
Sebuah aplikasi suntingan video percuma terbaru dari Digiarty Software, Inc.
Digiarty sememangnya sebuah syarikat pembangun aplikasi popular yang terkenal dengan aplikasi-aplikasi seperti MacX Video Converter Pro, MacX MediaTrans dan lain-lain.
Dipendekkan cerita, syarikat ini memfokuskan pembangunan aplikasi yang berkait dengan penukaran dan pemisahan format fail video atau audio bagi komputer Macintosh.
Kini terdapat sebuah aplikasi terbaru yang telah dibangunkan mereka bagi pengguna Mac iaitu aplikasi MacXvideo yang merupakan sebuah aplikasi suntingan audio dan video percuma yang menyokong penyuntingan video 4K Ultra HD, dibangunkan khusus untuk Mac.
Cara penggunaan
Apabila aplikasi ini pertama kali diaktifkan, sebuah kotak dialog akan keluar yang meminta penggunanya mendaftar terlebih dahulu. Tetapi anda boleh sahaja langkau langkah ini dan terus menggunakan aplikasi ini secara percuma sepenuhnya.

Seterusnya, setelah selesai di situ anda sudah boleh mula memasukkan video atau audio yang ingin disunting.

Sebelum itu, ada baiknya anda berikan sebentar perhatian terhadap tetapan yang terdapat pada antaramuka aplikasi ini. Contohnya tetapan pada bahagian Hardware accelerate engine dan tetapan bagi lokasi penyimpanan video yang siap disunting (Output Folder).
Untuk pengetahuan anda, aplikasi ini menyokong video-video hampir dari pelbagai jenis peranti. Tanpa mengira peranti, jenis pengkodan video, format video mahupun resolusi dari terendah hinggalah setinggi 8K,aplikasi MacXvideo ini mampu membaca fail video tersebut.
Selepas memasukkan video ke aplikasi ini, anda bolehlah menyunting video tersebut dengan klik pada mana-mana 5 bahagian utama ciri suntingan yang disediakan iaitu Cut, Crop, Subtitle, Effect atau Rotate.

5 ciri tersebut merupakan fungsi utama yang boleh anda gunakan bagi menyunting video dan audio, memasukkan kesan khas visual, teks alih bahasa dan memotong saiz bingkai video.

Walaubagaimanapun…
Sungguhpun MacXvideo adalah sebuah aplikasi ringan dan ringkas, tetapi antaramukanya dan memahami cara mengoperasikan aplikasi ini mungkin akan sedikit memeningkan penggunanya.
Ini kerana, bahagian antaramuka suntingan videonya (CUT) agak mengelirukan. Sebagai contoh, anda boleh membuat potongan terhadap sesebuah video sebanyak mana yang anda mahu. Seolah-olah ia menyokong suntingan lapisan berlapis (multilayer). Tetapi sebenarnya, ia hanya menyokong suntingan lapisan video tunggal sahaja.

Malah, efek yang dimasukkan ke dalam setiap klip video yang disunting akan terpakai pada semua klip. Anda tidak boleh menetapkan efek berbeza pada setiap klip-klip tersebut.
Juga, apabila anda mengekspot fail video yang telah disunting tadi dengan beberapa klip berbeza (contoh - Clip 1, Clip 2, Clip 3), kesemua klip tersebut akan diekspot ke dalam satu fail yang sama, menjadikannya satu video lengkap. Bukan fail video berbeza mengikut turutan klip tersebut.
Kelemahan lainnya lagi adalah saiz paparan antaramuka aplikasi ini tidak boleh dibesarkan atau dikecilkan. Tiada mod skrin penuh disediakan.
Kelebihan
Kelebihan utama aplikasi ini adalah ia mampu mengekspot atau menukar format sesebuah video dalam pelbagai kualiti. Anda dengan mudah boleh memilih pilihan kualiti video yang dimahukan mengikut jenis peranti dengan klik pada ikon-ikon yang terletak di bahagian bawah aplikasi ini.

Manakala, sekiranya anda mahu melakukan perubahan terhadap tetapan kualiti video tersebut, anda boleh klik pada butang Codec.

Di sini anda bolehlah melakukan beberapa perubahan terhadap tetapan kualiti video dan audio.

Kesimpulan…
Secara keseluruhannya, aplikasi MacXvideo adalah sebuah aplikasi suntingan video dan audio asas yang memerlukan sedikit ketekunan dari anda bagi memahami cara mengoperasikannya.
Memang terdapat beberapa kelemahan utama terutamanya pada bahagian cara menyunting video di aplikasi ini jika hendak dibandingkan dengan aplikasi suntingan video percuma yang lain.
Tetapi, anda mungkin ingin mencubanya dan manalah nak tahu kot-kot berkenan dihati. Lagi pun saiz aplikasi ini juga amat kecil iaitu hanya bersaiz 76MB sahaja.
Aplikasi MacXvideo ini boleh dimuat turun terus dari laman macxdvd.com. Selamat mencuba.
P/s: Anda mungkin ingin mencuba aplikasi suntingan video percuma yang lain seperti Da Vinci Resolve 14, Final Cut Pro X (Percuma 30 hari), Media 100 atau Avid Media Composer First.






















