Review Macbook Pro 13 mid 2009
Review terhadap salah satu model Macbook Pro terbaik yang pernah Apple hasilkan, selepas hampir 9 tahun diguna…

Mungkin ada yang berkata buat apa lah nak buat review Macbook Pro yang dah lapok? Sebab dah lebih daripada 9 tahun model MBP ni keluarkan.

Kebanyakan daripada anda pun mungkin sudah tidak menggunakannya lagi, simpan di dalam stor, dijual atau mungkin dah dilupuskan.

Jadi, sebab direview semula Macbook Pro yang dah berhabuk ni sebab… ni je yang aku ada, masih diguna dan masih beroperasi dengan cemerlang dan terbilang.

Lagi pun ini adalah Macbook Pro pertama dibeli (sebenarnya MBP ni bini punya, AriffMac punya sempat pakai 3 hari je, pastu kena curi. Padan ngan muka aku).

Macbook Pro 13″ ini dibeli dalam bulan Oktober 2009 di Mac City, 1 Utama iaitu tidak lama selepas ia diperkenalkan Apple pada bulan Jun 2009. Pada masa tu harganya bermula dari RM4499 (rasanyalah, tak berapa ingat).

Berikut adalah spesifikasi ringkas bagi Macbook Pro 13″ model pertengahan 2009 yang direview ini:-

  • Mac OS X – 10.5.7 Leopard
  • Prosessor – Intel Core 2 Duo 2.26Ghz 45 nm “Penryn”.
  • RAM – 2GB DDR3 yang boleh dinaik taraf kepada 8GB maksimum. (Masa beli MBP ni, MacCity ada buat promosi upgrade RAM kepada 4GB percuma dan dapat beberapa aksesori lain.)
  • Storan – 160GB HDD (5400-rpm SATA)
  • Kad Grafik – NVIDIA GeForce 9400M dengan 256MB DDR3 SDRAM
  • Port – 2x USB 2.0, 1x FireWire 800, 1x Mini DisplayPort, 1x Audio in/out, slot kunci Kensington, 1x slot kad SD, 1x Ethernet dan 1x MagSafe.

Mungkin ada yang tak tahu, model MBP 13″ pertengahan 2009 ini adalah Macbook pertama yang dinaik taraf kepada kategori “Pro”. Sebelum ini, keluarga Macbook Pro hanya ada dalam saiz 15″ dan 17″ sahaja.

Ia adalah model yang dinaik taraf yang seterusnya menggantikan model Macbook 13″ Aluminium Unibody yang telah diperkenalkan Apple pada Oktober 2008.

Ia dinaik taraf kepada kategori ‘Pro’ apabila Apple menaik taraf terhadap beberapa perkakasan utamanya seperti melengkapinya dengan slot kad SD, sambungan FireWire 800 dan papan kekunci backlit.

Macbook Pro 13 mid 2009
Apple pertama kali perkenalkan slot kad SD ke dalam Macbook Pro 13″ dan 15″ Pertengahan 2009 dan ia bertahan sehingga di Macbook Pro 13″ dan 15″ Retina model Pertengahan 2015. Tetapi selepas itu, tiada lagi slot kad SD di Macbook Pro model 2016 dan ke atas.

Terdapat 2 pilihan kuasa cip pemprosesan yang digunakan dalam model MBP ini iatu Intel Core 2 Duo 2.26Ghz dan satu lagi adalah 2.53Ghz (berharga RM5 ribu lebih)

Menariknya dengan model pertama Macbook Pro 13″ ini adalah kerana beberapa faktor:-

Murah.

Macbook Pro 13″ ini menjadi sangat laku ketika itu kerana harganya yang berada bawah dari RM5 ribu. Pada masa tu, ramai jugalah kawan-kawan yang beralih dari Windows kepada Mac sebab kata mereka, Mac dah semakin murah.

Malah pihak Apple sendiri mempublisitikan harga Macbook Pro yang murah ini. Mereka tidak lagi memfokuskan pengguna profesional sahaja, tetapi juga cuba mempengaruhi pengguna awam dan pelajar bahawa mereka juga mampu memilikinya.

Tetapi itu dululah, sekarang tidak lagi sebab harga asas Macbook Pro pun dah membunuh nafsu membeli.

Memang Pro.

Pada masa tu, walaupun MBP ini adalah yang paling asas spesifikasi perkakasannya, tetapi ia amat pantas dan stabil. Oleh sebab itulah, ramai profesional hususnya dalam bidang industri kreatif amat gilakan MBP ini sebab realibiliti serta kemampuan Mabook Pro tersebut berfungsi.

