Review aplikasi CleanMyMac 3
Sebelum ini ariffmac telah pun membuat review aplikasi Onyx bagi penyelenggaraan Mac anda. Selain Onyx terdapat sebuah lagi aplikasi yang popular dikalangan pemilik Mac bagi penyelenggaraan Mac iaitu CleanMyMac 3.
Aplikasi CleanMyMac 3 merupakan sebuah aplikasi yang berfungsi sebagai pembersih, mengoptimum dan monitor sistem Mac supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Fungsi dan ciri-ciri.
Dashboard
Antara ciri-ciri menarik CleanMyMac 3 ini adalah Dashboard. Ia akan memaparkan segala data yang ada di dalam storan anda. Jenis fail diasingkan mengikut warna. Untuk melihat fail-fail tersebut, anda hanya perlu klik 2 kali pada warna fail dan aplikasi CleanMyMac 3 akan terus membuka folder bagi himpunan jenis fail yang dipilih.
Selain itu anda juga boleh membersihkan ruang memori RAM Mac anda dengan klik pada butang Free Up.
Smart Cleanup
Bahagian ini adalah bagi memudahkan anda melakukan imbasan terhadap keseluruhan sistem Mac OSX anda.
Cleaning.
Bahagian ini membolehkan anda mengimbas satu-persatu bahagian tertentu. Terdapat 6 fungsi utama pada bahagian ini iaitu :-
System Junk - berfungsi mengimbas segala data dalam sistem operasi Mac dan akan mengasingkan fail dan data yang tidak digunakan atau rosak selepas diimbas. Kemudiannya kita boleh memilih fail data tersebut untuk dibuang ataupun tidak. Ini dapat menjimatkan ruang storan dan memulihkan sistem Mac supaya berfungsi dengan lebih baik.
Photo Junk - Antara ciri utamanya ialah mengecilkan saiz foto yang anda ambil. Ia akan menukarkan format raw foto tersebut kepada format yang lebih kecil tanpa menghilangkan kualiti foto anda.
Untuk melihat dengan lebih terperinci hasil imbasan, anda klik pada butang Review Details.
Mail Attachments dan iTunes Junk - CleanMyMac 3 akan mengimbas dan mengasingkan fail data yang tidak diperlukan untuk dibuang pada kedua-dua bahagian tersebut.
Large & Old Files - Bahagian ini pula akan mengimbas fail-fail audio, video dan installer yang mungkin anda pernah muat turun dan lama tidak digunakan.
Utilities.
Pada bahagian Utilities, terdapat 5 fungsi utama iaitu :-
Uninstaller - Bahagian ini membolehkan anda membuang aplikasi-aplikasi yang tidak digunakan lagi.
Maintenance - Bahagian ini membolehkan anda membaik pulih semula bahagian-bahagian utama sistem operasi Mac anda.
Privacy - Pada bahagian ini pula, CleanMyMac 3 akan memadam item perisian, dokumen yang pernah anda gunakan dan item-item (data cache) dari aplikasi pelayar web yang anda gunakan.
Extensions - Pada bahagian ini, ariffmac tidak menggalakkan anda untuk mengganggu bahagian ini. Ini kerana terdapat plugin-plugin penting yang digunakan oleh sistem Mac. Walaubagaimanapun, jika anda tahu selok belok sistem Mac anda, tidaklah mengapa.
Shredder - Bahagian ini pula, anda boleh memilih fail data sulit anda untuk dipadam dengan lebih yakin. Data yang anda buang menggunakan Shredder tidak akan dapat diperolehi semula.
Limitasi fungsi dan ciri-ciri bagi muat turun percuma
Antaramuka CleanMyMac memang menarik, tetapi disebabkan menarik itulah anda kena beli kalau nak dapatkan sepenuhnya segala fungsi serta ciri-ciri utama yang ada pada CleanMyMac 3 ini. Maksudnya, anda boleh memuat turunnya secara percuma. Menggunakannya tanpa ada had tarikh luput. Tetapi fungsi yang diberikan adalah terhad.
Sekiranya anda menggunakan secara percuma, terdapat beberapa ciri utama yang ada pada aplikasi CleanMyMac 3 ini tidak dapat anda gunakan seperti Reindex Spotlight.
Selain itu, jika anda ingin mengosongkan tong sampah (Trash) anda, data sampah tersebut mestilah tidak melebihi 500mb.
Kesimpulan
Walaupun anda menggunakannya secara percuma, anda masih dapat menggunakan banyak fungsi-fungsi utama yang ada pada CleanMyMac 3. Malah ia juga tidak menetapkan tempoh had masa penggunaan aplikasi tersebut. Anda boleh mendapatkan info yang lebih lanjut dan memuat turunnya secara percuma di http://macpaw.com/cleanmymac. Sekiranya anda pelajar, anda layak mendapat 30% diskaun bagi semua produk daripada macpaw.