persidangan Cyberjaya Startup Summit

Cyberjaya Startup Summit 2019 Bincang Pertumbuhan Ekosistem Syarikat Pemula Niaga di Malaysia

Berikutan kejayaan besar tahun pertama yang menarik minat lebih daripada 300 peserta dari industri syarikat pemula serantau, persidangan Cyberjaya Startup Summit (CSS) kembali dianjurkan buat kali yang kedua.

Dianjurkan bersama oleh syarikat pemaju utama Cyberjaya, Setia Haruman, dengan kerjasama MaGIC, Cyberview Sdn Bhd dan Malaysia Debt Ventures, persidangan kali ini dijalankan selama dua hari, iaitu 27 dan 28 Julai di The Launchpad, Cyberjaya.

Sidang kemuncak kali ini membincangkan pelbagai topik berkenaan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga di Malaysia menerusi sesi bengkel, panel interaktif dan sesi soal jawab di mana para pemula niaga diberi peluang untuk mempelajari pelbagai kaedah baru, termasuk cara merekrut bakat, mengumpul dana, membina rangkaian dengan rakan usahawan seindustri dan banyak lagi.

Panel diskusi (dari kiri) yang terdiri daripada Nik Muhammad Amin – Founder, MOOVBY , Mohamed Shukri – Business Development, Setia Haruman dan Richard Ker – Head of Innovation and Industry Development, Cyberview membicarakan tentang Smart Cities & Sustainable Development kepada hadirin.

Tema untuk tahun ini, “Build Stuff That Matters”, mengenengahkan pelbagai topik yang relevan untuk golongan pemula niaga di Malaysia, seperti konsep bandaraya pintar dan pembangunan mampan, fintech, analisis data raya (big data) dan Artificial Intelligence (AI), e-dagang, pemasaran digital, nanoteknologi, ekosistem pembiayaan dan inovasi korporat.

Dengan kehadiran pemimpin industri seperti Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar, Nizam Mohamed Nadzri, CEO Malaysia Debt Ventures, Melvin Poh, pengasas The Asian Entrepreneur dan ramai lagi, Cyberjaya Startup Summit 2019 (CSS 2019) telah menjadi titik penumpuan untuk peserta bertemu, berkenalan dan bertukar idea bersama rakan usahawan dan tetamu kehadiran yang bergiat aktif dalam kalangan komuniti syarikat pemula niaga atau ‘startup’.

Sesi soal jawab bersama hadirin.

Pemangku Ketua Pembangunan Strategik Setia Haruman, Ahmad Soalahuddin, menyatakan bahawa Setia Haruman berasa bangga untuk kembali menjadi rakan strategik untuk sidang kemuncak kali ini kerana ia selaras dengan reputasi dan posisi Cyberjaya selaku hab teknologi dan inovasi untuk syarikat pemula di Malaysia.

“Menerajui teknologi dan mendorong golongan usahawan teknologi muda menerusi penganjuran acara seperti Cyberjaya Startup Summit selama dua tahun berturut-turut memainkan peranan penting dalam membantu aspirasi Setia Haruman untuk merealisasikan Cyberjaya sebagai hab teknologi serantau,

“Sesuai dengan gelaran ‘Malaysia’s Capital of Creation’, Cyberjaya kini menjadi tempat pilihan kepada lebih daripada 429 syarikat pemula dan inkubator usahawan teknologi muda, dan beberapa nama besar di dalam industri syarikat pemula seperti Startup Tribe, CXS International dan Startfund juga kini berpangkalan di sini,” tambah Ahmad.

CSS 2019 menampilkan barisan speaker dan panelis yang cukup impresif dengan kehadiran tokoh dari syarikat pemula yang berjaya seperti Nik Muhammad Amin, pengasas Moovby, Mohd Izzairi Yamin, pengasas ZeptoExpress dan Christian Edelmann, Pengasas bersama DahMakan.

Satu lagi acara utama pada sidang tahun ini ialah majlis pelancaran StartFund, sebuah platfom yang berperanan menemukan golongan pengusaha syarikat pemula bersama pelabur dari Malaysia dan negara-negara jiran yang berhampiran. Majlis tersebut dihadiri oleh Siti Shafinaz Md Salim, Ketua Pembangunan Hab Teknologi Cyberview Sdn Bhd. 

Cyberjaya Startup Summit ialah sebuah sidang kemuncak yang berfokus penuh pada usahawan teknologi muda dan golongan pengusaha syarikat pemula di tanah air dan ia berperanan untuk memberi inspirasi dan membimbing golongan tersebut untuk mencapai kejayaan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here