review macos high sierra

Dikemaskini pada 9 Oktober 2018. – Elakkan daripada menggunakan macOS High Sierra 10.13. Terus sahaja naik taraf macOS anda kepada versi terbaru macOS Mojave 10.14

macOS High Sierra padat dengan ciri-ciri terbaru, tetapi adakah anda perlu menggunakannya sekarang?

Lebih kurang 24 jam sahaja lagi para pengguna Mac akan boleh menaik taraf ke macOS 10.13 High Sierra bermula dari jam 1.00 pagi, 26 September 2017 nanti menerusi Mac App Store. Pasti ramai yang dah tak sabar untuk menaik taraf ke macOS tersebut.

Antara ciri-ciri terbaru macOS High Sierra yang hangat diperkatakan adalah seperti sistem fail Apple File Sistem (APFS), Metal 2, High Efficiency Video Coding (HEVC), dan Safari 11. Ciri-ciri terbaru ini pastinya sesuatu yang menarik dan unik yang menjadikan macOS sebagai sistem komputer yang lebih baik berbanding sistem operasi komputer lain seperti Windows atau Chrome OS. Namun begitu ia tidak bermakna anda perlu menaik taraf macOS yang anda gunakan sekarang kepada macOS 10.13 ini.

Jadi siapa yang sesuai atau yang akan mendapat manfaat sepenuhnya apabila menggunakan macOS 10.13 High Sierra?

  • Komputer Macintosh dengan cip pemprosesan  Intel Core generasi ke-enam (Skylake) dan ke atas.

Sekiranya anda menggunakan Mac keluaran lewat 2015 seperti iMac 27″ Retina 5K, MacBook 12″ awal 2016 atau MacBook Pro 13″ keluaran 2016 (dengan atau tanpa panel Touch Bar), anda sememangnya akan mendapat kelebihan dengan ciri terbaru HEVC yang ada pada macOS 10.13.

Ini kerana Apple secara khusus menyatakan, bagi memainkan semula kandungan video 4K yang menggunakan pengkodan HEVC, ia memerlukan Mac yang dilengkapi dengan kuasa pemprosesan Intel core generasi ke-enam dan ke atas. Jadi sememangnya generasi Mac terbarulah yang akan mendapat kelebihan ini.

Patut atau tidak anda menaik taraf ke macOS 10.13 High Sierra
Prestasi Mac yang menggunakan cip pemprosesan Intel terdahulu seperti Broadwell, Haswell atau Ivy Bridge apabila memainkan video 4K HEVC mungkin tidak sebaik prestasi Mac yang dilengkapi dengan cip pemprosesan generasi terbaru Intel seperti Skylake atau Kaby Lake.

Walaubagimanapun, bagi model Mac pertengahan 2015 atau yang sebelumnya, ia hanya menyokong format fail video HEVC yang telah dirakam tanpa lebih daripada kualiti video 1080p pada kadar 240 bingkai gambar sesaat. Info lanjut tentang format fail video HEVC ada di laman sokongan Apple.

  • Mac yang menggunakan storan SSD atau PCIe

Jika Mac anda menggunakan jenis storan SSD atau PCIe (perbezaan antara 2 jenis storan ini adalah antaramukanya, tetapi PCIe adalah lebih pantas dan lebih mahal berbanding SSD), memang sesuai bagi anda menaik taraf ke macOS High Sierra. Ini kerana sistem fail terbaru Apple File System (APFS) yang diperkenalkan Apple di macOS High Sierra adalah dibangunkan khusus untuk digunakan pada storan jenis SSD dan PCIe.

Format sistem fail ini dikatakan akan menambahkan lagi keselamatan data-data yang terdapat di dalam Mac anda serta pengurusan data menjadi lebih responsif dan efisyen.

Patut atau tidak anda menaik taraf ke macOS 10.13 High Sierra
Untuk pengetahuan anda, Apple secara rasmi telah menyatakan format sistem fail APFS tidak menyokong Mac yang menggunakan jenis storan Fusion Drive (SSD yang digabungkan bersama HDD). Namun begitu Mac anda masih tetap boleh menggunakan macOS High Sierra. Cuma anda tidak boleh jadikan storan tersebut sebagai start up volume bagi macOS. Penerangan lebih lanjut telah dilakukan AriffMac di artikel Ciri terbaru macOS High Sierra – APFS. Foto:YouTube.

Walaubagaimanapun…

Seperti yang AriffMac katakan di awal tadi, walaupun macOS High Sierra dipenuhi dengan ciri-ciri terbaru, anda sebenarnya mungkin tidak perlu atau mahu lagi menggunakan macOS tersebut. Ini kerana terdapat beberapa isu yang perlu anda tahu tentang macOS 10.13 ini sebelum anda mahu menggunakannya.

Antara isu-isu tersebut adalah seperti berikut:-

  • Masih belum cukup stabil

Walaupun Apple sudah mengemaskini macOS High Sierra Beta kepada versi Golden Master (GM), AriffMac dapati masih terdapat beberapa isu kestabilan sistem yang tidak konsisten pada macOS High Sierra. Antara isunya adalah seperti kadang kala terjadinya flickering (kerlipan) pada skrin Mac apabila aplikasi seperti pelayar web pihak ketiga Google Chrome mahu pun Safari  yang dibangunkan Apple sendiri diaktifkan.

