Review huawei Nova 3i

Telefon pintar terbaru kategori prestasi sederhana dari Huawei.

Pertamanya AriffMac ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah kerana telah terpilih sebagai salah seorang pemenang dalam pertandingan Test & Win aplikasi pelayar sesawang SalamWeb baru-baru ini.

Jadi, pihak penganjur pertandingan iaitu TeamSalam telah menghadiahkan sebuah telefon pintar yang boleh dikatakan masih agak baru dari HUAWEI iaitu Nova 3i kepada AriffMac. Terima kasih Team Salam.

Jadi bersempena peluang ini, dapatlah AriffMac membuat membuat review ke atas telefon pintar tersebut.

HUAWEI Nova 3i

Nova 3i telah diperkenalkan oleh HUAWEI pada Julai 2018 lalu dan mula memasuki pasaran Malaysia pada bulan yang sama. Jadi bolehlah dikatakan ia sebagai peranti yang masih agak baru dengan perkakasan terkini.

Spesifikasi Nova 3i

Spesifikasi utama Nova 3i adalah ia dilengkapi dengan cip pemprosesan terbaru Kirin 710 (12nm) yang lebih berkuasa dari model sebelumnya serta dilengkapi dengan RAM berkapasiti 4GB.

Malah saiz storannya juga besar iaitu 128GB. Jadi ia pastinya akan amat memuaskan hati bagi mereka yang mahukan peranti dengan kapasiti storan bersaiz besar.

Kelebihan

GPU Turbo

Selain dilengkapi dengan perkakasan yang berkuasa, HUAWEI juga turut memuatkan ciri terbaru yang dikenali sebagai GPU Turbo di mana ia mampu meningkatkan prestasi kuasa grafik secara automatik apabila anda sedang bermain sesebuah aplikasi permainan yang memerlukan prestasi grafik tinggi.

Malah pihak HUAWEI juga menyatakan ciri tersebut turut mampu menjimatkan penggunaan kuasa bateri. Ia sekaligus dapat memberikan pengguna lebih masa bermain permainan kegemaran mereka bersama Nova 3i.

Cuma tiada tetapan untuk ciri GPU Turbo tersebut. Ia akan diaktifkan secara automatik tanpa anda sedari. Jadi, yakinlah yang ciri tersebut ada dan ia diaktifkan apabila perlu sahaja.

4 Kamera

Selain kuasa grafik yang dipertingkat, kamera peranti ini juga turut ditambah baik. Untuk swafoto, ia dilengkapi dengan kamera berkembar 24MP + 2MP. Manakala dibelakangnya pula dilengkapi dengan kamera 16MP + 2MP.

Tetapan Resolusi video Nova 3i
Tetapan kualiti maksimum rakaman video Nova 3i. Anda tidak boleh merakam video berkualiti 4K.

Lain-lain

HUAWEI Nova 3i didatangkan bersama sistem operasi Android 8.1 (Oreo) beserta sistem Emotion UI (EMUI) yang dibangunkan HUAWEI khusus untuk peranti mereka.

Tetapi jangan bimbang kerana pihak HUAWEI telah pun memaklumkan bahawa Nova 3i akan turut sama menerima kemaskini versi terbaru Android 9 (Pie) serta EMUI 9 tidak lama lagi.

Produk berkualiti pada harga berpatutan

AriffMac sebenarnya agak terkejut dengan hasil kemasan buatan pada peranti ini (serius memang namapak elegan dan tegap). Ia menggunakan kerangka yang diperbuat daripada aluminium serta depan dan belakangnya pula menggunakan kaca.

Senang cerita, HUAWEI menghasilkan sebuah produk berkualiti, cukup kemas dan teliti yang mana membuatkannya ia amat hampir menyamai kualiti kemasan telefon pintar premium yang lain.

Tak kiralah sama ada dari telefon premium Android sendiri mahupun Apple iPhone yang berharga ribuan Ringgit lebih mahal berbanding Nova 3i.

Info lain yang patut anda tahu tentang Nova 3i

Skrin

Jenis paparan skrin Nova 3i adalah IPS LCD yang bersaiz 6.3″ FHD+ (1080 Piksel x 2340 piksel) dengan ketumpatan 409PPI. Tetapi ia tidak menggunakan cermin jenis corning gorilla glass.

