Gunakan penyesuai kuasa yang sepatutnya dengan Mac anda

Perubahan dan mitos Magsafe Power Adapter.

Setiap pembelian Mac yang baru, di dalam kotak Mac tersebut akan didatangkan bersama dengan penyesuai kuasa (power adapter) yang diperlukan untuk mengecas bateri yang ada di dalam Mac.

Penyesuai kuasa yang di datangkan adalah berbeza mengikut jenis Mac yang dijual. Buat masa ini belum pernah lagi wujud laporan daripada penjual atau pembeli Mac melaporkan kesilapan jenis penyesuai kuasa yang disertakan bersama Mac yang dibeli.

Namun begitu ada baiknya anda menyemak dahulu setiap pembelian Mac bagi memastikan barang yang sepatutnya ada di dalam kotak Mac tersebut, ada seperti mana yang dinyatakan.

Gunakan adapter yang sesuai dengan Mac anda

Ada yang bertanya, bolehkah MacBook Pro (MBP) menggunakan power adapter yang lebih kuat kuasa masukkannya untuk mengecas bateri MBP?

Mungkin ini ada kaitannya dengan mitos mengatakan jika menggunakan power adapter yang lebih kuat, bateri MBP akan lebih cepat penuh.

AriffMac tak dapat nak sahkan perkara tersebut sebab tak pernah cuba pun. Mungkin yang pernah cuba lebih tahu tentang mitos ini.

Walaubagaimanapun menurut kenyataan rasmi Apple, menggunakan power adapter yang lebih berkuasa ke atas MBP sebagai contoh, MBP 13” menggunakan power adapter dari MBP 15” sebagai pengecas, ia tidak akan memberikan kesan bahaya kepada MBP 13” atau power adapter tersebut.

Malah menurut Apple lagi, ia juga tidak pula akan mempercepatkan proses mengecas bateri MBP 13” tersebut. Begitu juga sebaliknya, power adapter MBP 13” boleh digunakan ke atas MBP 15”.

Cuma dikhuatiri kuasa masukkan yang diterima MBP 15” mungkin tidak cukup kuasanya. Jadi proses mengecas bateri MBP 15” tersebut akan menjadi lebih lama.

Bentuk “T” dan “L” Magsafe Power Adapter

Sejak Apple mula perkenalkan teknologi pengecas yang dikenali sebagai Magsafe Power Adapter pada Januari 2006, ia telah melalui beberapa perubahan dari segi rekaan dan kuasa mengecasnya.

Magsafe power adapter pertama kali diperkenalkan adalah bersama dengan pengenalan MacBook pada tahun 2006. Magsafe Power Adapter yang pertama rekaannya adalah berbentuk “T” dengan 2 jenis kuasa pengecas iaitu 60W dan 85W.

Magsafe Power Adapter 60W digunakan di MacBook 13” (2006), MacBook Aluminium 13” keluaran lewat 2008 dan MacBook Pro 13” dan 15” keluaran pertengahan 2009.

Manakala Magsafe Power Adapter 85W bentuk “T” pula digunakan di MacBook Pro 15” dan 17” dari tahun 2008 hinggalah 2009.

Gunakan adapter yang sesuai dengan Mac anda
Magsafe pertama kali digunakan di MacBook pada tahun2006

Pada tahun 2009, Magsafe Power Adapter  telah diubah rekaannya oleh Apple dan terdapat 3 jenis kuasa pengecas untuk barisan keluarga MacBook.

Kepala pengecas Magsafe Power Adapter 60W ditukar kepada bentuk “L” dan ia digunakan di MacBook 13” keluaran lewat 2009 sehingga MacBook Pro 13” keluaran pertengahan 2012.

Magsafe Power Adapter 85W bentuk “L” juga digunakan di MBP 15” dan 17” dari keluaran pertengahan 2010 sehingga pertengahan 2012.

Manakala Magsafe Power Adapter bentuk “L” kuasa 45W digunakan di MacBook Air 11” dan 13” dari tahun 2008 hingga keluaran pertengahan 2011. Untuk keluaran MacBook Air keluaran tahun 2008 dan 2009, terdapat peringatan khas daripada Apple.

Apple tidak mengesyorkan adapter yang didatangkan bersama MBA keluaran tahun tersebut digunakan bersama model MBA keluaran lewat 2010.

Pengguna dinasihatkan menggunakan adapter kuasa yang didatangkan bersama MBA model 2010 sahaja ataupun keluaran adapter terbaru.

Magsafe2

Pada tahun 2012, Apple telah menaik taraf Magsafe Power Adapter kepada generasi kedua atau lebih dikenali sebagai Magsafe2.

Rekaan MBP keluaran 2012 yang mengalami perubaah desain yang lebih nipis telah mempengaruhi rekaan Magsafe2. Ia menjadikannya lebih nipis bagi menyesuaikan penggunaannya bersama model MBP tersebut.

