
iFixit pertontonkan perkakasan dalaman Macbook Pro 13″ model 2018.
Laman web iFixit yang popular dalam bab membedah perkakasan dalam pelbagai peranti hari ini telah berkongsikan gambar kandungan dalaman yang lebih jelas digunakan dalam Macbook Pro 13″ model 2018.
Pembedahan ke atas MBP tersebut mendapati kuasa bateri yang digunakan untuk model terbaru ini lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ini tidak menghairankan kerana MBP 13″ terbaru menggunakan cip pemprosesan yang lebih berkuasa dari model sebelumnya.

Selain itu, MBP ini juga kini menggunakan cip pemprosesan T2 sama sepertimana yang digunakan di iMac Pro. Cip pemprosesan yang dibangunkan Apple sendiri ini mengawal sistem boot, ciri keselamatan, SIRI dan beberapa kawalan terhadap ciri-ciri lain yang sebelum ini dikawal oleh cip pemprosesan pusat (CPU).

Walaubagaimanapun seperti yang dijangkakan untuk model Macbook Pro ini, ia tetap amat sukar dibaik pulih. Perkakasan RAM, storan flash, dan cip pemprosesan kesemuanya dipateri mati di atas papan litar utamanya.
Ini sekaligus menyebabkan sekiranya berlaku sebarang kerosakan, kos pembaikannya adalah amat mahal. ifixit memberikan skor pembaikan terendah iaitu hanya 1/10 untuk model MBP ini.
Jika anda bercadang mahu membeli Macbook Pro 13″ terbaru ini, anda mungkin perlu berfikir dulu sama ada patut beli atau tidak Macbook Pro 2018.
Kredit foto: iFixit
Sumber artikel: iFixit





















