Perbandingan antara 2 model Macbook ini nampak macam jelas pemenangnya, tapi…

Jika sebelum ini telah dibuat perbandingan antara Macbook 12″ dengan Macbook Air 13″ 2018, kali ini mari pula kita lihat perbandingan antara model Macbook Air 13″ 2018 (MBA) dan Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar 2017 (MBP).

Perbandingan ini mungkin nampak mudah dan ada yang berpendapat alang-alang nak beli, ambil saja Macbook Pro.

Tetapi ada beberapa perkara kecil yang perlu diteliti berkenaan spesifikasi antara 2 Macbook ini yang mungkin anda tidak perasan.

Pada bulan Julai yang lalu, Apple hanya mengemaskini perkakasan Macbook Pro 13″ dan 15″ 2018 dengan panel Touch bar sahaja. Jadi model MBP 13″ tanpa Touch Bar yang ada sekarang sekarang adalah dari model 2017.

Manakala Macbook Air 2018 baru sahaja dikemaskini perkakasannya pada 30 Oktober lepas.

Persamaan

Persamaan antara MBP 13″ tanpa Touch Bar 2017 dan MBA 2018 adalah saiz skrin retinanya bersaiz 13.3″ yang menyokong resolusi paparan tertinggi 2560×1600 piksel serta dilengkapi dengan teknologi IPS.

macbook air 2018 fan
Macbook Air 2018 dan Macbook Pro 13″ tanpa Touch bar 2017 hanya dipasang dengan 1 kipas sahaja. Kredit foto: iFixit

Kedua-dua model Macbook ini juga dilengkapi dengan jenis sambungan yang sama iaitu 2x Thunderbolt 3 (USB-C), Wi-Fi 802.11ac,  teknologi tanpa wayar Bluetooth 4.2 dan fon kepala 3.5mm.

Thunderbolt 3 USB-C
Kedua-dua model Macbook ini dilengkapi dengan 2x sambungan berkelajuan tinggi Thunderbolt 3 (USB-C).

Ia juga didatangkan dengan kapasiti storan dan RAM yang sama iaitu dari pilihan saiz storan 128GB atau 256GB dan RAM 2133MHz LPDDR3 8GB (dipateri mati atas papan litar utama, boleh dinaik taraf kepada 16GB sewaktu pembelian di laman web rasmi Apple sahaja).

Selain itu, kedua-duanya juga dilengkapi dengan rekaan papan kekunci Butterfly dan Force Touch trackpad.

Perbezaan

Disebalik persamaan yang ada antara Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar dan Macbook Air 2018 ini, ada beberapa perbezaan ketara dan tersebunyi yang mungkin anda tidak sedari.

  • Skrin Retina

Walaupun kedua-dua model Macbook ini dilengkapi dengan skrin retina, tetapi terdapat perbezaan antara keduanya. Paparan MBP adalah sedikit cerah iaitu kadar cerahan maksimumnya adalah 500 nit. Manakala kadar cerahan paparan retina MBA pula adalah 300 nit.

Malah skrin retina MBA 2018 juga sedikit kurang dari aspek warna kerana ia tidak menyokong Wide color (P3). Tapi anda mungkin tidak perasan pun sebab perbezaannya adalah sedikit sahaja.

Macbook Air 2018
Mana-mana paparan dengan nilai kadar cerahan 300 nits dan ke atas adalah paparan dengan cerahan yang sangat baik.
  • Cip pemprosesan Intel dual core

Model MBP dan MBA ini dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel dual core i5. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan ketara antara 2 nya.

Macbook Air i5

Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar 2017 dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel dual core i5-7360U 2.3GHz generasi ke 7 (Kaby Lake) yang telah dilancarkan pada suku ke pertama tahun 2017 yang lalu.

Macbook Air 2018 pula menggunakan cip pemprosesan Intel dual core i5-8210Y generasi ke 8 (Amber Lake Y) yang baru sahaja dilancarkan pada suku ke 3 tahun ini.

Namun begitu, itu tidak bermakna MBA 2018 adalah lebih pantas dari MBP 2017. Ini kerana kitaran kuasa MBP adalah lebih tinggi iaitu 2.3GHz. Kitaran kuasa cip pemprosesan Intel MBA pula hanyalah sekadar 1.6GHz sahaja.

