review aplikasi web shotsnapp
Istimewanya aplikasi web ini adalah ia buatan anak Malaysia.

Dalam sedang mencari idea untuk artikel terbaru, AriffMac telah menemui sebuah laman web yang  dapat membantu anda dalam menghasilkan sampel-sampel reka grafik dengan pantas yang menggunakan peranti-peranti pintar sebagai imej pengolokan (mock-up) .

Laman web yang dimaksudkan ini adalah shotsnapp.com.

shotsnapp

shotsnapp.com adalah sebuah laman aplikasi web yang memudahkan pengguna menghasilkan sampel imej pengolokan bersama pelbagai model peranti pintar.

Imej grafik yang boleh direka di laman shotsnapp ini adalah paparan bagi laman web dan rekaan grafik antaramuka aplikasi.

Anda boleh memilih 1 sampel dari 14 contoh yang disediakan bagi memulakan projek anda (pengguna tidak berdaftar hanya boleh memilih 1 dari 8 pencontoh sahaja).

Cara penggunaan

Sebagai contoh, bagi mendemonstrasikan laman aplikasi web ini, AriffMac menggunakan sampel pencontoh (template) Macbook Pro yang disediakan bagi mempromosikan laman web AriffMac.com.

shotsnapp UI
Selain daripada model MBP, pengguna juga boleh menukar komputer yang dipilih kepada model komputer riba Apple Macbook Air, Macbook, Dell XPS dan Microsoft Surface Book. Begitu juga terhadap pencontoh yang lain.

Anda boleh menggerakkan imej MBP tersebut pada mana-mana bahagian ruang kanvas (boleh ditukar warna selain hijau) bagi menetapkan perletakkannya.

Atau anda juga boleh klik pada butang pilihan yang terletak di atas YOUR IMAGE bagi menetapkan kedudukan dengan tepat.

Selain itu, imej MBP tersebut juga boleh diubah saiznya dengan menggunakan butang tetapan Scale.

Kemudian, untuk memasukkan imej ke dalam skrin MBP itu, anda tarik masuk ke ruang “Drop your image or screenshot here” yang berada di sebelah kanan anda.

Anda akan dapati imej tersebut akan dimuatkan pada skrin MBP tadi secara automatik.

Seterusnya anda boleh menukar imej latarbelakang dengan klik pada latar hijau dan klik Choose an image pada bahagian BACKGROUND IMAGE.

Anda boleh memilih hampir 70 imej latar yang diberikan secara percuma dari pelbagai jurufoto yang diambil dari laman web Unsplash.

Akhir sekali anda bolehlah klik butang Preview & download bagi memuat turun hasil reka grafik akhir yang anda hasilkan tadi.

shotsnapp final preview
Hanya format fail PNG dan JPEG sahaja yang boleh dimuat turun dan saiz reka grafik pula boleh di ekspot sehingga 3 kali ganda saiz.

Kesimpulan

Penggunaan secara percuma (tidak berdaftar) di laman shotsnapp ini hanya membenarkan anda melaksanakan 2 proses sahaja iaitu memasukkan imej pada imej pencontoh dan menukar imej latar sahaja.

Untuk menggunakan ciri-ciri utama lain bagi memasukkan elemen tambahan seperti teks, ikon (ciri akan datang), membuat carian imej dan lain-lain, anda perlulah mendaftar dengan laman web ini.

shotsnapp object and templates
Versi percuma hanya membenarkan pengguna menggunakan 1 lapisan elemen sahaja.

Harga pendaftaran adalah berharga USD29 bagi tempoh setahun atau daftar untuk akses seumur hidup yang berharga USD99 sahaja.

Seperti yang dinyatakan di awal tadi, istimewanya laman shotsnapp adalah kerana ia adalah buatan anak Malaysia. Individu yang bertanggungjawab membangunkan laman shotsnapp.com ini adalah saudara Gaddafi Rusli.

Beliau merupakan seorang pembangun aplikasi dan pereka bentuk antaramuka bagi aplikasi web dan peranti pintar.

Secara keseluruhan laman aplikasi web shotsnapp adalah amat mudah digunakan serta ia adalah pilihan alternatif terbaik kepada pengguna selain menggunakan aplikasi grafik popular yang lain.

Ia dapat membantu anda menghasilkan imej pencontoh bagi aplikasi dan laman web ke atas pelbagai peranti pintar popular yang ada sekarang dengan pantas tanpa perlu anda pening mencari imej-imej peranti tersebut untuk digunakan sebagai pencontoh.

Sila layari laman web shotsnapp.com bagi mencuba dan merasai sendiri pengalaman menggunakan aplikasi tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here