolah-olah storan macOS terbahagi kepada 2, tetapi sebenarnya tidak. Storan Mac anda tidak terbahagi kepada 2 partition.

Sebaiknya ia dipisahkan oleh 2 sistem fail yang sama tapi dengan ciri berbeza iaitu ciri “Dedicated system volume”  untuk volume Macintosh HD.

Tetapi bagaimana pula 2 sistem fail APFS ini disambungkan bersama di bawah satu Macintosh HD?

Firmlinks

Bagi membolehkan 2 sistem fail APFS ini dipaparkan di bawah satu partition yang sama, Apple perkenalkan ciri terbaru yang dipanggil “Firmlinks” di dalam sistem macOS.

Firmlinks “khusus” bagi membolehkan 2 sistem fail APFS macOS diintegrasi dan berfungsi sebagai satu storan.

Apple menerangkan Firmlinks sebagai “bi-directional wormhole” antara 2 sistem fail.

Bermakna, ikon pintasan Macintosh HD yang dipaparkan pada desktop Mac anda sebenarnya mewakili Macintosh HD dan Macintosh HD – Data.

Macintosh HD (read-only) yang hanya mengandungi sistem fail macOS.
Macintosh HD > System > Volumes > Macintosh HD (Data) yang menyimpan segala kandungan seperti aplikasi, fail-fail video, gambar dan lain-lain.

Kesimpulan

Apabila anda menaik taraf kepada macOS Catalina 10.15, selesai sahaja sistem macOS terbaru itu dipasang, storan Mac (Macintosh HD) secara automatik akan ditandakan sebagai read-only.

Kemudiannya bahagian Macintosh HD – Data pula akan dicipta secara automatik dan kesemua data selain sistem macOS seperti aplikasi pihak ketiga serta data-data lain akan disimpan di dalam bahagian ini.

Pengguna tidak perlu keliru atau risau dengan perubahan yang berlaku pada storan Mac mereka di macOS Catalina.

Ini kerana ia merupakan ciri terbaru yang diperkenalkan Apple dengan harapan, pengasingan sistem fail APFS Macintosh HD dan Macintosh HD – Data ini akan dapat meningkatkan lagi keselamatan sistem macOS.

Walaubagaimanapun, ia bukanlah jaminan mutlak yang ia akan dapat menghalang 100% dari serangan perisian hasad.

Sebaliknya ia adalah sebagai satu lagi pengenalan ciri keselamatan tambahan yang dimuatkan untuk macOS Catalina dan juga untuk versi macOS akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here