Buang pelbagai jenis duplikasi fail dengan aplikasi Gemini2.
Baru-baru ini AriffMac dihubungi oleh MacPaw, iaitu sebuah syarikat pembangun aplikasi popular untuk Mac dan PC yang berpangkalan di United States, Amerika. AriffMac diminta untuk membuat review bagi 2 buah aplikasi popular mereka iaitu Gemini2 dan Hider2. Buat masa ini, AriffMac hanya sempat untuk menulis review bagi aplikasi Gemini2 dahulu.
Gemini2.
Aplikasi Gemini2 merupakan sebuah aplikasi yang membantu anda mengimbas fail-fail yang punyai duplikasi bertindan. Biasanya pengguna memang tidak sedar fail-fail tersebut mungkin telah ada di dalam komputer mereka yang menyebabkan fail-fail yang sama disimpan sehingga bertindan-tindan. Ini merupakan antara penyebab kepada berlakunya pembaziran ruang storan di dalam komputer pengguna.
Jadi dengan adanya aplikasi Gemini2 ini, anda dengan mudah dapat mengimbas fail-fail dalam Mac anda bagi mengenalpasti fail-fail bertindan tersebut.
Cara penggunaan.
Antaramuka Gemini amatlah ringkas. Anda hanya perlu pilih folder-folder yang anda ingin imbas ke dalam aplikasi Gemini2.
Anda boleh memasukkan seberapa banyak folder yang hendak diimbas ke dalam Gemini2. Atau anda juga boleh membuang folder yang tidak ingin diimbas walau selepas dimasukkan ke dalam aplikasi tersebut.
Selepas selesai diimbas, anda boleh memilih sama ada mahu melihat dulu fail-fail yang telah diimbas tadi sebelum membuangnya. Ataupun terus klik sahaja butang Smart Cleanup untuk mula membuang fail-fail bertindan yang dijumpai oleh aplikasi tersebut.
Jika anda klik pada butang Review Results, anda akan dapat lihat terlebih dulu fail-fail bertindan yang berjaya dijumpai oleh Gemini2. Selain itu anda juga boleh memilih fail-fail bertindan tersebut dan membuangnya secara manual.
Selepas anda membuang fail bertindan yang dikehendaki, fail-fail yang dibuang tadi akan dibuang ke dalam Trash. Jadi jika anda ingin melihat kembali fail-fail yang telah dibuang tadi, bolehlah anda klik pada butang Review Trashed. Di sini anda juga boleh memasukkan semula fail yang dibuang ke dalam folder asalnya (jika anda terbuang fail yang salah). Jadi anda tidak perlu bimbang sekiranya anda salah memlih fail.
Selain daripada itu, AriffMac juga dapati terdapat ciri menarik yang ada pada aplikasi Gemini2 ini yang menjadikan ia seolah-olah sebuah permainan yang menyeronokkan. Setiap kali anda menggunakan aplikasi ini, anda akan mendapat mata yang akan menaikkan kedudukan (ranking) anda dalam aplikasi tersebut.
Kesimpulan
Setelah beberapa hari mencuba dan menggunakan aplikasi Gemini2 ini, AriffMac dapat simpulkan yang ia adalah sebuah aplikasi pencari fail bertindan terbaik yang ada. Antaramuka yang ringkas dan mudah digunakan serta kemampuannya mencari fail-fail tersembunyi sehingga ke akar umbi (yang mungkin anda sendiri tidak sedar fail atau folder tersebut wujud) menjadikan Gemini2 sebuah aplikasi pengimbas fail duplikasi terbaik yang AriffMac pernah cuba.
Aplikasi Gemini2 hanya ada untuk platfom Mac sahaja dan anda boleh membelinya di laman web rasmi MacPaw pada harga RM93.30 atau dari Mac App Store pada harga RM79.90.
Notis Pemberitahuan: ariffmac.com tidak dibayar untuk melakukan ulasan ini. ariffmac.com telah dilengkapi dengan kod promo untuk membolehkan ciri-ciri yang ada pada aplikasi tersebut digunakan sepenuhnya.

