Mac Pro
Dikemaskini pada 18 Disember 2017.
Mac Pro adalah komputer meja paling berkuasa oleh Apple, tapi adakah anda patut membelinya sekarang?

Pada tahun 2013, Apple telah memperkenalkan Mac Pro terbaru yang mengalami perubahan desain paling radikal pernah Apple lakukan terhadap komputer meja mereka yang paling berkuasa pernah dihasilkan.

Ia merupakan Mac Pro generasi kedua selepas Mac Pro generasi pertama diperkenalkan pada pertengahan tahun 2006. Generasi pertama Mac Pro tidak mengalami sebarang perubahan desain sebaliknya ia meneruskan legasi rekaan yang digunakan terhadap Power Mac G5 sejak 2003.

Cuma Apple menukarkan sahaja namanya kepada Mac Pro setelah Apple mula berhijrah di mana Apple tidak lagi menggunakan cip pemprosesan Power PC G5 dari IBM (sebelum ini Power PC dibangunkan bersama Motorola) tetapi mula menggunakan cip pemprosesan dari Intel untuk kesemua kategori komputer Mac mereka.

Patut beli atau tidak: Mac Pro
Mac Pro generasi pertama masih menggunakan rekaan yang sama dengan Power Mac G5. Perubahan ketara adalah perubahan kepada penggunaan cip pemprosesan Intel serta sedikit perubahan antaramuka sambungan perantinya.

Mac Pro generasi ke 2

AriffMac terus sahaja ke Mac Pro generasi ke 2 kerana ia adalah Mac Pro yang masih dijual oleh Apple. Mac Pro ini yang mengalami rekaan besar terhadap desain luaran serta perkakasannya.

Ketika ia pertama kali diperkenalkan Apple pada pertengahan tahun 2013, ramai yang ternanti-nanti terutamanya para pengguna profesional serta peminatnya. Apple mengatakan, prestasi Mac Pro terbaru ini  2.5 kali lebih pantas dari Mac Pro sebelum ini dengan perkakasan berkuasanya.

Walaubagaimanapun, setelah ia berada di pasaran dan pengguna mula menggunakannya, ia telah dihentam teruk kerana Mac Pro terbaru itu tidak seperti mana yang diharapkan oleh para peminat serta pengguna profesional.

Patut beli atau tidak: Mac Pro
Pengguna tidak menyukai desain radikal Mac Pro yang menyukarkan mereka untuk menaik taraf komponennya. Kredit foto: Apple.

Isu yang paling utama yang dibangkitkan oleh pengguna tentang Mac Pro adalah kerana kesukaran mereka untuk menaik taraf perkakasan Mac Pro. Ini semuanya berpunca daripada desain radikal yang Apple lakukan terhadap Mac Pro tersebut.

Ia  tidak memberikan ruang yang luas kepada pengguna untuk menaik taraf perkakasannya untuk menjadikan ia lebih berkuasa. Tidak seperti Mac Pro generasi pertama yang boleh dinaik taraf dengan mudah, desain Mac Pro yang radikal telah menghadkan kebolehan pengguna untuk menaik taraf perkakasannya.

Ini telah menyebabkan ramai penggunanya berasa amat kecewa dengan Mac Pro tersebut.

Patut beli atau tidak: Mac Pro
Mac Pro mudah untuk dileraikan dan digantikan perkakasannya. Walaubagaimanapun keboleh upayaan untuk menaik taraf perkakasannya amatlah terhad.

Apple mengharapkan dengan desain terbaru Mac Pro ini ia akan dapat merevolusikan konsep gaya pusat kerja bersama Mac Pro.Tetapi malangnya konsep yang cuba diterapkan tidak berjaya.

Walaupun ia dilengkapi dengan antaramuka sambungan Thunderbolt 2 yang pantas, ia sebenarnya hanya menambahkan lagi masalah kepada pengguna yang terpaksa mendapatkan pula perkakasan tambahan bagi membolehkan antaramuka berbeza bagi pelbagai jenis peranti supaya dapat disambungkan bersama Mac Pro tersebut.

Patut beli atau tidak: Mac Pro
Harapan Apple menjadikan Mac Pro merevolusi konsep komputer berkuasa untuk pengguna profesional tidak berjaya.

Apple secara diam-diam sebenarnya mengakui dengan permasalahan desain Mac Pro mereka di mana Apple akhirnya menyedari desain Mac Pro tersebut telah menyukarkan penggunanya melakukan kerja-kerja mereka dengan lebih efektif dan fleksibel bersama Mac Pro.