Kelebihan MBP juga adalah pembeli boleh memilih cip pemprosesan Intel dual core i7 2.5GHz yang lebih berkuasa, tetapi tidak untuk MBA. Ini kerana MBA hanya didatangkan dengan pilihan cip pemprosesan Intel dual core 1.6 itu sahaja (mungkin buat masa ini).

Macbook pro 13 2017 vs Macbook Air 2018Jelas di sini dari aspek kuasa pemprosesan unit, Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar adalah lebih berkuasa dari Macbook Air 2018 walaupun ia dilengkapi dengan cip Intel yang lebih berusia.

Selain daripada kuasa, cip intel MBP juga memiliki ciri teknologi Intel vPro iaitu ciri keselamatan terbina dalam bagi menghalang cip pemprosesan itu daripada ancaman terancang, serangan virus dan perisian hasad (malware).

Selain itu, ciri cip pemprosesan itu juga mampu melindungi data dan privasi pengguna serta lain-lain. Sunguhpun begitu…

  • Cip Apple T2

Kesemua model Mac keluaran sebelum 2018 (kecuali iMac Pro 2017) tidak dilengkapi dengan cip Apple T2. Hanya Mac dari model 2018 sahaja yang dilengkapi dengan cip Apple T2.

MBA touch ID
Macbook Air 2018 turut dilengkapi dengan ciri Touch ID.

Jadi, walaupun model cip pemprosesan Intel yang digunakan pada Macbook Air 2018 tidak dilengkapi dengani ciri Intel vPro, ciri keselamatan MBA tersebut telah dipertingkat dengan adanya cip Apple T2.

cip Apple T2
Ciri dan fungsi Apple T2 telah dibincangkan dalam artikel-artikel sebelum ini.
  • Kapasiti storan

Macbook Air 2018 kini menyokong kapasiti storan sehingga 1.5TB, manakala kapasiti maksimum storan Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar 2017 pula adalah 1TB.

Walaubagaimanapun, storan SSD yang ada dalam MBP ini bukanlah jenis storan yang dipateri mati atas papan litar utamanya. Sebaliknya storan tersebut boleh ditanggalkan dari papan litar.

Namun begitu, adakah ia bermakna storan MBP tersebut boleh dinaik taraf kapasitinya oleh anda pada masa lain?

Jawapan ringkasnya, ya ia boleh dinaik taraf kemudian oleh anda tetapi…lebih kepada agak mustahil. Ini kerana antaramuka storan SSD yang bersesuaian dengan model MBP tersebut sukar didapati.

Setakat semakan yang dibuat, laman baik pulih dan alat ganti pihak ketiga seperti iFixit dan Beetstech tidak menawarkan kapasiti storan SSD sehingga 1TB untuk MBP ini.

Macbook Pro 13 non touch bar 2017 SSD
Laman web Beetstech ada menjual storan SSD Macbook Pro 13 tanpa Touch Bar 2017. Tetapi buat masa ini status yang dipaparkan adalah tiada di dalam stok mereka.

Ini bermakna kebarangkalian untuk mendapatkan storan SSD MBP tersebut hanya boleh diperolehi dari pusat servis bertauliah Apple sahaja.

Itulah sahaja satu-satunya harapan yang boleh anda dapatkan storan SSD berkapasiti lebih besar untuk MBP tersebut, tapi itu pun kalau ada.

  • Grafik

Kuasa grafik untuk 2 model Mac ini dikuasakan oleh cip grafik Intel terbina dalam. MBP tanpa Touch Bar 2017 dilengkapi dengan cip grafik Intel Iris Plus Graphics 640.

Manakala MBA 2018 pula menggunakan cip grafik Intel UHD Graphics 617.

Semakan menerusi perbandingan yang dibuat oleh laman web Notebook Check mendapati, kuasa grafik yang ada pada MBP adalah lebih tinggi berbanding MBA. Walaupun prosessor grafik MBP lebih berusia dari MBA.

Tetapi kedua-duanya mampu menyokong 1 paparan luar resolusi 5120×2880 atau 2 paparan luar 4096×2304 menerusi sambungan Thunderbolt 3 (USB-C).

