Dipendekkan cerita, jangan beli Macbook, noktah.
Idea asalnya memang nak membandingkan antara Macbook dengan Macbook Air 2018, tapi rasanya macam buang masa saja. Jadi, abaikan Macbook, terus saja kepada Macbook Air 2018.
Apple telah perkenalkan model terbaru Macbook Air 2018 kepada umum baru-baru ini bersama juga dengan Mac mini dan iPad Pro 2018.
Apple membuat banyak perubahan terhadap Macbook Air 2018 selepas kali terakhir ia dikemaskini perkakasannya pada 2017 yang lalu.
Bukan setakat pada perkakasannya sahaja, tetapi Apple turut menambah baik reka bentuk Macbook Air ini.
Berikut adalah kemaskini yang telah Apple lakukan terhadap Macbook Air 2018:-
Reka bentuk
Perubahan paling ketara yang Apple lakukan terhadap rekaan fizikal Macbook Air ini adalah berjaya menjadikan saiznya yang lebih kecil (secara tepatnya adalah 17% lebih kecil dari model sebelumnya) serta bingkai skrin yang lebih nipis.
Walaupun reka bentuk fizikalnya serta bateri yang digunakan dalam MBA 2018 lebih kecil dari sebelumnya, Apple menyatakan bahawa bateri MBA ini tetap mampu bertahan sehingga selama 12 jam masa penggunaan (tempoh masa yang sama dengan model sebelumnya).
Ini mungkin manfaat daripada kelebihan cip pemprosesan terbaru yang digunakan dalam MBA tersebut.
Cip pemprosesan
MBA 2018 dilengkapi dengan cip pemprosesan terkini Intel 1.6GHz dual-core i5 Generasi ke 8. Spesifikasi standad MBA ini didatangkan bersama cip Intel Core 15-8210Y aka Amber Lake yang mula diperkenalkan pada suku ke 3 tahun ini.
Daripada semakan yang dibuat terhadap cip pemprosesan ini di laman web rasmi Intel, ia merupakan cip pemprosesan jimat tenaga tetapi memiliki ciri-ciri penting seperti teknologi turbo boost sehingga 3.6GHz dan Hyper-Threading.
Sebab itulah MBA terbaru ini mampu beroperasi sehingga 12 jam. Malah disebabkan ia jimat tenaga, MBA ini didatangkan bersama kuasa pengecas USB-C berkuasa 30W sahaja iaitu sama seperti yang digunakan pada Macbook (model sebelumnya berkuasa 45W).
Cumanya, kelemahan MBA 2018 adalah Apple tidak memberikan pilihan kepada pengguna bagi membolehkan MBA ini dinaik taraf cip pemprosesannya kepada cip yang lebih berkuasa seperti sebelum ini.
Hanya cip pemprosesan ini sahaja didatangkan bersama MBA tersebut.
Grafik
Sepertimana Mac mini, kuasa grafik pada Macbook Air 2018 juga dinaik taraf kepada cip grafik yang lebih berkuasa iaitu kepada Intel UHD Graphics 617.
Cip grafik terbaru ini membolehkan ia menyokong sebanyak 2 paparan dengan resolusi 4K (4096×2304) atau 1 paparan beresolusi 5K (5120×2880).
Malah jika anda masih berasa ia tidak memadai, anda boleh menyambungkan perkakasan kad grafik luar (eGPU) menerusi sambungan Thunderbolt 3 (USB-C) bagi menambahkan lagi kuasa grafik MBA ini.
Sambungan Thunderbolt 3 (USB-C)
MBA 2018 kini dilengkapi dengan 2x sambungan berkelajuan tinggi Thunderbolt 3 (USB-C) menggantikan Thunderbolt 2, USB 3.0, Magsafe 2 serta tiada lagi slot kad SDXC. Hanya sambungan fon kepala 3.5mm sahaja yang masih dikekalkan.
Apple T2
Seperti sedia maklum, Apple akan mula memuatkan kesemua peranti-peranti utama mereka dengan cip T2 bagi meningkatkan keselamatan data pengguna.
Selain itu untuk MBA 2018, Apple turut memuatkan lagi beberapa fungsi lain untuk T2 seperti kawalan terhadap kebenaran penggunaan perkakasan audio dan sebagai kuasa tambahan terhadap proses pengkodan video HEVC.
Tidak setakat itu sahaja, dalam kemaskini macOS 10.14.1 juga telah mengaktifkan ciri tambahan untuk T2 ini di mana ia mempunyai kawalan ke atas perkakasan mikrofon. Ciri terbaru cip T2 ini akan mematikan fungsi mikrofon secara automatik apabila komputer riba Apple Macintosh yang dilengkapi dengan cip ini ditutup rapat skrinnya.
