
Sunting, masukkan efek dan muat naik foto-foto anda ke Instagram dari komputer dengan menggunakan aplikasi Gramblr.
Sebelum ini telah dikongsikan cara memuat naik foto ke Instagram menerusi aplikasi pelayar web dan juga aplikasi Uplet.
Walaubagaimanapun, kedua-dua cara tersebut terdapat limitasi terhadap kreativiti pengguna di mana gambar-gambar yang dimuat naik dengan cara tersebut tidak boleh disunting atau dimasukkan efek.
Maka bagi pengguna tegar Instagram, anda pastinya perlukan aplikasi yang dapat memberikan keupayaan sepertimana aplikasi Instagram yang terdapat pada peranti pintar anda.
Oleh itu penyelesaian kepada masalah tersebut adalah dengan menggunakan aplikasi Gramblr.
Aplikasi Gramblr
Gramblr adalah sebuah aplikasi untuk komputer yang membolehkan anda untuk memuat naik gambar atau video ke Instagram. Apa yang menariknya aplikasi ini adalah ia mempunyai ciri-ciri yang sama dengan aplikasi Instagram pada telefon pintar.
Jadi dengan menggunakan aplikasi ini, anda tidak lagi perlu mengharapkan peranti pintar anda untuk memuat naik foto-foto ke Instagram.
Cara penggunaan
Aplikasi Gramblr boleh digunakan bersama sistem operasi komputer Windows dan macOS. Anda boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma terus dari laman web pembangunnya, Gramblr.com.
Apabila anda mengaktifkan aplikasi ini, ia akan dibuka pada aplikasi pelayar web yang anda gunakan. Seterusnya anda akan diminta untuk mendaftar terlebih dulu sebelum dapat menggunakannya.

Antaramuka
Secara ringkasnya, terdapat 4 langkah utama untuk anda memuat naik foto ke Instagram dari aplikasi ini.
- Select your Media.
Bermula dengan memilih media yang anda mahu muat naik ke Instagram, anda boleh terus menarik masuk sahaja foto atau video ke dalam ruang kotak yang disediakan.
2. Crop any Shape
Apabila foto dimasukkan, ia secara automatik akan menetapkan saiz foto tersebut. Tetapi anda juga boleh menentukan saiz foto anda sendiri dengan klik pada butang Any.
Selepas itu, klik butang Save berwarna hijau.
3. Apply Some Filters
Seterusnya di sinilah untuk anda memasukkan efek-efek untuk foto anda tadi. Anda hanya perlu klik butang Filters berwarna biru dan senarai efek tersebut akan keluar.
Terdapat lebih daripada 50 efek yang boleh dipilih untuk digunakan pada foto anda.

Selepas itu, klik butang Continue berwarna Hijau.
4. Write a Caption and Send
Akhir sekali adalah anda masukkan teks kapsyen untuk foto tersebut.

Selesai memasukkan kapsyen, tag foto dan tetapan di sini, bolehlah anda klik butang Send berwarna hijau untuk memuat naik foto tersebut ke akaun Instagram anda.
Selesai.
Kesimpulan
Aplikasi Gramblr adalah aplikasi khusus untuk memuat naik foto atau video ke laman Instagram sahaja. Ia bukanlah untuk pengguna melihat gambar-gambar dan video dari pengguna Instagram yang lain menerusi aplikasi ini.
Selepas mencuba aplikasi Gramblr ini dapat disimpulkan bahawa ia adalah alternatif untuk pengguna tegar Instagram memuat naik gambar dan video mereka terus dari komputer.
Dilengkapi dengan ciri suntingan foto dan efek serta boleh digunakan secara percuma adalah kelebihan utama aplikasi ini. Cuma kelemahannya adalah pengguna tidak boleh memuat naik lebih daripada satu foto pada satu-satu masa.
Sebenarnya terdapat beberapa lagi ciri lain yang ada pada aplikasi ini seperti History, Ratings, mendapat tanda Like percuma dan sokongan kapsyen dalam pelbagai jenis bahasa dan aksara.
Gramblr boleh digunakan pada macOS dari versi 10.6 dan terbaru serta dari versi Windows XP,Vista,7,8,8.1 dan 10.
Info lanjut aplikasi ini boleh di dapati di laman web Gramblr.com.
Selamat mencuba.
P/s: Anda mungkin perlu klik butang Open Anyway di bahagian Security & Privacy di dalam System Preferences bagi membolehkan aplikasi ini digunakan dalam macOS.
Manakala untuk pos foto ke Instagram secara berjadual, anda perlu menjalankan Updater yang didatangkan sekali bersama Installer Gramblr.