perbandingan model iMac

Panduan membeli iMac… harapnya tak pening lagi.

Ketika ini, Apple menawarkan 3 model iMac kepada pengguna iaitu iMac 21.5″ tanpa skrin Retina, iMac 21.5″ paparan Retina 4K dan iMac 27″ paparan Retina 5K.

Jadi, antara 3 model iMac ini, yang manakah patut anda beli mengikut kesesuaian penggunaan harian anda?

(iMac Pro tidak dibincangkan di sini kerana ia lebih memfokuskan kepada pengguna profesional).

iMac 21.5″ tanpa skrin Retina (2017)

Model iMac 21.5″ tanpa skrin retina masih ditawarkan Apple kepada pengguna yang mahukan sebuah iMac pada harga mampu milik.

Cuma ada beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang spesifikasi utama iMac ini yang mungkin akan menyebabkan anda berfikir adakah ia berbaloi dimiliki.

  • Spesifikasi

iMac 21.5″ tanpa skrin retina (1920×1080)kali terakhir dikemas kini perkakasannya oleh Apple adalah pada Jun 2017 dahulu.

Bermakna iMac 21.5″ ini sudah berusia 2 tahun lebih.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel dual core i5 2.3Ghz generasi ke-7 (tiada pilihan naik taraf CPU bagi model ini).

Kuasa grafiknya pula hanya dikuasakan oleh Intel Iris Plus Graphics 640. Manakala kapasiti RAM nya hanya menyokong hingga 16GB RAM sahaja.

Jadi ringkasnya, iMac 21.5″ tanpa skrin retina sesuai bagi pengguna amatur, mereka yang berbajet sederhana dan inginkan sebuah iMac yang sudah mampu menjalankan operasi aplikasi-aplikasi ringan dengan lancar seperti pelayar web (Safari, Chrome, Firefox), suntingan foto, audio atau video (Photos, Garage Band, iMovie) dan aplikasi pejabat Microsoft Office atau iWorks (Pages, Numbers, Keynote).

iMac 21.5″ tanpa skrin retina berharga dari RM4,749.00, tetapi perkakasannya masih boleh dinaik taraf menerusi pembelian di laman stor Apple Malaysia atau oleh pihak ketiga (DIY selepas jualan).

Perinciannya boleh dirujuk dalam artikel Senarai model-model iMac yang boleh dinaik taraf perkakasannya (No. 15. iMac 21.5” 2017).

Manakala versi sistem operasi macOS nya pula masih menyokong untuk tempoh 4 atau 5 tahun lagi (contoh: 10.15, 10.16. 10.17, 10.18 dan 10.19).

Ketika ini versi terbaru macOS adalah macOS 10.15 Catalina.

iMac 21.5″ paparan Retina 4K (2019)

Apple baru sahaja mengemas kini perkakasan iMac 21.5″ paparan Retina 4K pada Mac 2019 lalu.

Malah Apple juga menaik taraf keupayaan sokongan perkakasan model iMac ini.

  • Spesifikasi

Model asas iMac 21.5″ paparan Retina 4K (4096×2304) dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel quad core i3 3.6GHz Generasi ke-8 (ini yang leceh).

Kapasiti RAM nya boleh dinaik taraf dari kepada 32GB dan grafik yang dikuasakan oleh Radeon Pro 555X dengan memori 2GB GDDR5.

Tetapi ia masih didatangkan dengan jenis storan HDD bersaiz 1TB.

Model asas iMac 21.5″ paparan Retina 4K sesuai untuk pengguna yang mahukan model terbaru iMac, mempunyai bajet tidak lebih dari RM6,000 dan mahukan paparan 4K sekaligus.

Tetapi ia semestinya tidak cukup berkuasa bagi sebahagian pengguna yang banyak menjalankan aplikasi profesional grafik dan video seperti Adobe Creative Suite.

Ini kerana cip pemprosesan Intel quad core i3 3.6GHz Generasi ke-8 tidak memiliki ciri Turbo Boost.

Oleh itu, bagi mereka yang mahukan lebih kuasa pada model iMac ini perlulah memiliki bajet sekurang-kurangnya RM6,449 bagi  mengambil model iMac 21.5″ paparan Retina 4K yang dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel 6 core i5 3.0GHz Generasi ke-8.

perbandingan model iMac 21.5 inci
Sambungan yang terdapat pada iMac 21.5″ dan iMac 21.5″ paparan Retina 4K dan iMac 27″ paparan Retina 5K.

iMac 27″ paparan Retina 5K (2019)

Kesemua model iMac 27″ paparan Retina 5K baru sahaja dikemas kini perkakasannya oleh Apple pada Mac 2019 lalu.

Spesifikasinya sudah cukup berkuasa bagi semua pengguna umum untuk menjalankan sebarang operasi dari aplikasi pelayar sesawang hinggalah aplikasi profesional grafik, audio dan video.

Cuma anda perlulah mempunyai bajet sekurang-kurangnya RM7,699.00 bagi memliki seunit model asas iMac 27″ paparan Retina 5K.

Model asas iMac 27″ 2019 dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel 6 core 3.0Ghz Generasi ke-8.

Sementara model iMac ini dengan spesifikasi tertinggi dikuasakan oleh cip Intel 6 core 3.7Ghz dari Generasi ke-9 (berharga dari RM9,799.00).

Bagi pengguna profesional khususnya dalam industri kreatif, mereka pastinya mahukan iMac berkuasa yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.

Jadi, barisan iMac 27″ 2019 adalah yang terbaik untuk mereka.

Kesimpulan

Apa yang lecehnya dengan barisan model iMac 21.5″ mahupun iMac 27″, kesemuanya masih didatangkan storan HDD atau storan Fusion Drive.

Menyebabkan prestasi iMac secara umumnya masih belum cukup memuaskan hati. Menyebabkan pengguna perlu mempunyai bajet tambahan bagi menaik taraf storan yang sedia ada pada iMac itu kepada jenis storan pantas SSD.

Kesimpulannya, model iMac manakah yang patut anda miliki adalah semuanya berbalik kepada bajet anda bagi memiliki sebuah iMac.

Bagi pengguna umum, iMac dengan spesfikasi sederhana sudah memadai untuk anda. Melainkan anda sanggup untuk membelanjakan lebih wang bagi memiliki iMac dengan spesifikasi yang lebih berkuasa.

Anda boleh melakukan konfigurasi terbaik dengan menaik taraf perkakasan model iMac ini menerusi laman stor Apple Malaysia.

Atau anda boleh membuat perbandingan sendiri antara model-model iMac bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas spesifikasi yang ditawarkan pada barisan iMac di laman stor Apple Malaysia.

Nasihat: Jika anda ingin menaik taraf perkakasan komputer Apple Macintosh khususnya iMac, anda dinasihatkan hanya mendapatkan servis dari pihak ketiga yang benar-benar mahir dengan selok-belok komputer Apple.

Sebagai contoh saudara Mat Iboff dari iBoff Repair & Calibration Centre, tuan Hafeez Hasmat, tuan Nafies Afkhory dari Machanic Technologies atau lain-lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here