Harga iPhone X Malaysia
Apa yang anda boleh beli dengan wang sebanyak RM5149.00…?

Pada hari Sabtu yang lalu, Apple Malaysia telah pun mendedahkan harga rasmi bagi barisan produk terbaru mereka yang diperkenalkan pada acara istimewa Apple September lalu iaitu iPhone 8, iPhone X dan Apple Watch Series 3.

Kepada yang belum tahu, harga rasmi bagi iPhone 8 adalah bermula dari RM 3,649 (64GB), iPhone 8 Plus RM 4,149 (64GB), iPhone X RM 5,149 (64GB) dan Apple Watch Series 3 RM 1,549 (38mm).

Tetapi AriffMac tinggalkan cerita iPhone 8 dan Apple Watch sebab kebanyakannya berkata harga bagi 2 produk tersebut masih lagi dalam kategori mampu milik (mampulah sangat).

Tetapi tidak pula terhadap harga iPhone X. Apabila harga rasmi iPhone X didedahkan, kebanyakkannya ramailah peminat iPhone tersebut yang dah berangan untuk memilikinya terkejut dan secara automatik mereka berkata “…bapaklah mahal!”.

Harga iPhone X Malaysia

Jadi mulalah ada yang membandingkan dengan harga tersebut apa yang mereka boleh beli dan patut buat dengan duit tersebut. Tapi sebelum tu, mari kita lihat sedikit info spesifikasi perkakasan iPhone X terlebih dahulu.

  • Warna – Hanya terdapat 2 pilihan warna bagi iPhone X iaitu Silver dan Space Gray sahaja.
  • Ruang Storan – Pilihan ruang storan hanya ada 2 pilihan iaitu 64GB dan 256GB sahaja.
  • Saiz Skrin – Saiz skrin iPhone X hanya ada satu saiz sahaja iaitu 5.8″ dengan kualiti paparan Super Retina HD. iPhone X merupakan iPhone pertama yang menggunakan skrin OLED dengan resolusi skrin 2436×1125 pada kadar 458 piksel perinci (ppi).
  • Cip pemprosesan – Ia dilengkapi dengan cip pemprosesan A11 Bionik, 64-bit. Apple menyatakan cip terbaru ini 70% lebih pantas daripada cip A10 Fusion yang digunakan pada iPhone 7 dan iPad Pro.
  • Kamera – Dilengkapi dengan kamera berkembar 12-megapiksel bersudut lebar dan telefoto, disebelah belakangnya dengan ciri penstabilan imej dan lensanya dilindungi oleh kristal Sapphire. Kamera iPhone X mampu merakam video 4K pada kadar bingkai tertinggi 60fps.

iOS 11 menyempurnakan iPhone X

Perkakasan berkuasa yang ada pada iPhone X disempurnakan dengan gabungan sistem operasi terbarunya iaitu iOS 11 yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri terbaru.

Antara ciri-ciri terbaru tersebut adalah seperti teknologi imbasan wajah, pengecasan tanpa wayar, Augmented Reality aka AR (realiti yang diperkukuhkan), animoji (emoji beranimasi mengikut raut wajah pengguna) dan banyak lagi.

Itu antara kelebihan-kelebihan yang terdapat pada iPhone X yang secara tidak langsung telah menjadikan harga iPhone X sangat mahal. Sebelum ini Tim Cook telah pun menyatakan harga iPhone X sebagai ‘value price’.

CEO Apple katakan harga iPhone X adalah 'value price'
Kredit foto: Good Morning America.

Menurut beliau, harga tersebut merupakan nilai yang mencerminkan apa yang dimahukan oleh pengguna terhadap teknologi yang terdapat pada iPhone tersebut.

Maka untuk memilikinya, harga tersebut adalah nilai yang perlu dibayar oleh pengguna yang menginginkannya. Namun begitu secara peribadi, harga jualan iPhone X yang bermula dari RM5149.00 itu merupakan satu tanda harga yang terlampau tinggi.

Sebelum ini ramai yang menjangkakan harga iPhone X hanya dalam lingkungan RM4,000 ke RM4,500 sahaja. Tetapi setelah didedahkan secara rasmi harga tersebut, ramailah yang terkejut dengan tanda harga iPhone ini. Terdapat beberapa sebab utama yang menjadikan harga iPhone X ini terlampau mahal. Antara sebab utamanya adalah :-

  • Nilai matawang Ringgit yang rendah
Harga iPhone X Malaysia
Ringgit berbanding US Dollar setakat ini. Sumber dari Google.

