iPhone X notch
Sampai bila… kaymon la…

Sejak Apple memperkenalkan iPhone X dengan rekaan skrin bertakuk pada September 2017, ramai yang memperkatakan tentang rekaan skrin peranti tersebut. Ada yang berpendapat ia satu rekaan yang menarik dan ada juga yang mengatakan ia sebagai satu rekaan yang hodoh.

Tetapi yang pastinya, tidak lama selepas iPhone X berada dipasaran, sebahagian besar pengeluar telefon pintar Android telah turut sama menghasilkan telefon pintar mereka dengan rekaan skrin bertakuk yang menyerupai rekaan skrin iPhone X.

Walaubagaimanapun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sebenarnya bukan Apple lah yang mula perkenalkan rekaan skrin bertakuk. Sebaliknya Sharp adalah syarikat pertama yang memperkenalkan rekaan skrin telefon pintar bertakuk pada peranti Sharp Aquos S2.

Telefon pintar tersebut mula berada dipasaran lebih awal iaitu pada 14 Ogos 2017, lebih kurang sebulan sebelum iPhone X dilancarkan.

Sharp Aquos S2
Sharp Aquos S2. Kredit imej: SHARP

Manakala Essential Phone yang memiliki rekaan skrin yang hampir sama dengan Sharp Aquos S2 pula mula berada dipasaran pada 17 Ogos 2017. Ini bermakna, iPhone X adalah telefon pintar ke 3 dengan rekaan skrin bertakuk yang berada dipasaran iaitu pada November 2017.

Essential Phones
Essential Phones. Kredit imej: Essential

Walaupun 2 telefon pintar Android ini mendahului Apple iPhone X, rekaan skrin bertakuk mereka tidak menjadi ‘trendsetter’ kepada rekaan skrin telefon pintar bertakuk.

Sebaliknya, para pengeluar telefon pintar yang lain lebih berminat meniru rekaan skrin bertakuk yang terdapat pada iPhone X.

Apabila masuknya tahun 2018, para pengeluar telefon pintar Android seperti Asus, Leagoo, Oppo, Doogee, Nokia, LG dan Xiaomi telah berlumba-lumba menghasilkan telefon pintar dengan skrin bertakuk.

Walaubagaimanapun, rekaan skrin tersebut tidak digunakan pada kesemua model peranti yang dihasilkan mereka. Sebaliknya, ia hanya digunakan pada sebahagian model telefon pintar mereka yang berspesifikasi tinggi sahaja.

HUAWEI PHONES
Contoh 2 model telefon pintar 2018 berspesifikasi tinggi dari HUAWEI yang dilengkapi dengan rekaan skrin bertakuk yang menyerupai iPhone X. Kredit imej: HUAWEI

Jika anda perasan, kebanyakkan syarikat-syarikat yang meniru rekaan skrin bertakuk iPhone X adalah pengeluar-pengeluar telefon pintar yang berasal dari negara China.

Malah boleh dikatakan hampir kesemua pengeluar telefon pintar Android dari China menggunakan rekaan skrin bertakuk pada sebahagian telefon pintar keluaran mereka.

Hanya Google dan Samsung sahaja yang belum menghasilkan telefon pintar mereka dengan skrin bertakuk. Walaubagaimanapun, laporan terbaru baru-baru ini ada menyatakan bahawa Samsung sedang membangunkan telefon pintar dengan skrin bertakuk bagi model akan datang.

Malah Google juga dilaporkan akan menggunakan rekaan skrin bertakuk untuk model terbaru telefon pintar Google Pixel mereka nanti.

Jadi, sampai bilakah trend ini akan bertahan?

Memang tidak dinafikan rekaan skrin bertakuk memberikan lebih ruang paparan telefon pintar. Tetapi trend ini lama ke lamaan semakin menjengkelkan dan merepek.

Kegilaan meniru rekaan dari pengeluar telefon pintar lain yang tidak beretika semakin tidak dipeduli. Lebih memualkan adalah apabila rekaan dan teknologi yang ditiru itu dikatakan lebih baik dari yang asalnya.

Padahal mereka hanya meniru dan mengikut trend semasa sahaja dan mengaut keuntungan mudah dengan menumpang daripada kegilaan penggemar gadjet terhadap trend tersebut.

Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, pembangunan dan pencaraian terhadap teknologi terbaru telah ditolak ketepi. Hanya keuntungan yang menjadi fokus utama mereka dengan menumpang dari kejayaan rekaan oleh syarikat pembangun teknologi yang lain.

Bolehlah AriffMac simpulkan bahawa Sir Jonathan Ive iaitu ketua pereka bentuk produk-produk Apple sebagai pereka rasmi rekabentuk skrin telefon pintar bertakuk untuk kesemua model telefon pintar lain.

Ini kerana beliaulah yang mengasaskan rekaan skrin bertakuk yang telah diikuti oleh syarikat pengeluar telefon pintar yang lain. (Tak taulah pulak jika anda tidak bersetuju dengan pendapat ini).

Harapnya pada tahun hadapan, trend skrin bertakuk ini akan tamat dan para pengeluar telefon pintar seharusnya menghasilkan rekaan yang baru yang lebih baik dan menarik.

Sepertimana yang dilakukan oleh syarikat Oppo terhadap model terbaru telefon pintar mereka iaitu Oppo Find X.

Kesimpulannya…udah-udah ler dengan takuk tu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here