Aplikasi terbaru MacCheck dari Micromat
Aplikasi yang memudahkan anda melakukan sendiri diagnostik terhadap Mac.
Kadang kala Mac anda akan meragam yang membuatkan anda naik hangin terutamanya bila tengah sibuk buat kerja, masa tu jugalah dia buat pasal. Ia mungkin berpunca daripada masalah sistem operasi Mac OS X ataupun lebih teruk lagi jika ia berpunca daripada masalah perkakasan Mac tersebut. Jadi, bagi memudahkan anda melakukan ujian secara rutin terhadap perkakasan Mac anda, Micromat telah menghasilkan sebuah aplikasi yang dikenali sebagai MacCheck.
Aplikasi MacCheck
MacCheck merupakan sebuah aplikasi yang dibangunkan oleh Micromat, khas bagi melakukan diagnosis terhadap perkakasan Mac. Ia sebuah aplikasi yang memudahkan anda melakukan sendiri ujian bagi mengesan sekiranya berlaku sebarang kecacatan/kerosakan fungsi perkakasan Mac anda. Terdapat 8 bahagian utama ujian yang dibuat oleh MacCheck iaitu :-
- Power On Self-Test - Menguji kelancaran fungsi pada perkakasan RAM (random access memory), prosessor dan bootrom (atau boot ROM merupakan kod arahan pertama yang terdapat dalam prosessor yang akan dilaksanakan oleh pemproses apabila sesebuah komputer dihidupkankan atau di Reset).
- I/0 Check - Pemeriksaan terhadap proses read/write data sama ada berlaku sebarang kerosakan data atau pada perkakasan (HDD/SSD).
- Battery Test - Ujian terhadap bateri bagi keluarga MacBook sama ada berfungsi dengan baik atau sudah tiba masa untuk anda tukar dengan yang baru (maksudnya duit melayang).
- Memory Test - Pemeriksaan terhadap memori pada RAM dengan menggunakan algoritma ringkas bagi menguji masalah RAM dalam Mac anda.
- SMART Test - Self-Monitoring Analysis and Reporting Technology akan memeriksa perkakasan ruang storan Mac (HDD/SSD) sama ada berfungsi dengan baik atau tidak.
- RAID Status — Redundant Array of Independent Disks merupakan cara yang digunakan untuk meningkatkan kelajuan akses data pada storan Mac (hanya berfungsi jika ruang storan Mac anda menggunakan RAID).
- Volume Structures - Mengesan kerosakan pada struktur data. Jika berlaku kerosakan data kritikal, ia akan menyebabkan kerosakan data-data tersebut merebak dan seterusnya menyebabkan data-data penting dalam Mac anda hilang.
- Partition Map - Merupakan ujian terhadap pembahagian pada pemacu storan Mac anda. Sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada pemacu, Mac anda mungkin tidak dapat mengoperasikan sistem operasi yang dikehendaki ataupun mungkin pembahagian pemacu storan yang dibuat anda akan hilang.
Cara dapatkan aplikasi MacCheck
Anda boleh dapatkan aplikasi MacCheck ini secara percuma daripada laman web rasmi pembangun aplikasi ini, Micromat. Selepas memuat turun aplikasi tersebut dan mengaktifkannya, anda perlu mendaftar terlebih dahulu bagi mendapatkan nombor siri aplikasi MacCheck.
Selepas klik butang Register, isikan maklumat ringkas pada ruang yang disediakan seperti pada rajah di bawah.
Selepas selesai isi ruang tersebut, klik butang Send dan sila semak Email anda. Copy nombor siri yang diberikan, Paste pada ruang kotak kosong yang disediakan dan klik butang Register. Selesai.
Cara penggunaan
Antaramuka aplikasi MacCheck ringkas dan mudah digunakan. Anda hanya perlu klik butang Start untuk mula mengimbas setiap 8 bahagian tersebut. Sekiranya bahagian yang diimbas berwarna hijau bermakna perkakasan tersebut tiada sebarang masalah. Tetapi sekiranya ia berwarna merah selepas diimbas, ia mungkin mengalami masalah yang perlu anda ambil tindakan dengan segera.
Diharapkan aplikasi MacCheck ini akan dapat membantu anda menghilangkan kerisauan terhadap keadaan perkakasan Mac anda. Sebelum berlaku apa-apa kerosakan yang lebih teruk, ada baiknya anda melakukan pemeriksaan ringkas terhadap Mac yang anda gunakan dengan aplikasi MacCheck. Selamat mencuba. 🙂
Tinggalkan Komen