Ia bagi mengelakkan Mac tersebut daripada digodam menerusi mikrofon ketika ia tidak aktif (dalam mod sleep dengan skrin tertutup rapat).
Tetapi ia tidak punyai kawalan terhadap kamera FaceTime kerana Apple menyatakan sepertimana pernyataan di dalam dokumen keselamatan Apple T2,
“The camera is not disconnected in hardware because its field of view is completely obstructed with the lid closed”.
Lain-lain…
Selain daripada yang disebutkan di atas, Macbook Air juga kini dilengkapi dengan skrin 13.3″ Retina (2560×1600, tetapi tiada ciri True Tone seperti skrin Macbook Pro 2018).
MBA 2018 juga kini menyokong kapasiti RAM 8GB yang lebih pantas (2133MHz LPDDR3) dan boleh dinaik taraf sehingga 16GB serta menyokong storan SSD (60% lebih pantas dari model terdahulu) dengan kapasiti sehingga 1.5TB. (Menaik taraf kedua-dua perkakasan ini hanya boleh dibuat menerusi tempahan laman web rasmi Apple sahaja sebab ia dipateri mati atas papan litar utama).
Force Touch trackpad juga kini 20% lebih besar berbanding model terdahulu (sama dengan trackpad yang terdapat pada semua model terbaru komputer riba Apple), kualiti pembesar suara yang dipertingkatkan (25% lebih kuat) serta rekaan papan kekunci butterfly generasi ketiga.
Jadi, beli Macbook atau Macbook Air?
Melihat kepada perkakasan terkini dan ciri-ciri baru yang ada pada Macbook Air 2018, adakah anda rasa masih berbaloi membeli Macbook?
Sekadar makluman, Macbook yang dijual Apple ketika ini adalah model 2017. Kali terakhir ia dikemaskini adalah pada Jun 2017 yang lalu.
Bermakna ia menggunakan perkakasan yang lebih berusia. Bukan setakat itu sahaja, kuasa pemprosesannya juga adalah jauh lebih perlahan prestasinya serta saiz skrin juga 1.3″ lebih kecil dari model Macbook Air 2018.
Juga jangan tak tahu, sambungan yang terdapat pada Macbook adalah jenis USB-C, bukan jenis sambungan Thunderbolt 3 (USB-C).
Atau jika itu juga masih tidak cukup untuk meyakinkan anda, harga Macbook adalah jauh lebih mahal iaitu bermula dari RM5902.00. Walhal, Macbook Air pula hanya berharga dari RM5249.00 sahaja.
Benar Macbook adalah sedikit ringan dari MBA, tapi jangan nak buat ‘teghok’ sangatlah.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Macbook Air 2018 telah dinaik taraf dengan baik oleh Apple dari segi desaiz fizikal serta kemaskini perkakasan dalamannya.
Cuma satu saja kecacatan MBA ini iaitu cip pemprosesannya yang kurang berkuasa. Hasil semakan terhadap ujian prestasi yang dibuat oleh Benchmark mendapati, prestasi Macbook adalah lebih perlahan dari model-model kategori komputer berprestasi sederhana yang lain.
Artikel ini bukanlah untuk membandingkan Macbook Air 2018 dengan model komputer riba Windows berprestasi sederhana yang lain. Jika hendak membandingkannya, kita perlu melihat kepada aspek-aspek yang lain pula.
Tetapi, dari segi kualiti buatan, kemasan, ketahanan fizikal dan perkakasan, rasanya ramai yang bersetuju bahawa Macbook Air adalah jauh lebih baik dari komputer riba jenama yang lain.
Macbook Air 2018 sudah boleh di pra tempah menerusi laman web rasmi Apple Malaysia. Tetapi belum ada lagi tarikh sebenar bilakah ia akan mula dijual di pusat jualah sah Apple di seluruh Malaysia.
Jadi dipendekkan cerita, jangan beli Macbook 12″!. Sekian.













[…] ini telah dibincangkan perbandingan antara Macbook 12″ dan Macbook Air 2018 serta Macbook Pro 13 2017 dengan Macbook Air […]
[…] Antara Macbook 12″ dengan Macbook Air 13″ model 2018, yang manakah… […]
[…] Antara Macbook 12″ dengan Macbook Air 13″ model 2018, yang manakah… […]
[…] Antara Macbook 12″ dengan Macbook Air 13″ model 2018, yang manakah… […]
[…] Antara Macbook 12″ dengan Macbook Air 13″ model 2018, yang manakah… […]