Manakala bentuk “T” digunakan semula untuk rekaan kepala pengecas Magsafe2. Magsafe2 berkuasa 45W, 60W dan 85W digunakan di MBP Retina model 13”, 15” dan MBA11” dan 13” dari keluaran pertengahan 2012 hinggalah keluaran pertengahan 2015.

Apple turut mengeluarkan converter khas bagi membolehkan Magsafe adapter versi pertama digunakan bersama dengan Mac baru yang menggunakan sambungan  Magsafe2.

Kemunculan USB Type C

Kemudiannya, pada tahun 2015, Apple tidak lagi menggunakan sambungan Magsafe2, tetapi mereka menggunakan sambungan yang dikenali sebagai USB-Type C / USB-C.Sambungan USB-C ini bukan sahaja untuk mengecas MacBook / Pro, tetapi juga sebagai sambungan yang akan menghubungkan kesemua jenis sambungan yang menggunakan antaramuka yang berbeza.

USB-C pertama kali diperkenal dan digunakan di MacBook 12”  keluaran 2015. Kemudian penggunaan USB-C ini diperluaskan ke MacBook Pro model 2016 dan 2017.

Apa yang menjadi masalahnya di sini adalah pengguna terpaksa (senang cerita Apple memaksa) membeli converter tambahan untuk membolehkan peranti lain disambungkan ke USB-C. Ini telah menyebabkan Apple dikritik teruk oleh pengguna Mac dan memaksa mereka menurunkan harga aksesori tersebut bagi menjaga hati para pengguna Mac (Hanya sementara waktu sahaja).

USB-C kini digunakan sepenuhnya di semua keluaran MacBook/Pro terbaru. Terdapat 3 jenis kuasa berbeza yang digunakan untuk penyesuai kuasa USB-C ini iaitu 29W digunakan di MacBook 12” model 2015 dan ke atas, 61W di MBP 13” model 2016 dan 2017 dan 87W bagi model MBP 15” keluaran 2016 dan 2017.

Gunakan penyesuai kuasa yang sepatutnya dengan Mac anda
Kini hampir kesemua barisan produk Mac terbaru Apple menggunakan sambungan USB-C.

Untuk adapter USB-C ini, Apple mengeluarkan panduan untuk penggunanya bagi memastikan kabel USB-C yang didatangkan bersama Mac adalah versi yang betul.

Sekiranya nombor siri yang terdapat pada kebel USB-C tersebut bermula dari 3 karektor ini iaitu C4M atau FL4, ini menunjukkan kabel USB-C tersebut adalah untuk penyesuai kuasa USB-C 29W.

Jika 3 karektor nombor siri bermula dari DLC atau CTC, kabel USB-C tersebut sepatutnya digunakan untuk penyesuai kuasa USB-C 61W atau 87W.

Manakala sekiranya anda dapati kabel USB-C yang anda gunakan hanya terdapat cetakan ”Designed by Apple in California. Assembled in China” sahaja, tanpa cetakan nombor siri, anda mungkin layak untuk program penukaran kabel yang telah dilaksanakan Apple sejak tahun lepas lagi.

Untuk maklumat lanjut tentang program penukaran tersebut, anda boleh layarinya di laman web Apple USB-C Charge Cable Replacement Program.

Bolehkah menggunakan adapter kuasa dari pihak ketiga (3rd party)?

Berkaitan dengan isu penggunaan adapter dari pihak ketiga untuk mengecas MacBook/Pro/Air, AriffMac tiada pengalaman menggunakan adapter 3rd party untuk MacBook / Pro /Air.

Apa yang AriffMac dapat simpulkan adalah sebaiknya anda menggunakan adapter yang original daripada Apple sahaja.

Harga Magsafe Power Adapter Apple memang agak mahal tapi jaminan kualiti adalah yang terbaik. Begitupun, pengguna seharusnya menjaga adapter tersebut dengan baik.

Antara tabiat negatif yang biasa dibuat oleh pemilik MacBook ialah mencampakkan kepala pengecas MacBook ke lantai. Ini akan menyebabkan kepala pengecas tersebut sangat mudah rosak.

Jadi patutkah anda menggunakan adapter dari pihak ketiga?

AriffMac sama sekali tidak syorkan sebab berlaku pada kawan sendiri dan kisah dari orang yang pernah menggunakan adapter pihak ketiga.

Menurut mereka memang harganya lebih murah tetapi dari segi ketahanan dan kesesuaian adapter tersebut digunakan bersama MacBook tidak seperti yang diharapkan.

Adapter pihak ketiga lebih mudah rosak dan kuasa mengecas tidak sama dengan penyesuai kuasa yang original.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here