Selepas Mac Pro diperkenalkan pada 2013, akhirnya Apple telah melakukan sedikit kemaskini terhadap perkakasannya pada April 2017 yang lalu.

Apple telah menaik taraf kuasa cip pemprosesannya kepada 6 core dan 8 core (sebelum ini hanya ada pilhan bermula dari 4 core dan 6 core sahaja). Namun begitu, ia masih lagi menggunakan cip pemprosesan yang sama iaitu Intel Xeon E5 Ivy Bridge yang telah digunakan sejak 2013 lagi.

Selain itu Apple turut menaik taraf kad grafik berkembarnya kepada AMD FireProD500 dan D700(sebelum ini AMD D300 dan D500). Manakala sambungan peranti yang ada pada Mac Pro tidak pula dinaik taraf.

Apple masih kekalkan antaramuka sambungan Thunderbolt 2 pada Mac Pro 2017 (walhal kesemua komputer Mac yang lain sudah mula menggunakan antaramuka sambungan peranti USB-C).

Jadi berbalik kepada isu utama semula, patutkah anda beli atau tidak Mac Pro yang ada sekarang?

Jangan beli…lagi

Seperti yang AriffMac katakan di awal tadi, desain Mac Pro tersebut adalah merupakan punca utama kepada kegagalan Mac Pro.

Malah pihak Apple sendiri mengakuinya. Kuasa cip pemprosesan yang digunakan juga juga masih lagi menggunakan cip pemprosesan yang sama ketika ia mula diperkenalkan pada 2013 yang lalu.

Jadi senang cerita teknologi yang digunakan pada Mac Pro tersebut sudah ketinggalan zaman jika hendak dibandingkan dengan cip pemprosesan terbaru Intel yang digunakan sekarang di semua komputer terbaru Apple.

Bukan setakat itu sahaja, kuasa kad grafik yang digunakan di Mac Pro juga sudah jauh ketinggalan dari segi keupayaannya.

Walaupun ia dilengkapi dengan kad grafik berkembar dari AMD, ia masih lagi menggunakan jenis kad grafik yang sama pada 2013. Malah kad grafik tersebut hanya mempunyai 3GB GDDR5 VRAM dan 6GB GDDR5 VRAM sahaja (setiap satu kad grafik).

Jadi jika dikira dari segi keupayaan kad grafik tersebut, ia adalah kecil untuk pengguna profesional yang memerlukan lebih kuasa grafik bagi penggunaan bersama perisian komputer yang lebih moden sekarang.

Mac Pro generasi ke 3

Selain itu, anda dinasihatkan supaya jangan beli lagi membeli Mac Pro yang ada sekarang kerana Apple telah pun mengumumkan pada April 2017 yang lalu di mana mereka sedang mengusahakan penambahbaikan terhadap Mac Pro.

Dengan kata lain, mereka bukan sekadar hendak menaik taraf perkakasannya tetapi juga menjanjikan desain Mac Pro yang baru dengan ciri-ciri yang lebih mesra untuk para pengguna profesional malah mudah bagi pihak Apple sendiri menaik taraf komponen perkakasan Mac Pro tersebut di masa hadapan.

AriffMac jangkakan Mac Pro terbaru atau Mac Pro generasi ke 3 ini mungkin akan diperkenalkan pada pertengahan 2018 nanti.

Nak juga beli…

Patut beli atau tidak: Mac Pro
Mac Pro juga lebih dikenali sebagai Trash Can (Tong Sampah) kerana desainnya menyerupai tong sampah.

Walaubagaimanapun, jika anda hendak juga membeli Mac Pro 2017 ini, pastikan anda memang banyak duit. Sebab harga jualan Mac Pro  bermula dari RM12,999.00.

Ia boleh mencecah sehingga RM30,799 bergantung kepada spesifikasi yang anda tetapkan untuk Mac Pro tersebut. Selain itu, ia sesuai untuk anda yang tidak kisahkan ketiadaan konfigurasi pilihan yang banyak (maksudnya syukur dengan apa yang ada).

Kesimpulannya

Sekiranya anda berminat untuk membeli Mac Pro ini, anda boleh membelinya menerusi laman web sah Apple ataupun dari penjual bertauliah Apple seperti Switch, Machines dan lain-lain. Info lanjut tentang Mac Pro boleh anda dapatkannya di laman web Apple Mac Pro.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here