FCPX Start

Pastikan komputer Mac anda memenuhi keperluan minimum untuk menjalankan aplikasi Final Cut Pro X.

Aplikasi Final Cut Pro X (FCPX) merupakan sebuah aplikasi penyuntingan video dan audio profesional yang dibangunkan oleh Apple.

Para penyunting video profesional dalam bidang industri kreatif di dalam mahupun luar negara seperti para editor filem Hollywood ramai yang menggunakan aplikasi ini.

Antara filem-filem popular yang disunting menggunakan FCPX adalah seperti filem Focus (2015) yang juga menjadi filem pertama Hollywood disunting sepenuhnya menggunakan FCPX, Whiskey Tango Foxtrot (2016),  Off The Tracks (2018), Redha (2016) dan Aliff Dalam 7 Dimensi (2016).

Malah muzik video paling popular 2017, Despacito juga disunting menggunakan Final Cut Pro X.

FCPX Aliff dalam 7 dimensi
Editor Filem Aliff Dalam 7 Dimensi adalah Mr. Beh Jing Qiang yang menggunakan FCPX. Kredit foto: FB Isazaly Isa.

Dipendekkan cerita, FCPX memang benar-benar sebuah aplikasi penyuntingan video dan audio berkuasa yang bukan sahaja khusus untuk profesional, tetapi juga untuk editor amatur dan pengguna biasa. Sebab, ia amat mudah digunakan.

Walaubagaimanapun jika anda baru nak berjinak-jinak dengan FCPX, terdapat beberapa perkara penting berkaitan spesifikasi aplikasi ini yang perlu dilihat, diteliti dan difahami terlebih dulu sebelum memasukkannya ke dalam Mac anda.

Spesifikasi FCPX

Perkara utama yang perlu diberi perhatian sebelum anda menggunakan FCPX ini adalah spesifikasi minimum yang diperlukan bagi membolehkan FCPX dijalankan di dalam Mac tersebut.

FCPX UI
Antaramuka Final Cut Pro X.

Berikut adalah spesifikasi minimum yang diperlukan untuk menjalankan Final Cut Pro X seperti yang dinyatakan Apple:-

  • macOS 10.13.2 atau terbaru
  • 4GB RAM (8GB disyorkan untuk suntingan video 4K, 3D titles dan video 360°)
  • OpenCL-capable graphics card atau Intel HD Graphics 3000 atau terbaru
  • 256MB VRAM (1GB disyorkan untuk penyuntingan video 4K, 3D titles dan video 360°)
  • Discrete graphics card seperti AMD Radeon RX 580 bagi prestasi terbaik serta macOS High Sierra dan SteamVR diperlukan bagi sokongan ciri realiti maya (VR).
  • Ruang storan 3.8GB

Jika dilihat pada spesifikasi yang ditunjukkan di atas, nampak seperti ringkas sahaja. Tetapi mungkin terdapat beberapa terma yang kurang difahami anda seperti OpenCL dan discrete graphics card.

OpenCL

  • Open Computing Language (OpenCL) adalah bahasa pengaturcaraan yang digunakan oleh pembangun perisian bagi menggunakan unit pemprosesan grafik (GPU) sebagai unit pemprosesan tambahan bagi memproses tugas-tugas berat yang melibatkan elemen-elemen visual.
  • Ringkasnya OpenCL diperlukan bagi menggunakan sepenuhnya kelebihan dari cip pemprosesan grafik (GPU) yang terdapat di dalam Mac anda bagi memproses elemen visual.
  • Contoh Mac yang dilengkapi kad grafik dengan ciri OpenCL ini adalah seperti kad grafik Intel HD Graphics 6000 (OpenCL 1.2) yang digunakan dalam model MacBook Air (13″, 2016).
  • Apple ada menyenaraikan kesemua model komputer Mac yang dilengkapi dengan kad grafik yang menyokong OpenCL ini di laman web mereka.

VRAM

  • Video random access memory (VRAM) adalah merujuk kepada memori video yang terdapat di dalam kad grafik. Ia berfungsi sebagai pusat penyimpanan data imej dan video yang dipaparkan oleh komputer.
  • VRAM amat penting bagi aplikasi memaparkan imej-mej yang kompleks seperti imej 3D. Sebab itulah Apple mengesyorkan apabila melibatkan penyuntingan video 4K atau teks 3D, Mac tersebut perlulah dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 1GB VRAM dan ke atas.
  • Sebagai contoh, model Macbook Pro (15″, 2018) yang dilengkapi dengan kad grafik Radeon Pro 555X 4GB VRAM.
VRAM
Anda boleh semak jumlah VRAM yang ada di dalam Mac ada menerusi About this Mac – System Report – Graphics/Display.

Tambahan – Mac yang dilengkapi dengan kad grafik tunggal

Cuma ingin ditekankan kepada mereka yang menggunakan Mac yang hanya dilengkapi dengan jenis kad grafik tunggal terbina dalam seperti model Macbook Air atau Mac mini.

Kapasiti VRAM yang dimiliki kad grafik terbina dalam di dalam Mac itu adalah diambil daripada RAM utama yang terdapat di dalam Mac tersebut.

  • Sebagai contoh, kad grafik Intel HD Graphics 6000 yang digunakan pada model Macbook Air (11″, awal 2015) mampu menyokong kapasiti RAM sehingga 1.5GB.
  • Tapi dari mana datangnya RAM 1.5GB untuk kad grafik tersebut? Jawapannya, ia datang dari RAM 4GB yang terdapat di dalam Macbook Air tersebut. Kad grafik Intel itu mendapatkan memorinya dari RAM utama Macbook Air itu tadi.
  • Ini bermakna, Macbook Air itu kini hanya tinggal 2.5 GB sahaja untuk melaksanakan operasi komputer serta menjalankan aplikasi-aplikasi yang lain. Jadi, sudah tentu ia tidak cukup berkuasa untuk menjalankan operasi FCPX di dalamnya kerana kekurangan kapastiti RAM minimum yang diperlukan.