Jika sebelum ini, nilai matawang Ringgit telah diikat dengan nilai matawang USD1.00 bersamaan dengan RM3.30. Tetapi selepas daripada krisis matawang dunia, nilai Ringgit telah menjadi semakin lemah sehingga pernah mencecah kepada RM4.50 bagi USD1.00. Nilai Ringgit yang lemah ini adalah antara penyebab kepada harga iPhone X dan barangan impot yang lain dijual lebih mahal di Malaysia.

  • Cukai 6% GST
Harga iPhone X Malaysia
Sumber dari Kastam Malaysia.

Sebelum ini, barang-barangan elektronik seperti komputer dan telefon pintar serta gadjet-gadjet elektronik lain tidak dikenakan cukai. Tetapi selepas perlaksanaan cukai GST sebanyak 6% pada 1 April 2015, ia menyebabkan kesemua barangan tersebut berlakunya kenaikan harga.

Inilah 2 penyebab utama kepada harga telefon pintar menjadi sedikit mahal berbanding sebelum ini. Mungkin ada lagi punca-punca lain kepada berlakunya kenaikan harga bagi peranti tersebut. Pakar ekonomi mungkin lebih tahu dan mahir tentang isu ini.

Jadi, sekadar cadangan kepada anda, sekiranya anda betul-betul mampu untuk membeli iPhone X ini, dipersilakan. Tetapi bagi rakyat marhaen seperti AriffMac ni, mungkin hanya mampu melihat sahaja orang-orang berkemampuan memilikinya atau mencubanya di kedai-kedai yang menjual iPhone X ini.

Produk Apple lain yang boleh dibeli pada harga iPhone X

Harga iPhone X bermula dari RM5,149 bagi kapasiti storan 64GB dan RM5,899 bagi storan 256GB. Jika diperhati, harga iPhone X lebih mahal berbanding sebahagian produk Apple yang lain. Sebagai contoh adalah harga iPhone X dengan komputer Mac. Berikut adalah perbandingan harga antara iPhone X dengan beberapa komputer meja Macintosh Apple.

Harga iPhone X Malaysia
Ini hanyalah sekadar gambaran perbandingan harga iPhone X dengan komputer Mac. Perbandingan penuh antara komputer Apple Macintosh pula boleh dibuat di laman web Apple.

Berikut adalah perbandingan harga dengan peranti iPad pula.

Harga iPhone X Malaysia
Perbandingan antara peranti iPad ini boleh dibuat di laman web Apple.

Alternatif kepada iPhone X

Selain iPhone X dan iPhone 8, Apple masih lagi menjual iPhone 7, 6s dan iPhone SE. Harga bagi iPhone-iPhone tersebut kini dijual bawah daripada RM3,000. Sebagai contoh iPhone 7 kini berharga dari RM2,749, iPhone 6s berharga dari RM2,249 dan iPhone SE pula berharga dari RM1,749. Kesemua iPhone ini boleh dinaik taraf kepada iOS 11 terbaru.

Harga iPhone X Malaysia
Anda juga masih lagi boleh membeli iPhone 5s dari penjual bertauliah Apple yang kini hanya berharga RM 1188 sahaja (selagi stok masih ada). iPhone 5s juga boleh dinaik taraf kepada iOS 11.

Kesimpulan

iPhone X sememangnya sebuah telefon pintar berkuasa yang dilengkapi dengan pelbagai ciri serta teknologi canggih. Malah ia   merupakan antara peranti premium tercanggih yang ada buat masa ini. Peranti ini semestinya akan dapat bertahan sehingga 10 tahun akan datang.

Namun begitu harganya yang ‘bapaklah mahal’ menjadikan ia hanya mampu dimiliki oleh sesetengah orang yang berkemampuan sahaja. iPhone 8 akan mula berada dipasaran Malaysia pada 20 Oktober ini. Manakala iPhone X pula masih belum tiada tarikh rasminya lagi. Harapnya tiadalah lagi cerita orang yang sanggup menjual organ dalamannya semata-mata mahu memliki iPhone X ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here