  • Bateri

Perbezaan kapasiti bateri antara 2 Macbook ini adalah tidak besar. Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar 2017 dilengkapi dengan bateri jenis lithium-polymer terbina dalam berkapasiti 54.5 watt. Manakala Macbook Air 2018 pula hanya 50.3 watt sahaja.

Penyesuai kuasa pengecas bagi MBP didatangkan dengan kuasa yang lebih besar iaitu 61W, MBA pula hanya 30W sahaja.

Keupayaan bateri beroperasi juga berbeza di mana Apple menyatakan bahawa MBP mampu beroperasi sehingga 10 jam, tetapi bateri MBA yang lebih kecil pula mampu beroperasi sehingga 12 jam.

Ini adalah kelebihan cip pemprosesan yang dimiliki oleh Macbook Air 2018 yang lebih jimat tenaga.

  • Lain-lain…

Kelebihan lain yang ada pada Macbook Air 2018 adalah ia didatangkan dengan 3 pilihan warna iaitu Gold, Silver dan Space Grey. Macbook Pro pula (kesemua model) hanya ada pilihan warna  Silver dan Space Grey sahaja.

Selain itu, Macbook Air 2018 juga sedikit lebih ringan berbanding Macbook Pro 13″ dan dilengkapi dengan 3 mikrofon (MBP 13″ tanpa Touch Bar hanya ada 2 mifkrofon sahaja).

Persoalannya sekarang, antara 2 Macbook ini, yang manakah patut anda beli?

Bergantung kepada…

Jika dilihat dari segi prestasi, memang tidak dinafikan Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar model 2017 adalah pemenangnya. Dari aspek kuasa pemprosesan unit dan juga kuasa grafik, ia adalah lebih baik dari Macbook Air 2018.

Tetapi itu bukan bermakna anda patut membelinya. Ini kerana Macbook Air juga memiliki prestasi yang sudah cukup baik. Amat sesuai bagi mereka yang melakukan kerja-kerja ringan dan sederhana seperti melayari web, menonton video, menaip ataupun mungkin sedikit tugasan suntingan video/audio atau grafik sederhana.

Macbook Air mampu melaksanakan tugas-tugas tersebut dengan lancar. Malah anda dapat menjimatkan bajet untuk memiliki sebuah Mac sehingga RM683.00.

Macbook Air retina 2018
Macbook Air berharga dari RM5249.00. Tetapi anda boleh membeli Macbook Air 2018 pada harga lebih murah iaitu dari RM5039.00 sahaja.

Walaubagaimanapun, sekiranya anda adalah seorang pengguna yang sering melakukan tugasan suntingan gambar atau video dan audio untuk tugasan lapangan yang memerlukan penggunaan aplikasi profesional seperti Adobe Photoshop atau Final Cut Pro X, Macbook Pro adalah pilihan terbaik untuk anda.

Macbook Pro 13 non touch bar
Macbook Pro berharga dari RM5932.00. Tetapi anda boleh membeli Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar pada harga lebih murah iaitu dari RM5706.00 sahaja.

Ringkasnya, model Macbook yang sesuai dengan anda adalah bergantung kepada keperluan harian anda. Untuk apa tujuan utama anda menggunakan Mac tersebut.

Tidak bermakna membeli Mac yang lebih berkuasa menguntungkan anda jika tugasan anda tidak memerlukan sebuah Mac berkuasa tinggi. Maka, jangan membazir wang ringgit dan kuasa Mac tersebut.

Kesimpulan

Setiap Mac yang dihasilkan Apple memang agak sukar dipilih disebabkan harga dan spesifikasi perkakasannya yang mungkin sedikit mengelirukan anda. Terutamanya bagi mereka yang pertama kali ingin memiliki sebuah Mac.

Maka diharapkan dengan penerangan ringkas berkaitan spesifikasi yang ada pada Macbook Air 2018 dan Macbook Pro 13″ tanpa Touch Bar 2017 ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu anda dalam membuat keputusan membeli Mac yang bersesuaian dengan anda.

 

P/s: Artikel ini tidak membandingkan komputer Apple dengan komputer riba Windows jenama lain. Perbandingan antara komputer riba Windows dan Apple Macintosh perlu dilihat pada sudut yang berbeza.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here