SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati bahawa permintaan terhadap lebar jalur telah melonjak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana rakyat Malaysia kini kekal di rumah.

Peningkatan dalam penggunaan persidangan video, pembelajaran dan aktiviti membeli-belah melalui Internet pastinya menyumbang kepada peningkatan permintaan lebar jalur yang lebih tinggi.

Pematuhan terhadap PKP dengan sentiasa berada di rumah telah menyaksikan peningkatan sebanyak 23.5%1 dalam aliran trafik Internet di seluruh negara pada minggu pertama PKP, manakala minggu kedua PKP menyaksikan peningkatan sebanyak 8.6%.

Peningkatan kepada penggunaan data telah menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun.

Ini telah memberi kesan kepada pengalaman pengguna kerana tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk memuat turun sesuatu kandungan terutamanya perkhidmatan yang memerlukan lebar jalur tinggi seperti perkhidmatan penstriman video berdefinisi tinggi.

Menurut laporan Mobile Experience during the COVID-19 pandemic: 4G Download Speed yang dikeluarkan oleh Opensignal, kelajuan muat turun 4G Malaysia secara purata telah turun daripada 13.4 Megabit sesaat (Mbps) pada awal Februari kepada 8.8Mbps minggu lalu (23 hingga 29 Mac).

Berikutan peralihan perilaku pengguna, trend yang sama turut dirasai di seluruh dunia, yang mana pemberi perkhidmatan berhadapan dengan situasi peningkatan penggunaan lebar jalur yang tinggi yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Pihak pemberi perkhidmatan Internet dan telekomunikasi sedang bertungkus-lumus menambah kapasiti lebar jalur bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Industri telekomunikasi kini sedang memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), baru-baru ini. Ini termasuk aktiviti-aktiviti seperti:

  • Melaksanakan pengoptimuman rangkaian dan peningkatan kapasiti radio di kawasan yang mempunyai penggunaan yang tinggi;
  • Melaksanakan penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian untuk memenuhi permintaan lebar jalur yang meningkat di premis kediaman;
  • Menaik taraf sambungan “backhaul” tanpa wayar kepada sambungan gentian optik;
  • Meningkatkan kapasiti rangkaian utama domestik termasuk menyediakan infrastruktur gentian optik baharu, meningkatkan lebar jalur sambungtara dan menggunapakai kapasiti rizab;
  • Meningkatkan kapasiti rangkaian antarabangsa; dan
  • Menyediakan stesen pemancar mudah alih serta menyediakan akses Wi-Fi untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan trafik rangkaian di kawasan kritikal.

Dalam tempoh ini, MCMC dan pihak pemberi perkhidmatan sedang bekerjasama untuk memantau prestasi rangkaian dan memudahcara sebarang cabaran yang dihadapi oleh pemberi perkhidmatan dalam melaksanakan tugas mereka seperti membina infrastruktur tambahan serta menyelenggara tapak sedia ada termasuklah kelulusan daripada pihak berkuasa.

MCMC yakin bahawa kesalinghubungan digital yang berdaya tahan bakal menanti rakyat Malaysia apabila semua inisiatif yang dirancang oleh Kerajaan dilaksanakan dengan hasil sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya pihak industri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here