
Aplikasi yang memudahkan pengguna melihat dan menganalisa apa yang terkandung di dalam storan Mac mereka.
AriffMac telah diberi peluang untuk membuat review terhadap sebuah aplikasi penganalisa storan Mac popular DaisyDisk.
Aplikasi ini dibangunkan oleh pembangun aplikasi bernama Oleg Krupnov dan direka oleh Taras Brizitsky dari syarikat Software Ambience Corp.

DaisyDisk adalah sebuah aplikasi yang bertujuan memberikan penggunanya melihat dengan lebih jelas serta menganalisa kandungan-kandungan yang terdapat di dalam storan Mac mereka.
Paparan visual menarik
Ia juga dapat mengesan dan mendedahkan ruang storan tersembunyi yang masih ada, memadam fail dan menyingkir ruang. Sekaligus membolehkan pengguna mengakses dan menggunakan sepenuhnya kapasiti storan Mac mereka.

Selepas selesai imbasan dibuat, DaisyDisk akan memaparkan senarai fail yang terdapat di dalam storan Mac dalam bentuk carta mengikut kategori warna tertentu yang dikenali sebagai Sunburst map.
Dan jika anda menghala tetikus ke warna-warna tersebut, ia akan memaparkan kandungan yang ada dalam fail tersebut.
Mengakses storan Mac dengan lebih dalam
Tidak setakat itu, anda boleh mengakses dan melihat kandungan dalam sesebuah fail dengan lebih terperinci apabila anda klik pada warna carta yang mewakili fail tersebut.
Sebagai contoh, apabila anda membuang sesebuah aplikasi dari Mac, mungkin masih terdapat lagi baki fail aplikasi tersebut yang tidak dibuang dari macOS.
Jadi dengan imbasan terhadap storan Mac oleh aplikasi DaisyDisk, anda boleh melihat dan mengakses baki fail tersembunyi aplikasi tersebut dan membuangnya dari storan Mac anda.

Ciri-ciri lain…
Selain daripada memaparkan fail-fail yang ada di dalam macOS, DaisyDisk juga bertindak sebagai pembuang aplikasi. Anda hanya perlu menarik masuk aplikasi yang mahu dibuang ke bahagian bawah kiri aplikasi ini (Drag and drop files here to collect them).

Kesimpulan
Secara keseluruhan, aplikasi DaisyDisk adalah aplikasi alternatif terbaik untuk pengguna Mac melihat dan mengakses dengan lebih dalam fail-fail yang ada di dalam storan Mac.
Paparan visual storan oleh DaisyDisk juga adalah lebih menarik dan terperinci berbanding paparan info storan yang diberikan oleh macOS.
Malah ia juga dilengkapi ciri-ciri menarik yang lain seperti mengimbas storan luar (termasuk storan yang dijadikan storan backup menggunakan Time Machine), preview kandungan fail, membuang aplikasi dan menyingkirkan ruang storan bebas yang ada (purgeable space).

Aplikasi ini amat sesuai bagi mereka yang rajin meniliti kandungan storan Mac serta yang mahukan lebih akses lagi terhadap storan Mac mereka.
Aplikasi DaisyDisk boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma oleh anda tetapi dengan limitasi penggunaan ciri-ciri utama yang ada pada aplikasi ini.
Untuk menggunakan sepenuhnya ciri aplikasi DaisyDisk, anda boleh membelinya yang berharga RM39.90 dari Mac App Store atau terus dari laman web rasmi DaisyDisk App. (Ada perbezaan aplikasi DaisyDisk yang dibeli dari Mac App Store dengan yang dibeli terus dari laman web pembangun aplikasi ini).
Atau anda boleh membeli aplikasi DaisyDisk dengan kupon diskaun 50% sekiranya anda adalah seorang pelajar.
Info lanjut tentang aplikasi ini boleh didapati di laman manual DaisyDisk.
P/s: DaisyDisk turut memaparkan saiz storan yang telah anda bersihkan di bahagian About DaisyDisk yang boleh diposkan ke Twitter. Dan apabila anda ciap di Twitter, ia akan memberikan fakta yang menarik dalam ciapan akaun Twitter tersebut.
Notis Pemberitahuan: AriffMac tidak dibayar untuk melakukan ulasan ini. AriffMac telah dilengkapi dengan kod promo oleh pembangun aplikasi ini untuk membolehkan ciri-ciri yang ada pada aplikasi tersebut digunakan sepenuhnya.