SalamWeb page

SalamWeb adalah aplikasi pelayar sesawang patuh syariah pertama di dunia.

Sebuah aplikasi pelayar web terbaru telah pun dilancarkan baru-baru ini. Aplikasi pelayar web ini menarik perhatian AriffMac kerana ia merupakan sebuah pelayar web pertama yang disahkan sebagai pelayar web patuh syariah pertama di dunia.

SalamWeb  

Aplikasi SalamWeb dibangunkan oleh Salam Web Technologies DMCC, syarikat yang didaftarkan di Jumeirah Lakes Towers, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tetapi, mereka juga turut miliki Kumpulan syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur Malaysia, Salam Web Technologies MY Sdn. Bhd. 

Pelayar web patuh syariah pertama di dunia

Pembangun aplikasi ini menyatakan bahawa SalamWeb adalah aplikasi pelayar web patuh syariah pertama di dunia. 

Ia telah mendapat pengesahan daripada organisasi Pengarah Urusan Syariah Amanie yang terdiri daripada 4 individu bertauliah dari 4 buah negara.

4 Individu yang dimaksudkan adalah :-

  1. Dr. Mohamed Ali Elgari – Profesor ekonomi Islam dan merupakan bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi Islam Universiti Raja Abdul Aziz, Arab Sudi.
  2. Dr. Muhammad Amin Ali Qattan – Pengarah Unit Ekonomi Islam, Pusat Kecemerlangan dalam Pengurusan, Universiti Kuwait.
  3. Dr. Mohd Daud Bakar – Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia. Beliau juga merupakan Pengerusi Amanie Group.
  4. Dr. Osama Al Dereai – Sarjana Syariah dari Qatar.

Malah tidak setakat itu, SalamWeb juga turut mematuhi dan mendapat sokongan dari pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ekonomi Digital Islam (Mi’yar).

Kelebihan SalamWeb

SalamWeb dibangunkan berasaskan Chromium, iaitu sebuah projek pelayar web sumber terbuka yang bertujuan untuk membina aplikasi yang lebih selamat, lebih pantas dan lebih stabil untuk semua pengguna melayari laman sesawang.

ikon google chrome
Aplikasi pelayar web Google Chrome dan sistem operasi komputer Google Chrome OS juga dibangunkan berasaskan Chromium.

Jadi, apabila anda memuat turun dan menggunakan aplikasi SalamWeb, tidak menghairankan jika anda dapati rekaan antaramuka pelayar web ini amat menyerupai pelayar web popular Google Chrome versi terdahulu.

Pembangunan aplikasi SalamWeb yang menggunakan platfom yang sama dengan pelayar web yang popular itu juga secara tidak langsung membolehkan SalamWeb mendapat manfaat sama, yang ada pada Google Chrome iaitu selamat, pantas dan diyakini.

SalamWeb Protect
Apabila anda cuba memasuki sesebuah laman sesawang, SalamWeb akan mengimbas laman sesawang itu terlebih dahulu. Jika ia didapati tidak selamat, ciri keselamatan SalamProtect akan menghalang laman tersebut dari dibuka. Tetapi jika anda mahu juga melayari ke dalam laman tersebut, anda boleh menyahaktifkan SalamProtect dan SalamWeb secara automatik akan mengaktifkan tetingkap Incognito

Ciri-ciri tambahan

Bagi membezakan dan memberi nilai tambah kepada SalamWeb sebagai sebuah aplikasi yang islamik, pembangun aplikasi ini telah memuatkan beberapa ciri tambahan menarik khususnya kepada pengguna beragama Islam.

Antara ciri-ciri menarik pelayar web ini adalah ia dilengkapi dengan waktu solat terbina dalam yang boleh ditukar metod pengiraan mengikut tetapan yang ditetapkan oleh badan bertanggungjawab.

Waktu solat SalamWeb

Ia juga dilengkapi dengan panduan arah kiblat berdasarkan lokasi (untuk peranti pintar mudah alih) serta pautan Sadaqah yang akan membawa pengguna ke laman projek sumbangan amal.

SalamWeb Sadaqah Beta
Laman Sadaqah ini membolehkan sesiapa sahaja memberikan sumbangan amal terhadap pelaksanaan projek-projek amal yang dijalankan di dalam mahupun luar negara. 

Selain itu, pembangun aplikasi ini juga turut memuatkan ciri sembang sosial yang dipanggil SalamChat dan himpunan berita dari pelbagai sumber mengikut kategori di SalamNews.

SalamWeb servis
Masih ada dua lagi ciri tambahan yang sedang dibangunkan untuk SalamWeb.

