program penggantian bateri iphone 6s
Apple menawarkan kredit RM240 kepada pengguna iPhone yang telah membayar bagi menggantikan bateri peranti tersebut.

Berita baik untuk pengguna iPhone yang telah membayar kos  penggantian bateri iPhone mereka. Ini kerana Apple sedang melaksanakan program penawaran kredit sebanyak RM240 bagi pengguna iPhone 6 dan terbaru yang telah menggantikan bateri peranti tersebut dari tarikh antara 1 Januari 2017 hinggalah 28 Disember 2017.

Jadi, sekiranya anda pernah menggantikan bateri iPhone anda di pusat-pusat servis bertauliah Apple (AASP), Apple Store atau Apple Repair Center, anda secara automatik layak mendapatkan kredit RM240 tersebut.

Pembayaran kredit tersebut akan dibuat melalui pindahan dana elektronik atau kredit ke dalam kad kredit yang digunakan oleh pemilik iPhone ketika membuat bayaran khidmat penggantian bateri peranti tersebut.

Kepada pelanggan yang layak, mereka akan dihubungi oleh Apple melalui e-mel antara 23 Mei 2018 hingga 27 Julai 2018 beserta arahan bagaimana untuk mendapatkan kredit ini.

Walaubagaimanapun, jika anda tidak menerima sebarang pemberitahuan e-mel dari Apple menjelang 1 Ogos 2018, tetapi yakin yang anda layak untuk kredit ini, anda boleh hubungi pihak Apple menjelang 31 Disember 2018.

Sebaiknya juga anda membawa bersama bukti Perkhidmatan pembaikan bateri tersebut yang mungkin diperlukan.

Penggantian bateri iPhone yang masih di dalam jaminan adalah tidak layak untuk program penawaran kredit ini.

Pada awal tahun ini, pengguna iPhone telah digemparkan dengan isu Apple yang sengaja memperlahankan prestasi peranti iPhone terdahulu kerana berkait dengan isu bateri peranti tersebut.

Susulan daripada isu itu, Apple telah disaman oleh para penggunanya di seluruh dunia serta beberapa buah negara juga telah meminta Apple menjelaskan berkenaan dengan isu bateri iPhone ini.

Apple telah bertindak dengan menerangkan secara terperinci tentang prestasi iPhone dan baterinya. Berikutan isu itu juga, Apple telah mengambil keputusan menurunkan harga penggantian bagi bateri iPhone bermula 28 Disember 2017 lepas. Kini harga menggantikan bateri iPhone hanyalah berharga RM129.00 bagi kesemua model bermula dari iPhone 6 dan terbaru.

Harga tersebut hanya sah sehingga akhir tahun 2018 ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here