Review aplikasi AceThinker Video Master
Sebuah aplikasi berkuasa yang menyokong format fail video HEVC.

AriffMac sekali lagi diberi peluang untuk membuat review sebuah lagi aplikasi daripada AceThinker. Sebelum ini AriffMac pernah membuat beberapa review aplikasi dari syarikat tersebut seperti Screen Grabber Pro dan iPhone Screen Recorder. Kali ini AriffMac akan mereview pula sebuah lagi aplikasi yang cukup berkuasa untuk penggemar video iaitu Video Master.

Aplikasi AceThinker Video Master.

AceThinker Video Master merupakan sebuah aplikasi berkuasa yang membolehkan anda menukar format video, menggabungkan video dan memuat turun video-video kegemaran anda daripada pelbagai jenis laman web. Selepas mencuba aplikasi ini selama hampir seminggu, AriffMac dapat simpulkan yang ia merupakan sebuah aplikasi berkuasa yang mampu menukar format video anda dengan menggunakan pengkodan video terbaru iaitu HEVC aka H.265. Untuk aplikasi ini, AriffMac ingin fokuskan kepada ciri berkuasanya iaitu Converter.

Kelebihan utama aplikasi ini adalah ia mampu menukar video-video kepada pelbagai jenis format popular yang biasa digunakan seperti HD MP4, HD MTS, dan 4K. Malah ia juga turut mempunyai pengkodan video terbaru iaitu HEVC. AriffMac telah mencuba menukar saiz fail video yang menggunakan pengkodan H.264 kepada H.265. Amat jelas sekali hasil yang AriffMac dapat amat mengkagumkan. Fail video yang sebelum ini bersaiz 8.4MB, kini hanya bersaiz 280KB sahaja dengan masih mengekalkan kualiti visual video tersebut.

Review aplikasi AceThinker Video Master
Video Master juga mampu menukar format fail audio dan video mengikut peranti yang anda gunakan.

Selain menukar format video, aplikasi ini juga boleh menukarkan format fail audio kepada pelbagai jenis seperti FLAC, WAV, AIFF, DTS dan banyak lagi. Malah anda boleh menggabungkan fail-fail yang hendak diubah format failnya sekaligus kepada hanya satu format fail sahaja dengan mengaktifkan butang Merge videos into one file.

Review aplikasi AceThinker Video Master
Klik butang Merges video into one file untuk menggabungkan klip-klip video sekaligus.

Dipendekkan cerita, fungsi menukar format fail video dan audio oleh aplikasi Video Master ini amat berkuasa. Selain itu, aplikasi ini juga mempunyai ciri utama yang lain iaitu memuat turun video-video dari laman web dan mengimbas video dari laman web video popular seperti YouTube, Vimeo, Vube dan banyak lagi.

Review aplikasi AceThinker Video Master
Antara laman web video popular yang boleh anda muat turun videonya dari aplikasi Video master

Walaubagaimanapun…

Di bahagian Downloader pada aplikasi ini, AriffMac telah cuba berulang kali untuk memuat turun video dari beberapa laman web seperti YouTube dan Vimeo. Tetapi malangnya ia tidak berjaya. ia seolah-olah tidak berfungsi langsung. Alamat laman web video yang di salin dan ditampal pada Downloader tidak berfungsi. Bukanlah ia tidak boleh ditampal tapi proses muat turun video tidak berlaku.

Review aplikasi AceThinker Video Master
Proses muat turun tidak berlaku sama sekali walaupun berjam-jam menunggu.

Malah AriffMac turut hadapi masalah dengan ciri Detector apabila butang Video Detector (video akan diimbas secara automatik) diaktifkan.

Review aplikasi AceThinker Video Master

Apabila butang Video Detector diaktifkan, proses muat turun akan berlaku secara automatik di bahagian Downloader. Namun begitu, AriffMac tidak dapat mengawal kualiti video yang hendak dimuat turun. Malah video yang sama dimuat turun berulang kali tanpa henti. Seperti masih terdapat keabnormalan pada fungsi VideoDetector dan Downloader ini yang perlu diperbetulkan semula oleh AceThinker.

Review aplikasi AceThinker Video Master
Video yang sama dimuat turun berulang kali apabila butang Video Detector diaktifkan. Manakala URL video yang disalin dan ditampal secara manual masih tidak juga dimuat turun.

Kesimpulan

Setelah puas mencuba dan menguji sendiri aplikasi ini, AriffMac berpendapat, AceThinker perlu membetulkan semula fungsi muat turun video yang ada pada aplikasi Video Master ini. Fungsi tersebut masih caca merba diluar kawalan pengguna. Manakala ciri Converter aplikasi tersebut amat berkuasa dan berguna kepada para peminat video yang ingin menukar format video mereka kepada format yang pelbagai khususnya menggunakan pengkodan video HEVC. Anda boleh muat turun aplikasi ini untuk mencubanya secara percuma ataupun jika anda berminat, anda boleh terus membelinya dari laman web rasmi AceThinker yang berharga dari RM282.35 (lesen seumur hidup).

Aplikasi AceThinker Video Master ini boleh digunakan di platfom macOS dan Windows. Untuk info lebih lanjut, sila layari AceThinker Video Master .

Notis Pemberitahuan: AriffMac tidak dibayar untuk melakukan ulasan ini. AriffMac telah dilengkapi dengan kod promo untuk membolehkan ciri-ciri yang ada pada aplikasi tersebut digunakan sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here