Ia mampu mengoperasikan tugas-tugas berat dengan amat baik secara konsisten apabila menggunakan perisian-perisian profesional seperti Photoshop, Illustrator dan Final Cut Pro.

Macbook Pro 13 mid 2009
Masih lagi boleh buat grafik dengan perisian Adobe di sini.

Mudah dinaik taraf, modifikasi dan baik pulih.

Bukan sekadar pantas, tetapi juga ia amat mudah dinaik taraf perkakasannya oleh pemiliknya sendiri (DIY).

Pengguna model MBP ini dengan mudah boleh menaik taraf storan dan kapasiti RAM MBP mereka sendiri kepada pakasiti yang lebih besar dan lain-lain. Atau melakukan modifikasi dengan menjadikan slot pemacu DVD (Super Drive) kepada slot storan tambahan.

MBP 13 mid 2009
Kredit foto: iFixit.

Malah perkakasan lain yang terdapat di dalam MBP ini juga boleh dinaik taraf atau ditukar sekiranya ia rosak seperti kad wi-fi, Bluetooth dan banyak lagi. Senang cerita, ia mudah diselenggara dan dibaik pulih.

Malah harga alat ganti perkakasannya juga berpatutan dan masih boleh didapati sehingga kini (hanya dari pusat servis pihak ketiga).

Berkualiti tinggi.

Apple pada ketika itu (era Steve Jobs sebagai CEO) telah pun berjaya menghasilkan produk-produk mereka dengan standad kualiti yang begitu tinggi sekali.

Macbook Pro ini adalah salah satu daripadanya. Keutuhan serta reka bentuk anggun MBP 13″ ini telah berjaya bertahan selama 7 tahun sehinggalah akhirnya ia ditamatkan jualannya pada 2016.

Reka bentuk MBP ini telah digantikan dengan desain model Macbook Pro terbaru yang menjadikannya lebih nipis dan lebih mahal. Sekaligus menjadikan model MBP terbaru kini lebih… mengarut.

Dipenuhi ciri-ciri menarik.

Antara ciri-ciri menarik yang ada pada MBP 13″ ini adalah kelancaran TrackPad serta fungsi Multi-Touch yang jauh lebih baik daripada TouchPad yang terdapat pada komputer riba lain (merujuk kepada PC jenama lain).

Tetapan fungsi Multi-Touch™ TrackPad di MBP membolehkan penggunanya menetapkan fungsi tertentu mengikut jumlah jari dan arahan gerakan jari yang dibuat ke atas TrackPad tersebut.

Malah bukan itu sahaja, kualiti paparan skrin MBP ini memberikan kejelasan imej yang lebih baik berbanding skrin yang terdapat pada komputer riba jenama lain yang seangkatan dengannya.

MBP 13 view
Rekaan yang nipis (setebal 0.95 inci sahaja) serta ringan sekaligus ia mudah dibawa ke mana-mana juga adalah antara faktor utama mengapa ia menjadi pilihan para jurufoto profesional dan amatur memilih Macbook Pro 13″ ini sebagai komputer riba pilihan utama mereka. Kredit foto: Apple.

Selain itu, penyesuai kuasanya juga direka bentuk dengan begitu baik sekali serta tahan lasak. Saiznya juga tidak terlalu besar dan tidak terlalu berat sepertimana pengecas kuasa komputer riba yang lain. Jadi ia amat mudah dimuatkan di dalam beg.

MBP 13 Charger 60W
Pengecas MagSafe Macbook Pro 60W original sejak 2009 yang dijaga cermat (tapi comot) masih berfungsi dengan baik hingga ke hari ini.

Bateri yang tahan lama.

Ketahanan bateri MBP juga antara yang paling dicemburui pengguna komputer riba selainnya. Mana tak nya, bateri MBP ini mampu bertahan sehingga hampir 7 jam apabila ia di cas penuh.

Adaptive Charging
Teknologi Adaptive Charging yang terdapat di MBP membolehkan jangka hayat baterinya bertahan lebih lama. Tetapi itu juga bergantung kepada cara penjagaan dan penggunaan bateri MBP tersebut.

Dulu kerap-kali ulang-alik dari Semenanjung ke Sabah. Jadi kalau setakat buat kerja dengan MBP ni dalam keretapi dan sambung pulak layan movie dalam kapal terbang walau tanpa ada sambungan kuasa, memang takde hal lah.

Hanya selepas 8 tahun barulah bateri MBP ni buat hal. Cas tak masuk dan mula menggangu perkakasan lain berfungsi (sebab dah rupa katak kembung). Bila cabut keluar dari MBP, barulah semua kembali berfungsi seperti sedia kala.