Selain itu, kawalan tetikus juga tidak stabil di mana berlaku beberapa kali tetikus Mac tidak dapat dikawal (tetikus jadi gila). Klik ikut suka dia tanpa dapat dikawal oleh AriffMac sendiri. Penyelesaian kepada masalah tersebut hanya dapat diselesaikan dengan mematikan Mac dan hidupkannya semula. Jika Restart masalah tetikus luar kawalan tersebut tidak dapat diselesaikan.

  • Aplikasi belum menyokong ciri-ciri utama macOS High Sierra 

Sekiranya anda menggunakan aplikasi-aplikasi profesional seperti aplikasi penyuntingan video Final Cut Pro X, Adobe, Avid dan lain-lain, ada baiknya anda jangan gunakan lagi macOS terbaru ini. Ini kerana setakat waktu ini, belum ada kenyataan rasmi yang menyatakan aplikasi-aplikasi tersebut sudah menyokong macOS High Sierra.

Patut atau tidak anda menaik taraf ke macOS 10.13 High Sierra
Aplikasi profesional Davinci Resolve 14 mungkin antara yang terawal akan menyokong ciri-ciri terbaru yang ada pada macOS High Sierra seperti Metal 2. Namun begitu buat masa ini, tiada sebarang kenyataan rasmi sama ada ia sudah serasi atau tidak bersama macOS 10.13 tersebut. Foto:Blackmagic Design

Selain itu juga untuk pengetahuan anda, sekiranya anda menggunakan aplikasi Microsoft Office untuk Mac 2011, anda tidak lagi boleh gunakannya di macOS High Sierra. Menurut Microsoft, aplikasi Office untuk Mac 2016 versi 15.35 dan ke atas sahaja yang boleh digunakan bersama macOS High Sierra.

  • Keselamatan

Isu keselamatan merupakan antara isu yang menjadi keraguan pengguna Mac untuk berhijrah kepada macOS High Sierra. Isu kelemahan keselamatan macOS ini ada AriffMac bincangkan di artikel Isu kelemahan keselamatan macOS High Sierra yang patut anda beri perhatian.

Kesimpulan

Setelah menggunakan macOS High Sierra versi Beta selama beberapa bulan, AriffMac dapati ia sebenarnya seperti masih belum cukup bersedia untuk digunakan oleh semua pengguna Mac. Isu seperti kestabilan dan keserasian aplikasi yang kebanyakannya masih belum menyokong macOS tersebut menjadi sebab utama untuk anda tidak perlu menaik taraf ke macOS 10.13 ini.

Malah ciri-ciri terbaru yang diperkenalkan Apple di macOS High Sierra juga hanya banyak memberikan kelebihan kepada generasi Mac terbaru sahaja. Jadi dicadangkan sebaiknya anda tangguhkan dulu hajat untuk menaik taraf macOS anda ke versi 10.13 ini.

Patut atau tidak anda menaik taraf ke macOS 10.13 High Sierra
Sebaiknya buat salinan data ke storan luar bagi mengelakkan kehilangan data yang mungkin boleh berlaku ketika proses menaik taraf macOS sedang dilakukan.

Walaubagaimanapun, sekiranya anda bercadang hendak juga menggunakan macOS tersebut, anda dinasihatkan supaya buatlah salinan data (backup) Mac anda terlebih dahulu sebelum menaik taraf macOS anda. Anda boleh menggunakan aplikasi seperti Carbon Copy Cloner atau Time Machine untuk membuat backup data-data Mac anda.

macOS High Sierra akan boleh dimuat turun pada 26 September 2017 ini, bermula jam 1 pagi (kebiasannya lah). macOS High Sierra boleh dimuat turun secara percuma menerusi aplikasi Mac App Store oleh semua Mac yang menyokong macOS 10.12 Sierra. Senarai penuh Mac dan OS X yang boleh menggunakan macOS High Sierra adalah seperti senarai di bawah.

  • iMac (Lewat 2009 atau terbaru)
  • MacBook (Lewat 2009 atau terbaru)
  • MacBook Pro (Pertengahan 2010 atau terbaru)
  • MacBook Air (Lewat 2010 atau terbaru)
  • Mac mini (Pertengahan 2010 atau terbaru)
  • Mac Pro (Pertengahan 2010 atau terbaru)
  • OS X El Capitan v10.11
  • OS X Yosemite v10.10
  • OS X Mavericks v10.9
  • OS X Mountain Lion v10.8
  • OS X Lion v10.7

Cadangan lain untuk anda yang mahu menggunakan macOS High Sierra adalah sebaiknya Mac anda menggunakan RAM 4GB dan ke atas (8gb lebih baik kalau tidak ia ibarat lori yang bawa lebih muatan). Pastikan juga storan anda mempunyai ruang yang secukupnya untuk memuat turun fail macOS tersebut (Apple cadangkan ruang storan mestilah masih mempunyai ruang kosong sekurang-kurangnya 8.8GB atau lebih).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here