Jika VRAM tak mencukupi

FCPX 3D Text
Contoh penggunaan elemen teks 3D dalam FCPX yang memerlukan kapasiti VRAM yang tinggi.

Jumlah VRAM yang mencukupi amat penting bagi FCPX melaksanakan kerja-kerja yang melibatkan teks 3D. Ini kerana sekiranya VRAM Mac anda tidak mencukupi, anda mungkin akan mengalami masalah berikut sepertimana yang dinyatakan Apple:-

  1. Teks 3D mungkin akan dipaparkan dalam resolusi yang rendah pada aplikasi atau ketika ia dieksport.
  2. Video yang dimainkan semula mungkin akan mengalami isu stuttering atau skipping.
  3. Proses rendering mungkin akan terganggu seperti teks yang terhalang dengan warna hijau atau warna-warna lain.

Discrete graphics card

  • Discrete graphics card pula bermaksud kad grafik yang dimuatkan di atas papan litar utama komputer yang mempunyai sistemnya sendiri.
  • Kebiasaannya, ia adalah cip kad grafik kedua yang lebih berkuasa seperti kad grafik NVIDIA GeForce GT 650M yang terdapat di dalam Macbook Pro (15″, 2012) berbanding kad grafik terbina dalam (Intel HD Graphics)
GPU MBP
Macbook Pro yang dilengkapi dengan 2 GPU secara automatik akan menggunakan discrete graphics card sebagai GPU nya apabila FCPX diaktifkan.

Versi macOS

Apple sentiasa mengemaskini Final Cut Pro X supaya ia selari dengan kemaskini yang dibuat terhadap macOS. Kebiasaannya setiap kali apabila macOS dikemaskini, FCPX juga akan dikemaskini kepada versi terbaru.

Sekaligus versi terbaru FCPX tidak boleh digunakan bersama versi macOS terdahulu. Oleh itu pastikan terlebih dulu versi macOS yang anda gunakan itu menyokong versi FCPX yang sesuai dengannya.

Patut atau tidak anda menaik taraf kepada macOS High Sierra
Versi terkini Final Cut Pro X ketika ini adalah 10.4.3 yang memerlukan sekurang-kurangnya macOS versi 10.13.2.

Kapasiti storan

Aplikasi-aplikasi video dan audio pastinya memerlukan ruang storan yang besar. Saiz minimum yang diperlukan untuk memasukkan FCPX ke dalam Mac cuma 3.8GB.

Walaupun nampak kecil, tetapi perlu diingat bahawa anda akan bermain dengan data-data video yang besar.

Sekiranya Mac anda hanya memiliki kapasiti storan 128GB sahaja, ia adalah amat tidak sesuai sama sekali. Jika kerja-kerja penyuntingan video adalah permainan harian anda, sebaiknya pastikan Mac anda dilengkapi dengan saiz storan sekurang-kurangnya 512GB dan ke atas (cadangan).

Lebih besar saiz storan, lebih baik untuk Mac. Walaubagaimanapun, sebolehnya elakkan data-data video disimpan di dalam Mac.

Penggunaan storan luar adalah lebih baik bagi mengelakkan berlakunya kehilangan data sekiranya berlaku kerosakan perkakasan atau perisian pada Mac tersebut.

Mac Mini HD
Dah tahap nazak HDD Mac mini aku ni…

Kesimpulan

Apabila dilihat semula kepada spesifikasi minimum FCPX yang dinyatakan Apple, memang tidak dinafikan terdapat model Macbook Air atau Macbook yang boleh menjalankan aplikasi Final Cut Pro X di dalamnya.

Namun begitu, ia tidak sesuai dan releven untuk aplikasi FCPX. Penyuntingan video melibatkan pemprosesan data-data besar yang menggunakan kuasa pemprosesan yang tinggi.

Oleh itu, adalah amat penting Mac berprestasi tinggi yang dilengkapi dengan perkakasan yang lebih baik digunakan bagi memproses elemen-elemen visual yang kompleks.

Ia secara langsung menjimatkan masa dan tidak ‘mendera’ komputer yang berprestasi rendah atau sederhana.

Jadi, sebelum anda membeli sesebuah Mac, pastikan dulu tujuan utama Mac tersebut untuk digunakan. Jika FCPX adalah permainan anda, jadi kenalah dapatkan model Mac yang berpretasi tinggi seperti Macbook Pro (15″ 2017 atau terbaru), iMac (Retina 5K, 27″ 2017) ataupun iMac Pro.

Macbook Pro dan iMac Pro
Beli je lah Macbook Pro atau iMac Pro.

Jika anda telah bersedia dan nekad untuk menggunakan aplikasi Final Cut Pro X ini, bolehlah membeli dan memuat turunnya secara eksklusif menerusi Mac App Store sahaja yang berharga RM1299.90.

Atau anda juga boleh memuat turun dan mencuba dahulu aplikasi FCPX ini dengan percuma selama sebulan pada Mac anda. Info lanjut aplikasi Final Cut Por X ini boleh di dapati di laman web rasmi Apple.

Bersambung…

P/s: Jutaan terima kasih diucapkan kepada Abang Isazaly Isa dari Kino-I Picture Sdn. Bhd yang telah sudi membantu AriffMac dalam penulisan artikel ini.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here