Urus paparan tetingkap setiap aplikasi dengan pantas menggunakan aplikasi VEEER.

Jika anda sering menggunakan pelbagai aplikasi sekaligus atau suka membuka paparan tetingkap dengan banyak, anda mungkin biasa mengalami masalah menyusun perletakan tetingkap yang bertindan-tindan.

Jadi ia mungkin memeningkan anda dan sekaligus melambatkan proses kerja anda di Mac. Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah tersebut anda bolehlah menggunakan aplikasi VEEER.

Aplikasi VEEER

VEEER merupakan sebuah aplikasi ringkas yang membantu anda mengorganisasi paparan tetingkap di Mac. Ia dibangunkan oleh seorang pelajar dari Jerman yang bernama Julian Praest.

Ia dibangunkan dengan tujuan memaksimumkan kepantasan proses kerja yang direka bentuk khusus bagi mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada limitasi saiz paparan sesebuah skrin.

Sebagai contoh, jika anda adalah seorang pereka, pemaju pembangun perisian atau seseorang yang bekerja sepanjang hari di depan Mac, anda pastinya memerlukan alat yang membolehkan anda mengatur dan mengubah tetingkap dengan pantas.

Review aplikasi VEEER
Tetingkap kini lebih mudah disusun dengan aplikasi VEEER.

VEEER membolehkan anda untuk menyeret dan mengawal tetingkap dengan hanya mengaktifkan kunci pengaktifan dan klik dua kali di dalam tetingkap itu atau menyeret tetingkap tanpa perlu menggunakan bar tajuk tetingkap.

Apabila anda bekerja dengan berbilang tetingkap, misalnya ketika mengimport, mengeksport fail atau bekerja menggunakan pelbagai aplikasi secara serentak, proses menukar antara setiap tetingkap seperti mengecil dan membesarkan tetingkap membazirkan masa kerja anda.

Jadi dengan adanya aplikasi VEEER, ia membolehkan anda menyelaraskan tetingkap anda dengan hanya menggunakan pintasan papan kekunci.

Aplikasi VEEER
Pintasan untuk mengaktifkan VEEER.

Kelemahan

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang terdapat pada aplikasi ini. Antaranya seperti ikon VEEER di Mac Menu Bar tidak kelihatan sebab berwarna gelap. Jadi anda mungkin tidak sedar kewujudannya di situ atau tidak sedar yang ia telah pun diaktifkan. Ia hanya akan kelihatan apabila anda mengaktifkan pintasan kekunci Command+Control.

VEEER Mac Menu bar
Tekan butang kekunci Command +Control barulah ikon VEEER kelihatan menandakannya sebagai aktif.

Selain itu, tetapan untuk aplikasi ini di bahagian Action On Double Click: dan Reopen last windows with Key: juga tidak berfungsi dengan sepatutnya.

Tetapan VEEER.

Kesimpulan

Selain daripada beberapa kelemahan yang disebutkan tadi, AriffMac tidak menghadapi sebarang isu kegagalan fungsi aplikasi ini. Ia berfungsi dengan baik sepertimana yang sepatutnya.

Menguruskan tetingkap kini menjadi lebih mudah dan pantas dengan VEEER. Aplikasi VEEER boleh digunakan bersama Mac OS X 10.1 dan ke atas serta dimuat turun secara percuma terus dari laman web VEEER.io.

 

P/s: Selain dari aplikasi VEEER, anda mungkin juga ingin mencuba aplikasi Spectacle (Percuma) ataupun aplikasi Magnet (RM3.90) yang memiliki sama fungsinya tetapi punyai sedikit kelebihan berbanding VEEER.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here