Lain-lain…

Selain daripada ciri-ciri utama tersebut, SalamWeb juga dilengkapi dengan paparan suhu semasa berdasarkan lokasi pengguna, peta keadaan trafik jalan raya menggunakan platfom Waze serta kata-kata mutiara dan petikan-petikan pendek ayat Al-Quran yang diterjemah ke bahasa Inggeris.

SalamWeb Qibla
Arah kiblat terbina dalam pelayar SalamWeb yang boleh diguna di atas peranti pintar iOS atau Android. 

Dengan adanya ciri-ciri istimewa yang dinyatakan di atas, ia memang memberikan sedikit kelainan berbanding aplikasi pelayar web popular yang lain, tapi…

Kelemahan

Terdapat beberapa kelemahan dari segi kestabilan sokongan ciri-ciri yang ada pada sistem operasi komputer, khususnya macOS.

Antara kelemahan yang sering mengganggu kelancaran SalamWeb apabila ia diguna bersama macOS adalah sokongan terhadap mod skrin penuh.

  • Mod skrin penuh

Ini kerana, apabila mod skrin penuh diaktifkan, tab bagi setiap laman sesawang yang sedang aktif tidak dipaparkan. Walaupun tetapan untuk paparan tab tersebut telah diaktifkan untuk mod skrin penuh.

Jadi adalah amat sukar untuk pengguna beralih ke laman sesawang lain tanpa dapat melihat tab-tab yang sedang aktif apabila berada di dalam mod skrin penuh.

Penyelesaian kepada masalah tersebut adalah pengguna perlu menggunakan pintasan papan kekunci (Command+alt+arrow) bagi beralih kepada tab yang lain.

  • Tidak konsisten

Selain masalah mod skrin penuh, konsistensi terhadap kawalan tab bagi pengguna mengeluarkan atau memasukkan tab dari satu tetingkap ke tetingkap yang lain juga tidak menentu.

Adakalanya mudah, adalakanya sukar. Jadi, agak menjengkelkan.

  • Antaramuka Chrome terdahulu

Antaramuka SalamWeb yang amat menyerupai Goggle Chrome versi terdahulu juga sebenarnya agak menggangu. Tak tahulah pada anda, tapi pada pendapat AriffMac, ia sedikit tak berapa nak ‘canggih’.

  • Panel tepi ni serius mengganggu

Pada antaramuka SalamWeb, terdapat panel pintasan ke ciri-ciri utama SalamWeb, tetapan keselamatan, carian, dan history.

Cuma yang lecehnya adalah panel tepi ini tidak boleh ditutup atau disimpan. Jadi, ia sentiasa berada ditepi kiri anda apabila sedang menggunakan aplikasi ini.

Jadi, ia memang sangat menggangu terutamanya apabila anda sedang menonton video YouTube atau lain-lain.

SalamWeb Panel tepi
Team SalamWeb, panel tepi ni mengganggu keselesaan pengguna. Sebaiknya sediakan tetapan bagi pengguna lebih kawalan terhadap paparan panel tersebut.

Selepas seminggu menggunakan SalamWeb

Secara peribadi, SalamWeb adalah aplikasi berniat baik bertujuan menyedarkan penggunanya dalam seronok melayari internet, jangan sehingga leka tanggungjawab kita terhadap agama dan saudara islam keseluruhannya.

Kekurangan-kekurangan yang ada pada aplikasi ini pula amat difahami kerana SalamWeb masih lagi muda usianya. Baru versi 1.0.0.12 sahaja.

Pepijat bookmark bar salamweb
Antara pepijat yang ditemui pada ciri tetapan Bookmarks SalamWeb.

Jadi masih banyak ruang penambahbaikan yang boleh dibuat oleh pembangunnya bagi melengkapi aplikasi ini dengan ciri-ciri terbaru dan berguna yang perlu ada pada sesebuah aplikasi pelayar web moden.

Sekadar tambahan, selain penambahbaikan terhadap aplikasi, laman sesawang SalamWeb juga patutnya disediakan juga dalam Bahasa Melayu. Semoleknya lah, sekadar cadangan.

Muat turun aplikasi pelayar SalamWeb

Pelayar SalamWeb boleh dimuat turun secara percuma terus dari laman sesawang rasminya SalamWeb.com.

Ia boleh digunakan pada peranti iOS atau Android atau komputer yang menggunakan sistem operasi Windows atau macOS.

Info lanjut tentang aplikasi ini boleh didapati di laman sesawang SalamWeb.com.

P/s: SalamWeb sedang mengadakan pertandingan bagi para pengguna aplikasi ini. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menggunakan aplikasi SalamWeb ini ketika melayari internet. Itu sahaja. Maklumat lanjut ada di dalam laman sesawang rasmi SalamWeb.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here