Macbook pro

Dikemaskini pada Rabu, 18 Julai 2018.

Apple mengemaskini Macbook Pro model 2018 dengan perkakasan yang lebih berkuasa. Tetapi patutkah anda membelinya?

Macbook Pro 2018 merupakan model terkini komputer riba Apple yang menggunakan reka bentuk dari model sebelumnya yang telah diperkenalkan pada tahun 2016 lalu.

Apple baru sahaja menaik taraf perkakasannya di mana kini ia menggunakan cip pemprosesan pusat dan grafik yang lebih berkuasa, pilihan storan yang lebih besar dan lain-lain.

Berikut adalah kemaskini terhadap perkakasan utama Macbook Pro 13″ dan 15″ dengan panel Touch Bar 2018:-

Macbook Pro 15″

  • 6-core Intel Core i7 and Core i9 processors up to 2.9 GHz with Turbo Boost up to 4.8 GHz
  • Up to 32GB of DDR4 memory
  • Powerful Radeon Pro discrete graphics with 4GB of video memory in every configuration
  • Up to 4TB of SSD storage
  • True Tone display technology
  • Apple T2 Chip
  • Touch Bar and Touch ID
Macbook Pro 13″
  • Quad-core Intel Core i5 and i7 processors up to 2.7 GHz with Turbo Boost up to 4.5 GHz and double the eDRAM
  • Intel Iris Plus integrated graphics 655 with 128MB of eDRAM
  • Up to 2TB of SSD storage
  • True Tone display technology
  • Apple T2 Chip
  • Touch Bar and Touch ID

Walaupun Apple telah menaik taraf perkakasan MBP sekaligus menjadikannya MBP paling berkuasa yang pernah Apple hasilkan, persoalan utama yang masih sama dibangkitkan adalah, adakah anda patut membelinya?

Tetap Jangan Beli!

Pernyataan ini sebenarnya pendapat untuk memendekkan cerita, tapi nampak gayanya macam jadi panjang jugak ceritanya ni.

Ini kerana model MBP 2018 masih tetap menggunakan desain yang sama dan sekaligus membawa permasalahan sama yang dibawa daripada model Macbook Pro dengan Panel Touch Bar 2016.

Berikut adalah permasalahan Macbook Pro 2018.

  • Perkakasan yang mati di atas papan litar utama

Mati ni bukan maksudnya mati tak boleh jalan. Tapi mati di sini maksudnya anda tidak boleh menaik taraf perkakasannya kemudian hari.

Bermakna, spesifikasi Macbook Pro yang dibeli anda tidak boleh dilakukan modifikasi terhadap beberapa perkakasan utamanya seperti menaik taraf storan atau kapasiti RAM.

Perkakasan storan dan RAM MBP model ini semuanya dipateri mati di atas papan litar (logic board) MBP.

Pembeli hanya mempunyai pilihan sama ada membeli spesifikasi MBP yang ditetapkan atau menaik taraf spesifikasi perkakasan MBP tersebut ketika mahu membelinya yang hanya boleh dibuat menerusi laman web rasmi Apple sahaja.

  • Alat ganti yang jauh lebih mahal

Disebabkan kebanyakan komponen-komponen utama MBP ini seperti storan flash, kad grafik, Bluetooth, Wi-Fi, sensor-sensor sensitif seperti Touch ID serta lain-lain dipaterikan di atas papan litar MBP, jadi pengguna terpaksa menggantikan keseluruhan papan litar tersebut kepada yang baru sekiranya berlaku kerosakan, walau pada hanya salah satu komponen-komponen tersebut.

Sekaligus menjadikan kos pembaikan perkakasan MBP terkini ini lebih mahal.

  • Touch bar yang tak berguna

Selama AriffMac menggunakan MBP dengan Touch bar model 2016, rasanya tiada manfaat ketara yang dapat dipraktikkan daripada ciri yang ada pada Touch bar tersebut bersama aplikasi-aplikasi di macOS.

Sebaliknya mewujudkan lebih kepada masalah utama. Disebabkan panel Touch bar ini, ia menyebabkan butang papan kekunci yang penting iaitu butang fizikal esc (Escape) tiada lagi di papan kekunci MBP.