Sebaliknya skrin Nova 3i diperkuatkan dengan teknologi yang dipanggil Aluminosilicate. Ia merupakan teknologi kaca yang menggunakan bahan campuran aluminum, oksigen, silikon dan beberapa lagi bahan bercas ion yang lain.

Kelebihan kaca Aluminosilicate ini adalah ia keras, mampu menahan impak, kalis calar serta menghalang ia dari mudah pecah.

Ringkasnya, skrin Nova 3i ini adalah berkualtiti tinggi, tahan lasak dan tidak rapuh. Jadi tidak perlulah bimbang sangat.

Qmoji Nova 3i
Nova 3i turut menyokong ciri 3D Qmoji. Cuma Qmoji nya tidak boleh menjelirkan lidah kerana Nova 3i tidak dilengkapi dengan inframerah.

Sambungan

Untuk penyambungan cas kuasa dan pemindahan data, Nova 3i dilengkapi sambungan jenis Micro USB 2.0 yang menyokong ciri OTG (on the go).

Nova 3i menyokong ciri sambungan bersama aksesori OTG.

Ia juga turut masih dilengkapi sambungan fon kepala 3.5mm, menyokong kad sim nano berkembar atau 1 kad sim nano dan 1 kad mikro SD (maksimum 256GB).

Kelemahan

Pada harga RM1099.00 sahaja, adalah agak sukar untuk menyatakan Nova 3i memiliki kelemahan. Pada pendapat peribadi AriffMac, ia merupakan sebuah telefon pintar yang berkuasa dan berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.

Tetapi jika dilihat semula pada perkembangan trend teknologi terkini yang dimuatkan pada sesebuah telefon pintar moden, Nova 3i agak ketinggalan terhadap beberapa aspek yang mungkin akan sedikit mengganggu anda.

Antara kelemahan Nova 3i adalah ia tidak dilengkapi dengan jenis sambungan USB-C sepertimana yang digunakan pada beberapa buah model berkategori sama dengannya. Bermakna, Nova 3i tidak menyokong ciri pengecasan pantas.

Selain itu, masalah ini pula adalah yang turut ada pada mana-mana model peranti Android iaitu longgokan aplikasi sedia ada yang sebahagian besarnya tidak bermanfaat pun.

Lebih melecehkan adalah ada sebahagian aplikasi tersebut anda tidak boleh membuang atau menyahaktifkannya.

Kesimpulan

Apa yang AriffMac dapat simpulkan di sini adalah HUAWEI Nova 3i adalah sebuah telefon pintar berprestasi sederhana yang berkeupayaan tinggi.

Rekaan dan kemasan yang menyamai telefon premium menjadikannya ia berbaloi untuk dimiliki. Malah ia juga dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti ciri penjimatan tenaga, rakaman video gerak perlahan (bolehlah, not so bad actually) serta menyokong sistem operasi Android terbaru.

Malah ia turut mempunyai ciri keselamatan imbasan cap jari yang terletak dibahagian belakang serta imbasan wajah.

Setiap pembelian Nova 3i di datangkan bersama buku panduan, alat pengecas (5V), kad jaminan, set fon kepala, pin kad sim nano, kabel Mikro USB, kad privilege nova,
aksesori pelindung lutsinar dan stiker pelindung skrin.

Terdapat 3 warna pilihan Nova 3i yang boleh dipilih iaitu Black, Pearl White atau Iris Purple. Info lanjut Nova 3i ini boleh didapati di laman sesawang rasmi HUAWEI Malaysia.

P/s: Review Nova 3i ini tidak dibandingkan secara menyeluruh kelebihan atau kekurangan terhadap mana-mana model telefon pintar yang lain. Artikel ini juga tidak ditaja oleh pihak mana-mana pihak. Sama ada pihak HUAWEI mahupun TeamSalam.

Sekadar tambahan, pertandingan Test & Win SalamWeb masih lagi berlangsung sehingga 11 Januari 2019 ini.

Jadi, anda masih berpeluang memenangi pelbagai hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan. Info lanjut sila layari laman sesawang rasmi SalamWeb.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here