Review aplikasi VideoDuke
Sebuah aplikasi muat turun video terbaru untuk Mac dari Eltima Software.

Syarikat pembangun aplikasi Eltima Software telah melancarkan sebuah lagi aplikasi terbaru khusus untuk memuat turun video yang dipanggil VideoDuke.

Eltima Software sebelum ini memang sudah sedia ada membangunkan aplikasi untuk memuat turun video iaitu aplikasi Airy. Tetapi VideoDuke adalah sebuah aplikasi yang ternyata berbeza dari Airy.

Ini kerana, Airy hanya boleh memuat turun video dan audio MP3 dari YouTube sahaja. VideoDuke pula sebaliknya menyokong hampir kesemua video popular dari pelbagai laman web dan boleh disimpan dalam pelbagai jenis format fail.

Malah ia juga mampu memuat turun video strim langsung ke dalam Mac dengan pantas serta berkualiti tinggi.

Antaramuka

VideoDuke Bookmarks
Antaramuka aplikasi VideoDuke.

Aplikasi ini direka dengan ciri pelayar web terbina dalam yang membolehkan pengguna mengakses laman-laman web video popular terus dari sini.

Malah pengguna juga boleh membuat carian terhadap video yang dinginkan dengan memasukkan sahaja nama video tersebut pada bar carian aplikasi ini.

Kelebihan

Sebagai contoh, apabila anda klik pilihan pantas laman YouTube atau menyalin dan tampal alamat URL YouTube ke aplikasi ini, ia akan terus mencari atau membuka laman tersebut.

Dan apabila sesebuah video dimainkan ia akan memaparkan senarai video yang boleh dimuat turun.

VideoDuke UI

 

Pengguna juga boleh memuat turun senarai video dan saluran video YouTube. Malah pengguna juga boleh memuat turun audio sahaja dari klip video tersebut dalam format MP3 tanpa memerlukan aplikasi tambahan lain.

Selain itu, ia juga mampu memuat turun video bersama sekali dengan sari kata, jika ada.

Kelemahan

Walaupun VideoDuke dihasilkan dengan ciri seperti sebuah pelayar web, tapi ia tidak menyokong fungsi tab. Bermakna, pengguna hanya boleh membuka sesebuah laman video pada satu-satu masa sahaja.

Pengguna tidak boleh menambah tab bagi membuka lain-lain laman video sekaligus sepertimana aplikasi pelayar web.

Malah kualiti resolusi video tertinggi yang boleh dimuat turun pengguna hanyalah pada saiz 1080p sahaja.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, VideoDuke adalah sebuah lagi aplikasi alternatif untuk memudahkan pengguna memuat turun video-video dari sesebuah laman web.

Selain daripada kelebihan-kelebihan yang dinyatakan awal tadi, aplikasi ini juga ada ciri-ciri istimewa yang lain seperti pengaktifan antaramuka kepada mod gelap dan cerah secara automatik (mengikut mod antaramuka macOS yang diaktifkan oleh pengguna macOS 10.14 Mojave), menghalang tetingkap timbul dan mematikan plugin internet.

Walaupun kurang dari segi sokongan kualiti video yang boleh dimuat turun iaitu hanya sekadar 1080p sahaja, tapi rasanya ia sudah cukup memadai bagi kebanyakkan pengguna.

Aplikasi ini masih baru dilancarkan yang mana ia adalah versi pertamanya. Jadi masih banyak ruang untuk pembangun aplikasi ini menambah baik ciri dan kestabilannya pada versi-versi akan datang.

VideoDuke boleh dimuat turun secara percuma tetapi pengguna hanya boleh memuat turun 2 buah video sahaja jika menggunakan versi demo aplikasi ini.

Tetapi jika anda berminat dengan aplikasi ini bolehlah membelinya terus dari laman web Eltima Software yang berharga USD19.95.

Aplikasi VideoDuke hanya boleh digunakan di Mac OS X v10.10 Yosemite atau macOS terbaru sahaja.

 

Notis Pemberitahuan: AriffMac tidak dibayar untuk melakukan ulasan ini. AriffMac telah dilengkapi dengan kod promo oleh pembangun aplikasi ini untuk membolehkan ciri-ciri yang ada pada aplikasi tersebut digunakan sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here