Akibatnya, sekiranya sesebuah aplikasi di MBP tergantung (hang), anda tidak boleh melakukan arahan Force Quit (Option+Command+Escape) seperti sebelum ini. Ini kerana panel Touch Bar tersebut terikat dengan aplikasi yang sedang digunakan.

force quit macOS

Apabila sesebuah aplikasi tersebut tergantung, panel Touch Bar itu juga akan tergantung. Sekaligus butang esc di Touch Bar juga tergantung. (Permasalahan ini ada dinyatakan oleh Apple di laman web mereka)

Jadi anda terpaksa mengaktifkan atau menggunakan aplikasi lain yang tidak tergantung bagi melakukan arahan Force Quit terhadap aplikasi tergantung tersebut.

Senang cerita, useless. Patutnya benda mudah sahaja, tetapi kini jadi susah.

  • Malang bagi anda yang malas buat backup

Disebabkan komponen perkakasan storan dipateri di atas papan litar MBP, adalah amat sukar (mustahil) untuk anda sendiri mendapatkan semula data-data di dalam MBP tersebut sekiranya berlaku kerosakan pada storan.

Anda terpaksa mendapatkan bantuan (dengan kos) daripada pusat servis bertauliah Apple bagi mendapatkan data-data penting yang ada di dalam storan MBP ini.

Itupun jika status data-data di dalam storan tersebut masih baik.

  • TrackPad dan papan kekunci ‘butterfly’

Rekaan MBP selepas model 2016 dilengkapi dengan TrackPad yang lebih besar. Ada yang suka dan ada pengguna yang tidak menyukai saiz trackpad tersebut. Secara peribadi, AriffMac selesa menggunakannya.

Bagi desain papan kekunci ‘butterfly pula tetap dengan masalah yang sama, menjengelkan. Perlukan masa bagi biasa menggunakannya.

Sungguhpun Apple menyatakan mereka telah memperbaiki rekaan papan kekunci dengan ‘butterfly’ generasi ke 3 yang kalis habuk, tetapi ia hanya setakat itu sahaja.

Ia bukanlah menambah baik rekaan tersebut, sebaliknya hanya menambahkan lapisan silikon nipis yang lebih berfungsi sekadar pelindungan tambahan terhadap habuk dan dikatakan akan menjadikannya lebih senyap ketika ditaip.

Bukan menyelesaikan masalah asas iaitu keselesaan menaip di atas papan kekunci tersebut.

Apple masih tetap dan mungkin akan terus menggunakan desain papan kekunci ini bagi tahun-tahun akan datang selagi rekaan MBP terbaru masih senipis ini.

Tiada lagi MagSafe 2

Tidak semua keputusan yang dibuat Apple itu cerdik, ada juga yang bodohnya. Itu yang berlaku apabila Apple mengambil keputusan tidak lagi menggunakan sambungan cas kuasa MagSafe 2 pada model MBP 2016 dan terkini.

Sambungan bagi mengecas MBP terbaru kini semuanya dibuat melalui sambungan USB-C baru yang diperkenalkan pada MBP 2016 dan ke atas.

Padahal, ciri MagSafe adalah salah satu inovasi terbaik yang pernah Apple hasilkan pada MBP.

magsafe
Magsafe telah banyak menyelamatkan Macbook Pro. Amat besar jasanya.

Ingatkan akan ada kemunculan Magsafe 3, sebaliknya dibuang terus Magsafe tersebut. Jadi, apabila tiada lagi MagSafe di Macbook Pro…awatlah bodoh piang sangat hang Apple ooiii!

  • Logo Apple tanpa nur…

Lagi satu keputusan bodoh yang Apple buat terhadap MBP 2016 adalah apabila mereka membuang logo bercahaya yang menjadi simbol ikonik bagi komputer riba mereka. Ini mungkin gara-gara bagi memenuhi rekaan nipis MBP terbaru.

macbook pro
Kini tiada lagi cahaya, semuanya kelam….
  • Hanya sambungan USB-C

Bermula dari model Macbook Pro 2016 dan terkini, Apple telah membuang sambungan-sambungan penting yang pernah ada pada model MBP 2015 iaitu sambungan peranti USB 3.0, Thunderbolt 2, HDMI, slot kad SDXC dan MagSafe 2.