Aksesori.

Memang terdapat banyak pilihan aksesori untuk MBP 13″ ini, sama ada bagi tujuan fungsi atau kosmetik supaya kelihatan bergaya. Boleh dikatakan hampir kebanyakan aksesori yang ada untuk MBP ni sudah pun dicuba. Ada yang berguna dan ada juga yang hampir menjahanamkan MBP ni.

Sebagai contoh, MBP yang digunakan ini pernah menggunakan aksesori yang kononnya melindungi dan menjadikannya kelihatan seperti sebuah buku (maksudnya tutup habis MBP, tiada ruang nak bernafas). Jadi bahananya merekah penutup hinge MBP tu.

Ini terjadi kerana aksesori tersebut agak tebal yang menyebabkan ia menghalang MBP ini daripada tertutup rapat. Sekaligus menyebabkan MBP itu tidak berada dalam mod Sleep apabila skrinnya dirapatkan.

Jadi, apabila dah letak dalam beg memang tak sedarlah Mac tu tengah ON sepanjang masa yang menyebabkan ia berada dalam kepanasan melampau.

MBP 13 close up

Kesan merekah tu pula tidak jadi serta merta. Ia berlaku selepas berulang kali tabiat sama diulang dan dalam tempoh yang agak lama jugalah.

Lama-kelamaan barulah nampak kesan merekah pada penutup hinge tersebut akibat kepanasan melampau.

Aksesori pelindung papan kekunci yang banyak dijual untuk MBP juga adalah antara punca kepada MBP ini mudah menjadi panas.

Ini kerana tiada ruang aliran udara panas untuk keluar dari celahan papan kekunci MBP sebab sudah ditutup oleh penutup papan kekunci tersebut.

So, moral of the story, jangan guna aksesori yang merepek untuk MBP korang.

Selepas hampir 9 tahun berbakti…

Setelah hampir 9 tahun ia diguna, Macbook Pro ini masih lagi berfungsi dengan baik. Mac OS X terakhir yang disokong MBP ini adalah Mac OS X 10.11 El Capitan yang beroperasi dengan lancar bersama MBP ini.

Teringin jugak nak upgrade ke MBP baru tapi tak mampu dan tak berbaloi pun kalau beli sekarang (sebab MBP la sangat mahal dan Apple dah makin merepek).

Jadi pakai jelah dulu yang ada ni sementara menunggu dengan penuh harapan supaya Apple akan menghasilkan semula Macbook yang betul-betul Pro sepertimana Macbook Pro 13″ ini.

Lagi pun MBP ni masih lagi mampu ‘handle’ aplikasi-aplikasi profesional yang selalu diguna seperti Photoshop, Illustrator, InDesign dan Final Cut Pro X (edit video-video pendek je lah).

Cuma tiada bateri saja di dalamnya dan speaker nya dah sumbang. Memang niat nak tukar baterinya tapi tunggulah dulu. Pernah juga tanya dengan pusat servis sah Apple, tapi katanya bateri untuk model MBP ni dah tak dijual lagi.

Ye lah, model MBP ni pun telah Apple kategorikannya sebagai produk Usang dan Vintaj. Jadi jika terdapat sebarang kerosakan perkakasan untuk diganti atau sokongan membaik pulih dari pusat servis bertauliah Apple, memang sudah tiada lagi.

Hanya di pusat servis pihak ketiga sahaja yang masih membuat servis baik pulih serta menjual alat ganti OEM untuk Macbook Pro 13″ ini.

Akhir kata, secara peribadi Macbook Pro 13″ model Pertengahan 2009 sememangnya tidak disangkal lagi sebagai salah sebuah Mac terbaik yang pernah Apple hasilkan. Tahan lasak, mesra pengguna, berkuasa dan paling kurang kontroversinya (rasa macam tak ada langsung).

Sebagai penamat, nak belanja sikit video montaj Mac OS X 10.6 Snow Leopard yang turut diperkenalkan pada Jun 2009 di acara yang sama Macbook Pro 13″ ini diperkenalkan iaitu di Apple Worldwide Developers Conference.

Ia merupakan versi ke 7 Mac OS X, selepas Mac OS X 10.5 Leopard. Ia hanya dipasarkan pada Ogos 2009 dan perlu dibeli dengan harga USD29.00. Video montaj ini akan dimainkan secara automatik selepas versi Mac OS X tersebut selesai dimasukkan ke dalam sesebuah Mac. Enjoy!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here