Semua sambungan tersebut digantikan dengan sambungan jenis Thunderbolt 3 aka USB-C sahaja. Dari sambungan untuk pengecasan hinggalah ke sambungan peranti.

Ini menyebabkan pemilik MBP terkini terpaksa menambahkan lagi bajet bagi membeli aksesori tambahan untuk menyambungkan MBP dengan yang peranti lain.

Apple telah pun dikritik teruk akibat daripada tindakan tersebut sehinggakan ia telah memaksa Apple menurunkan harga aksesori sambungan peranti yang dijual mereka tidak lama selepas MBP 2016 diperkenalkan.

Harga aksesori-aksesori penting seperti kabel dan penyesuai sambungan peranti (adapter) yang dijual Apple pula bukanlah murah.

Pemilik MBP terpaksa melaburkan lebih daripada RM300.00 bagi membeli aksesori-aksesori tersebut (bergantung kepada keperluan).

  • Akibat terlalu nipis

Macbook Pro memang salah satu desain komputer riba terbaik yang pernah dihasilkan. Ia direka dengan sangat baik, nipis dan ringan sekaligus ia selesa dan mudah dibawa ke mana-mana.

MBP Spec
Spesifikasi saiz dan berat fizikal Macbook Pro 13″ 2018. Kredit: Apple

Walaubagaimanpun, apabila Apple menjadikannya terlalu nipis, Apple telah mengorbankan fleksibiliti terhadap perkakasan yang dapat memudahkan penggunanya melakukan modifikasi atau pembaikan perkakasan dengan lebih mudah dan murah.

Malah disebabkan desain yang nipis ini juga menyebabkan Macbook Pro tidak tahan panas. Ini terbukti hasil perkongsian oleh seorang vlogger Youtube yang bernama Dave Lee mendedahkan, hasil ujian spesifikasi MBP 15″ yang menggunakan cip pemprosesan Intel core i9 memproses lebih perlahan berbanding MBP 15″ yang menggunakan cip pemprosessan Intel core i7.

Ini berlaku secara automatik apabila suhu MBP 15″ dengan Intel core i9 meningkat panas ketika melakukan proses rendering video. MBP tersebut hanya memproses lebih laju berbanding MBP 15″ dengan Intel core i7 apabila ia diletakkan di dalam peti sejuk beku yang mana ia tidak praktikal langsung.

Malah beliau turut menyatakan bahawa MBP 15″ 2018 dengan Intel core i9 merupakan model paling panas beroperasi dan peratusan ia memproses kepada perlahan adalah lebih tinggi dari model yang pernah diujinya.

  • Terlalu mahal!

Pada pendapat anda, dengan harga MBP 13″ yang bermula dari RM5659.00 bagi model asas yang hanya dilengkapi dengan storan 128GB sahaja, murah ke mahal?

Manakala, harga Macbook Pro 15″ yang bermula dari RM9,999.00 pula yang akan melibatkan kos pembaikan yang tinggi sekiranya berlaku kerosakan, risiko kehilangan data, tidak boleh dimodifikasi perkakasan kemudiannya dan penambahan bajet bagi membeli aksesori yang sepatutnya tidak perlu dibeli, adakah anda rasa MBP terbaru ini berbaloi dibeli?

Kalau nak beli juga…

Walaupun anda sudah tahu permasalahan MBP terbaru ini daripada apa yang dibincangkan di atas, tetapi tetap juga mahu membelinya, ada beberapa nasihat yang ingin diberikan.

  1. Rajin buat backup - Pastikan anda selalu membuat salinan data terhadap Macbook Pro tersebut bagi mengelakkan risiko kehilangan data.
  2. Beli Apple Care - Membeli Apple Care ibarat membeli insurans perlindungan kepada MBP tersebut. Anda akan dapat memanjangkan hayat perlindungan MBP anda daripada setahun kepada 3 tahun. Jadi sekiranya berlaku sebarang masalah perkakasan atau perisian pada MBP tersebut, anda akan mudah mendapat servis pembaikan atau penggantian perkakasan secara percuma.
  3. Bajet tambahan - Sediakan bajet tambahan sekurang-kurangnya RM300.00 bagi membeli aksesori seperti kabel dan penyesuai (adapter) bagi membolehkan MBP anda disambungkan ke peranti lain (ikut keperluan).
  4. Beli MBP warna Space Grey - MBP berwarna Space Grey apabila digabungkan bersama mod gelap macOS Mojave boleh diibaratkan seperti pinang dibelah dua.
  5. Jangan beli MBP 13″ 2016 dan terkini - Tolong jangan beli, noktah.
  6. Tambahkan ilmu - Kepada anda yang mungkin mahu baru berjinak-jinak dengan Mac, sebelum apa-apa pun sebaiknya belajar dan fahami dulu ekosistem Mac. Jangan membeli kerana gaya, nafsu atau sebab dah terlampau banyak sangat duit. Memang ia duit anda tetapi jadilah Mac User yang bijak. Ini kerana ramai yang sudah membeli MBP dengan panel Touch bar ini, tetapi tak lama kemudian mereka menjualnya semula (terutamanya model MBP 13″ Touch Bar).

Kesimpulan…

Sebenarnya, niat memang dah nak tidur, tapi apabila Apple mengumumkan mereka menaik taraf Macbook Pro dengan perkakasan baru, harga yang masih tidak mampu milik bagi rakyat marhaen dan masih mengekalkan desain dengan ciri yang teruk, betul-betul buat aku rasa hampeh.

Namun begitu, Macbook Pro terbaru bukanlah seteruk disangka. Ia masih sebuah komputer riba yang dilengkapi dengan perkakasan terkini yang paling berkuasa pernah Apple hasilkan.

Cumanya, pantas dan berkuasa sahaja belum cukup menjadikannya sebagai MBP terbaik ataupun belum boleh dikategorikan sebagai komputer riba terbaik yang ada di pasaran sekarang (jika dilihat pada harganya).

Ditambahkan pula dengan harganya yang terlampau mahal, tidak mesra pengguna (merujuk kepada tidak boleh dimodifikasi perkakasan dan mesra sambungan peranti lain) serta tiada penambahbaikan oleh Apple bagi menangani isu-isu MBP yang dibangkitkan di awal tadi, menjadikannya ia masih tidak berbaloi dibeli.

Bagi mendapatkan info lanjut tentang Macbook Pro 2018, sila layari laman web Apple Malaysia.

Akhir kata, kalau ada yang nak belanja Macbook Pro baru ni, sila PM.

 

P/s: Macbook Pro 15″ Retina model pertengahan 2015 sudah tidak lagi dijual di laman web rasmi Apple. Tetapi anda mungkin masih boleh membelinya dari Pusat-pusat jualan sah Apple di seluruh Malaysia, itu pun kalau ada.

4 COMMENTS

  1. Nak tanya dan mohon pendapat Laptop jenama apakah yang lebih berbaloi yang mampu milik untuk menghasilkan kerja-kerja 3dimensi dan photoedit yang terbaik yang dapat menandingi macbook pro.

    • Klu kerja2 yg melibatkan 3D adalah yang paling baik elakkan guna laptop sebab ia libatkan kuasa pemprosesan yg tinggi. Tpi klu nak juga, bolehlah pakai Alienware, Acer, MSI dan banyak lagi. Kena lihat pd spec laptop. Klu banyak buat kerja2 yg libatkan high end visual process, pastikan laptop tu guna cip Intel core i7 dan ke atas (versi terbaru sekarang dh generasi ke-8), RAM 8GB ke atas, Storan jenis SSD berkapasiti 512GB dan ke atas serta dilengkapi dengan kad grafik berkuasa seperti NVIDIA 970M.

      Tapi semua ni berbalik kepada bajet, klu dapat laptop yg harga dlm lingkungan RM3000 dengan spec yg power, itu dh kira cukup baik. Kena banyak buat survey sampai puas hati, baru beli.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here